Polis Putrajaya tahan lima remaja terbabit kes pecah rumah
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata kelima-lima remaja berumur antara 16 dan 21 tahun itu ditahan di kawasan berasingan pada Ahad hingga Rabu lalu.
“Polis berjaya merampas 24 barang yang dipercayai barang curi bernilai RM35,000 antaranya jam tangan jenama Omega, telefon bimbit dan kamera,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Abdul Razak berkata, kesemua suspek tiada rekod jenayah itu kini ditahan reman untuk siasatan.
Menurut beliau, kebanyakan rumah yang dipecah masuk adalah rumah yang tidak berkunci terutamanya di bahagian dapur dan bilik air.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata tiga lelaki warga Nigeria ditahan pada 12 Sept kerana disyaki terlibat dalam jenayah “black money” dengan menipu seorang ibu tunggal membabitkan transaksi RM88,000.
“Mangsa yang berumur 55 tahun telah berkenalan dengan suspek melalui Facebook sejak Julai lalu dan turut ditawarkan untuk berkahwin dengan salah seorang daripada suspek,” katanya.
Mangsa diperdaya untuk menyerahkan wang tersebut secara berperingkat selain turut memberikan nombor akaun serta kad bank miliknya, katanya.
“Polis bertindak selepas anak mangsa membuat laporan polis dan suspek kemudian berjaya ditahan di sebuah rumah di Puchong, Selangor,” katanya.
– BERNAMA