16, 17 Ogos cuti berganti persekolahan sempena Aidilfitri – Bernama


16, 17 Ogos cuti berganti persekolahan sempena Aidilfitri
10:07:21 AM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos ini.

Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu, kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini. “Dengan ini, semua pihak mempunyai tempoh masa mencukupi bagi merancang perjalanan pulang dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.

Bagi tujuan penyelarasan, kementerian itu mencadangkan supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 September manakala cuti berganti 17 Ogos diganti pada Sabtu, 22 September.

“Pihak sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya pada hari Sabtu berkenaan sebagai hari ganti persekolahan mengikut jadual waktu hari yang terlibat dengan hari cuti berganti tersebut,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

SBPA disemak semula selesai isu berbangkit – PM – Bernama


SBPA disemak semula selesai isu berbangkit – PM

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.

Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

“Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Najib juga berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

“Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak,” katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana. – BERNAMA