Kes jenayah seksual mangsa bawah umur meningkat – Bernama


Kes jenayah seksual mangsa bawah umur meningkat

2012/04/18

KUALA LUMPUR: Jumlah kes jenayah seksual atau rogol membabitkan mangsa berumur di bawah 16 tahun yang turun pada 2010, meningkat semula tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 1,777 kes dicatatkan pada 2010 tetapi meningkat semula kepada 2,419 kes tahun lalu.

Katanya, sebanyak 924 kes dicatatkan pada 2005, 1,301 kes (2006), 1,653 kes (2007), 1,871 kes (2008) dan 2,049 kes (2009).

“Antara faktor utama yang dikenal pasti berlakunya kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak adalah seperti mangsa berada sendirian sama ada di dalam atau di luar rumah, mangsa culik dan mangsa diugut.

“Faktor lain ialah kurang pendidikan dan agama, masalah dalam institusi kekeluargaan, pengaruh dari media massa dan media alternatif serta mangsa dan suspek melakukannya secara suka sama suka,” katanya katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
— BERNAMA

Kelindan lori rogol gadis bawah umur dipenjara tiga tahun – Utusan


Kelindan lori rogol gadis bawah umur dipenjara tiga tahun

WAN Roslan Kadir (kiri) diiringi anggota polis atas tuduhan merogol di Mahkamah Sesyen, Melaka, semalam. – UTUSAN/AZLI AHAD

 

MELAKA 17 Jan. – Seorang kelindan lori dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang gadis bawah umur dan menceroboh rumah abang mangsa bagi melakukan jenayah seksual tersebut antara Julai dan Ogos 2010.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Roslan Kadir, 20, yang melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Batu 18/12, Kampung Lendu, Alor Gajah, dekat sini.

Mengikut pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa merogol remaja berusia 14 tahun di dalam sebuah bilik di rumah tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam, 20 Julai 2010.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Wan Roslan turut didakwa menceroboh rumah abang mangsa di alamat yang sama bagi melakukan cubaan rogol kira-kira pukul 1 pagi, 11 Ogos 2010.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat yang mengendalikan pendakwaan, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Peguam, Andrew Lourdes yang mewakili Wan Roslan pula memohon agar mahkamah meringankan hukuman terhadap tertuduh atas alasan anak guamnya telah insaf.

Ahmad Sazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan rogol dan penjara dua tahun bagi kesalahan menceroboh.

Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak.