Jangan panjangkan isu penderaan – Utusan


Jangan panjangkan isu penderaan

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Ibu bapa kepada 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) di Johor Bahru disaran agar tidak memanjangkan isu penderaan yang didakwa berlaku membabitkan anak-anak mereka dengan pihak Jabatan Penjara.

Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara Malaysia, Datuk Seri V. S. Suwaminathan berharap, kedua-dua pihak perlu berbincang secara berhemah bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Menurutnya, dalam hal ini, ibu bapa pelajar dan Jabatan Penjara boleh duduk berbincang dan bertukar-tukar pandangan untuk menyelesaikan pertikaian.

“Kalau kedua-dua pihak tetap berkeras dengan pendirian masing-masing, perkara itu tidak akan selesai malah akan berpanjangan dan akhirnya boleh mencemarkan imej jabatan penjara sebagai agensi kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan dakwaan 33 pelajar SMKBBU dibotakkan serta dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi itu.

Pelajar terlibat juga mendakwa sepanjang tempoh berada di situ, mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.