Jangan ganggu sistem pendidikan negara – MPM – Utusan


Jangan ganggu sistem pendidikan negara – MPM

KUALA LUMPUR 17 Jun – Majlis Perundingan Melayu (MPM) berpendapat bahawa sistem pendidikan negara sudah selesai dirumuskan apabila negara menerima Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib.

Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad berkata, kedua-dua penyata itu kemudian diberi pengukuhan undang-undang dalam bentuk akta pelajaran 1961 dan diluluskan di Parlimen.

Menurutnya, pelbagai kaum telah sebulat suara menyokong dan menerima kedua-dua penyata itu sekaligus menyelesaikan isu tersebut.

“Kemajuan negara akan sentiasa terganggu sekiranya perkara seperti pendidikan dan kerakyatan sering dibangkitkan serta dipersoalkan.

“Malah, ia juga akan membangkitkan keresahan serta memecah-belahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.