Tiga remaja ‘berlakon’ samun ditahan – Utusan


Tiga remaja ‘berlakon’ samun ditahan

HULU LANGAT 10 Dis. – Hanya kerana ingin membeli sebuah motosikal baru, dua remaja sanggup berpakat untuk ‘berlakon’ menyamun seorang lagi rakannya yang bekerja sebagai juruwang sebuah hotel bagi melarikan wang tunai RM300 di Jalan Mendaling, Kajang, di sini awal pagi ini.

Lakonan itu bagi mengaburi mata majikan juruwang terbabit bahawa dia disamun dua remaja berparang ketika sedang bertugas dengan segala kejadian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

Namun helah mereka terbongkar apabila salah seorang remaja berusia 17 tahun yang menunggu di atas sebuah motosikal diberkas anggota polis yang kebetulan meronda setelah suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan hotel tersebut pada pukul 1 pagi.

Suspek berusia 16 tahun yang memasuki hotel tersebut bagaimanapun sempat melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121211/je_03/Tiga-remaja-berlakon-samun-ditahan#ixzz2EhtIGNqs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mati terjatuh sebelum jumpa kekasih – Kosmo


Mati terjatuh sebelum jumpa kekasih

 

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL dan KHAIRIYAH HANAFI
jenayah@kosmo.com.my

 

INILAH apartmen di Desa Pandan lokasi Khadijah ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat tujuh untuk menemui kekasihnya.

 

KUALA LUMPUR – Hajat seorang gadis keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga bagi bertemu kekasihnya mengundang padah apabila dia maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen kuarters kerajaan di Desa Pandan di sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa, Siti Khadijah Muhammad, 16, mengurung diri di dalam bilik di rumahnya selepas dipercayai memberontak kerana dihalang keluarga untuk bertemu kekasihnya.

Bagaimanapun, selepas terdesak untuk berjumpa kekasihnya, mangsa cuba keluar dari tingkap di bilik rumahnya.

Khadijah dikatakan menyambung lima helai selendang yang setiap satu sepanjang kira-kira satu meter setengah dengan niat dapat sampai ke bawah dan berjumpa kekasihnya.

Semasa kejadian, ibu gadis itu dan empat adik mangsa berada di rumah sementara bapa mangsa berada di pejabat.

Bagaimanapun, hajat Khadijah bertemu buah hatinya tidak kesampaian apabila kain selendang yang disambungnya itu terputus sebaik mangsa bergantung pada kain tersebut.

Mangsa ditemui terbaring berlumuran darah dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh penduduk di apartmen sembilan tingkat itu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Anak berubah sikap – Bapa – Utusan


Anak berubah sikap – Bapa

PEKAN 18 Nov. – Bapa kepada mangsa kemalangan yang melibatkan tiga sahabat maut berhampiran Kampung Ubai, di sini awal pagi ini, seakan merasai anaknya akan pergi buat selama-lamanya ekoran sikap pelik ditunjukkan oleh mangsa beberapa hari sebelum kejadian.

Hamsah Marto, 60, bapa kepada Hasroy Haniff yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berkata, dia dapat merasai sesuatu apabila renungan terakhirnya ketika arwah sedang tidur iaitu pada pukul 10 pagi semalam mendapati wajah Hasroy Haniff lebam.

“Saya tidak pernah merenung wajahnya sebelum ini tetapi entah kenapa semalam saya tergerak untuk berbuat demikian ketika arwah sedang tidur.

“Arwah yang lebih mesra dengan panggilan ‘adik’ turut meletakkan banyak status pelik dalam akaun laman sosial Facebook miliknya seolah-olah akan pergi meninggalkan kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Peramu Jaya 3 di sini hari ini.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121119/je_02/Anak-berubah-sikap—-Bapa#ixzz2CcnZPYt4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ibu bapa perlu pantau anak pernah terlibat dadah – Sinar Harian


Ibu bapa perlu pantau anak pernah terlibat dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Oktober 2012
Ibu bapa perlu pantau anak pernah terlibat dadah
Penghulu kampung turut hadir dalam Program Damai Pemadam, Rabu lalu.

PASIR MAS – Ibu bapa diingatkan memantau pergerakan anak-anak, terutama remaja yang pernah terlibat dalam kancah dadah.

Ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Yam berkata, dia akan menemani anaknya, Mamat, 16, setiap sesi kaunseling di pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan dekat Lubok Jong.

Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik ini dibebaskan dari pusat pemulihan Februari lalu selepas mengambil pil kuda.

“Tindakannya itu turut menyebabkan Mamat tidak lagi mahu ke sekolah, sebaliknya menghabiskan masa di rumah.

“Saya tidak pernah berputus asa mendidiknya agar menghargai diri demi masa depannya kelak,” katanya selepas Program Damai Pemadam, Rabu lalu.

