Janji pendidikan negara lebih baik – Metro


Janji pendidikan negara lebih baik

 1  0 Google +0  0  0

Putrajaya: Kerajaan terus memajukan bidang pendidikan negara serta memperjuangkan kebajikan golongan pendidik dan guru sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkata, perkara itu antara komitmen dan iltizam yang bakal dilaksanakan kerajaan pimpinannya sekiranya BN terus diberikan mandat untuk memerintah Malaysia.
“Kita mempunyai komitmen dan iltizam politik melaksanakan, namun kesudahannya bergantung kepada satu peristiwa yang berlangsung dalam sedikit masa lagi.

 

“Jika peristiwa itu berakhir dengan sesuatu menggembirakan maka saya yakin dan percaya bidang pendidikan negara melalui zaman yang jauh lebih maju daripada masa lalu. Jadi saya fikir mesej utama saya sudah disampaikan,” katanya ketika berucap dihadapan lebih 2,000 tetamu yang menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena sambutan Jubli Emas, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di sini, malam tadi.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
Pada majlis itu, Perdana Menteri juga turut mengumumkan pemberian peruntukan khas RM1 juta kepada SAS.

 

Sebelum itu, Najib berkata, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai pembaharuan dan proses transformasi bagi memajukan bidang pendidikan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.
“Satu perkara yang saya bincang dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) dan perlu diberi perhatian apabila PPPM dilaksanakan dan diberikan perhatian segera ialah mengurang beban dan tugas guru,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/08