Semua sekolah di Pulau Pinang disaran tubuh Kor Kadet Polis – Bernama


Semua sekolah di Pulau Pinang disaran tubuh Kor Kadet Polis

21/05/2013 3:03pm

 

BUKIT MERTAJAM – Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi menyarankan agar semua sekolah menengah di negeri itu mewujudkan Kor Kadet Polis yang dilihat dapat mengurangkan masalah jenayah juvana.

Katanya, setakat ini hanya 67 daripada 126 sekolah menengah di Pulau Pinang mempunyai pasukan itu sebagai kegiatan kokurikulum, membabitkan 3,094 anggota.

“Saya minta pengarah pelajaran negeri supaya membuat permohonan untuk mengadakan Kor Kadet Polis di sekolah yang belum mempunyai pasukan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan ulang tahun Kor Kadet Polis ke-43 Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, selain mengurangkan isu jenayah membabitkan pesalah juvana, kewujudan Kor Kadet Polis di sekolah juga dapat meningkatkan disiplin dan keperibadian pelajar selain mendedahkan pelajar dengan tugas kepolisan.

Ujarnya, kes jenayah membabitkan pesalah juvana di negeri itu menunjukkan penurunan 2.5 peratus iaitu daripada 636 kes pada 2011 kepada 620 kes tahun lepas. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm#ixzz2Tvp31ovJ
Hakcipta terpelihara