Dalam majlis itu, Ketua Jajahan, Mohd Ghazali Mohamad turut menasihati remaja agar tidak mengambil mudah isu dadah, kerana ia hanya bersifat sementara.

Beliau berkata, masyarakat diingatkan supaya tidak menjatuhkan hukuman kepada bekas penagih dadah di atas setiap jenayah yang berlaku di kampung.

“Serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menyiasat dengan terperinci.

“Tindakan masyarakat memberi tekanan kepada bekas penagih dan keluarga, menyebabkan mereka menghadapi beban berat,” katanya.

Budak 12 tahun dakwa dirogol lelaki 50 tahun – Berita Harian


Budak 12 tahun dakwa dirogol lelaki 50 tahun

2012/10/03 – 00:27:13 AMCetakEmel Kawan
Tapah: Tindakan seorang budak perempuan 12 tahun menumpang tidur di rumah keluarga angkat rakannya, membawa padah apabila dia dirogol seorang lelaki, pertengahan bulan lalu.

Hasil siasatan mendapati lelaki berusia 50 tahun itu tinggal berjiran dengan keluarga angkat rakan mangsa dan pernah terbabit beberapa kes dadah. Mangsa dari Slim Village, Slim River mendakwa dirogol lelaki terbabit ketika tidur berseorangan dalam bilik di rumah itu, awal pagi 12 September lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, berkata mangsa ke rumah keluarga angkat rakannya di Kampung Petalin Baru, Bidor dan bermalam beberapa hari sebelum dirogol jam 12.30 pagi, 12 September ketika tidur berseorangan dalam bilik.

Keesokannya, mangsa pulang ke rumahnya di Slim Village dan menceritakan kepada ibunya. Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan polis dan pemeriksaan mengesahkan murid berkenaan dirogol.

Lelaki itu juga dikenali keluarga angkat rakan mangsa dan dia bebas keluar masuk rumah itu. Suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah terutama kes dadah dipercayai melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas kejadian, katanya di sini semalam.

Sekolah, Syarikat Pemaju Turut Terlibat Dalam NKRA Jenayah Fasa Kedua -Hishammuddin – Bernama


Sekolah, Syarikat Pemaju Turut Terlibat Dalam NKRA Jenayah Fasa Kedua -Hishammuddin

KAMPUNG GAJAH: Sekolah dan syarikat pemaju perumahan antara organisasi yang terlibat memerangi jenayah di bawah fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah yang akan dilancarkan hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian itu akan mengumumkan pendekatan dan program fasa kedua bagi memenuhi matlamat NKRA.

“Pendekatan di bawah fasa kedua saya akan umumkan sekaligus tentang apa yang kita akan lakukan terhadap kanak-kanak jalanan, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru… yang mana semua ini ada hubung kait dengan agenda kita, sama juga bank-bank serta syarikat pemaju perumahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Pasir Salak di Dewan Besar Felcra di sini, Ahad.

Terdahulu, beliau menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Felcra Berhad Wilayah Perak di tapak perumahan generasi kedua peserta Felcra di sini. -BERNAMA

Bagi alasan halau lembu, rogol kanak-kanak – Sinar Harian


Bagi alasan halau lembu, rogol kanak-kanak
WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Ogos 2012
BUKIT BERUANG – Menggunakan alasan menghalau lembu, seorang penoreh getah bertindak memperdaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sebelum mencabulnya.

Lelaki berusia 55 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan di dalam sebuah ladang sawit di Bukit Asahan, baru-baru ini.

Mangsa yang sedang bermain dengan adiknya di kawasan berhampiran, sebelum mereka didatangi lelaki berkenaan yang mengarahkan mereka mengikutnya ke dalam sebuah ladang sawit dengan alasan untuk menghalau lembu.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan PR Gunarajan berkata, suspek kemudian membawa kedua beradik itu menaiki motosikal sebelum meninggalkan adik mangsa di satu tempat berhampiran.

“Suspek membawa mangsa ke dalam ladang berkenaan sebelum membuka baju mangsa dan meraba bahagian sulitnya.

“Mangsa mendiamkan diri dan tidak menceritakan mengenai kejadian itu kepada keluarganya apabila pulang ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keesokan harinya, mangsa dipaksa menceritakan apa berlaku oleh ibunya selepas dilihat sugul dan gelisah.

“Mangsa telah dibawa ke Balai Polis Asahan dan satu laporan polis telah dibuat,” katanya di sini, semalam.

Menurut Gunarajan, sepasukan polis menyerbu rumah suspek dan menahannya untuk membantu siasatan.

Budak 8 tahun dakwa dicabul penjaga kafe – Sinar Harian


Budak 8 tahun dakwa dicabul penjaga kafe

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Ogos 2012
Budak 8 tahun dakwa dicabul penjaga kafe
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa

SHAH ALAM – Seorang penjaga kafe siber ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes cabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Kota Kemuning, di sini, pada 15 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa berkata, suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan selepas keluarga mangsa membuat laporan polis, Isnin lalu.

Beliau berkata, suspek ditahan di tempat kerjanya di kafe siber sebuah pangsapuri di Kota Kemuning, di sini.

“Kita reman suspek selama dua minggu sehingga 3 September depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul.

“Laporan yang diterima daripada keluarga mangsa mendakwa kanak-kanak itu dirogol, namun laporan perubatan mengesahkan tiada sebarang kesan koyakkan pada kemaluannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Selangor, semalam.

Rosli berkata, disebabkan itu siasatan kes ini diklasifikasikan sebagai cabul dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Sebelum ini, mangsa bersama rakannya dilaporkan pergi ke kafe siber terbabit pada jam 5 petang, sebelum dia tiba-tiba ditarik secara paksa oleh suspek untuk masuk ke dalam tandas.

Mangsa kemudiannya mendakwa dia dirogol oleh suspek dalam tandas berkenaan.

Selepas kejadian itu, mangsa yang ketakutan terus pulang ke rumah dan memaklumkan ibu bapanya mengenai perkara yang berlaku.

Difahamkan ketika kejadian, tiada pengunjung lain di kafe siber itu menyebabkan suspek berani bertindak sedemikian.

Pelajar 17 tahun ditahan disyaki terlibat kegiatan curi kereta – Sinar Harian


Pelajar 17 tahun ditahan disyaki terlibat kegiatan curi kereta
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Ogos 2012

Anggota polis melihat rangka kereta yang sudah dileraikan remaja terbabit.
BALING – Seorang pelajar ditahan polis dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Charok Gorok, Asam Jawa kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mencuri dan meleraikan komponen kereta.

Remaja berusia 17 tahun itu ditahan anggota polis cawangan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Baling yang sedang menjalankan Ops Lejang di kawasan Kupang, sebelum mendapat maklumat mengenai kegiatan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, ketika serbuan pelajar terbabit sedang leka meleraikan sebuah kenderaan di sebuah rumah tidak bernombor dengan seorang lagi lelaki dipercayai bapa saudaranya berusia 28 tahun.

Menurutnya, bapa saudara remaja terbabit sempat melarikan dalam serbuan itu dan menjadi buruan polis sehingga kini.

“Hasil pemeriksaan menjumpai enjin dan pelbagai komponen kereta yang dileraikan dalam sebuah kereta berdekatan rumah itu. “Polis juga menjumpai sebuah rangka kereta curi yang sudah dileraikan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati pelajar sekolah terbabit berperanan meleraikan komponen kereta curi sebelum dijual kepada pelanggan. “Rangka kereta yang ditemui itu yang dilaporkan hilang di Kupang. Justeru, penahanan remaja ini dapat membantu polis dalam menyelesaikan beberapa kes kecurian kereta sebelum ini,” katanya.

Mat Daud berkata, remaja terbabit dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian kenderaan sebelum ini, malah mampu meleraikan kereta dalam masa yang singkat untuk mengelakkan kegiatan mereka dihidu polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, kerana mencuri, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda.

Pelajar mahu tikam guru – Sinar Harian


Pelajar mahu tikam guru
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2012

Kamaruddin
JERTIH – Seorang guru lelaki berada di ambang maut apabila seorang pelajarnya dikatakan mahu menikamnya dengan senjata tajam dalam surau sebuah sekolah di sini pada minggu lalu.

Dalam kejadian jam 1.40 petang itu, pelajar lelaki tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di sini itu didakwa cuba menikam guru berumur 50-an di depan pelajar lain.

Bagaimanapun, tindakan pantas pelajar lain berjaya menghalang pelajar terbabit berbuat demikian.

Difahamkan, pelajar tersebut masuk ke dalam surau berkenaan ketika program tazkirah sedang berlangsung dengan bertindak mengeluarkan senjata tajam lalu mengacunya ke arah guru berkenaan, namun sempat dielak guru tersebut.

Pelajar itu didakwa bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru itu yang mengarahkannya keluar dari surau sebelum itu.

Arahan itu dibuat kerana pelajar itu dikatakan menimbulkan masalah ketika program tazkirah berlangsung.

Guru berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Jertih pada hari yang sama.

Pelajar itu yang menetap di sebuah kampung dekat Seberang Jertih dikatakan telah ditahan polis malam kelmarin di rumahnya pada jam 2.20 pagi. Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan tersebut.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menasihatkan pelajar agar tidak bertindak mengikut emosi selain perlu memiliki perasaan rasa hormat kepada guru kerana sekiranya melakukan perbuatan jenayah, mereka bakal berdepan tindakan undang-undang.

Manakala warga pendidik pula diminta menggunakan pendekatan bersesuaian ketika menegur pelajar bermasalah bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku.