‘Saya berharap boleh pegang pensel’ – Metro


‘Saya berharap boleh pegang pensel’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: “Saya berharap ibu jari masih gagah dan mampu memegang pensel ketika menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” kata Mohd Amirudin Sudin, 17, yang hancur dua ibu jari tangan kanan apabila ‘eksperimen’ mercun bola digabung dengan mercun bawang tidak menjadi, sebaliknya meletup sebelum sempat diuji.

Lebih menyedihkan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim, Setiu yang bakal menduduki SPM pada November depan merayu doktor supaya tidak memotong kedua-dua ibu jarinya bagi membolehkan dia menulis dan menjawab soalan peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya.
Dalam kejadian pada jam 9 pagi kelmarin, Mohd Amiruddin dari Kampung Guntong, Setiu menjerit kesakitan apabila dua jenis mercun digabungkan itu meletup secara tiba-tiba.

 

Anak keempat daripada tujuh beradik yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia cuba menguji ‘kuasa berganda’ mercun bawang dan mercun bola yang tidak habis digunakan pada bulan puasa lalu ketika semua ahli keluarganya ke majlis kahwin di kampung berhampiran.
“Saya membuka pelekat mercun bola serta memasukkan lima mercun bawang ke dalamnya sebelum menekannya beberapa kali dan ketika itulah mercun meletup serta mengenai mata dan kedua-dua ibu jari.
“Walaupun terasa perit saya membasuhnya menggunakan air paip sebelum membalut dengan kain dan mendapatkan rawatan segera di Hospital Setiu dengan ditemani sepupu,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03

Jari dimamah mercun – Metro


Jari dimamah mercun
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Tindakan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun membeli mercun selepas meminta wang RM2 daripada bapanya konon untuk membeli gula-gula, berakhir dengan tragedi apabila hujung jari manis tangan kanannya terpaksa dipotong akibat terkena mercun bola di Kampung Kemasin, Bachok, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Mohd Iskandar Izaki Mohd Rudin hancur hujung jari manisnya ketika bermain mercun itu seorang diri di dalam biliknya.
Mercun itu dikatakan meletup di tangannya sebelum sempat Mohd Iskandar Izaki melemparnya ke luar rumah.

Murid darjah tiga Sekolah Kebangsaan Kubang Golok, Bachok itu kemudian dibawa ke Klinik Balai, Bachok sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.
Ibu Mohd Iskandar, Siti Aisyah Mat, 31, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu menonton televisyen sebelum terdengar bunyi letupan kuat dari dalam bilik anaknya.
Katanya, anak sulungnya, Nurul Atirah Izati, 12, kemudian masuk ke dalam bilik dan menjerit memanggilnya.

“Saya terkejut apabila melihat jari tangan Mohd Iskandar dan katilnya penuh dengan darah, namun dia tidak menangis,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, semalam.
Siti Aisyah berkata, dia memanggil suaminya untuk melihat keadaan anaknya sebelum membawanya ke klinik berhampiran dan dirujuk di HRPZ II untuk rawatan lanjut.

“Mohd Iskandar enggan memberitahu jenis mercun yang digunakan, tetapi kami mengetahuinya selepas suami memeriksa poket seluarnya dan menemui beberapa biji mercun bola,” katanya.
Siti Aisyah turut melahirkan kekesalannya mercun dan bunga api dijual secara berleluasa di sekitar kawasannya.
“Kanak-kanak mudah mendapatkan mercun di sini. Saya harap sesuatu dapat dilakukan supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.
Difahamkan, berdasarkan maklumat daripada pengurusan HRPZ II, Mohd Iskandar adalah mangsa mercun ke-16 yang dirawat di hospital berkenaan musim perayaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 16/08/2012

Dua beradik milik mercun RM10,000 – Sinar Harian


Dua beradik milik mercun RM10,000
NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
7 Ogos 2012

Harun menunjukkan mercun dan bunga api yang berjaya dirampas oleh anggota polis IPD Ledang dalam sebuan sebuah rumah di Kampung Serom 6, Sungai Mati, Ahad lalu
LEDANG – Dua beradik berputih mata setelah angan-angannya untuk memiliki wang lebih sebagai persiapan menyambut Aidilfitri dengan hasil menjual mercun tidak kesampaian apabila ditahan polis, Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 5.30 pagi itu, remaja berusia 17 dan 19 tahun itu ditahan dalam sebuah rumah di Sungai Mati, dekat sini.

Ketika ditahan, polis merampas 200 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM10,000 dan wang tunai RM219 dipercayai hasil penjualan mercun itu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, suspek yang juga anak yatim piatu dipercayai baru sahaja terbabit dalam kegiatan itu, kira-kira seminggu lalu.

Menurutnya, kegiatan mereka berjaya dikesan pihak polis beberapa hari lalu, melalui risikan yang dijalankan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, yang diketuai oleh Inspektor Mohd Nor Mohd Isa, sebelum menyerbu rumah berkenaan.

“Rumah itu dipercayai merupakan tempat tinggal suspek dan menjadi stor menyimpan bahan terlarang sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

“Siasatan awal mendapati, remaja berkenaan memperoleh bekalan mercun daripada orang tengah yang dibeli dengan harga RM6,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Harun berkata, mercun tersebut dipercayai untuk kegunaan Aidilfitri dan diedarkan kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual mercun untuk sara hidup selepas kematian ibu bapanya.

“Mereka ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut bagi mengetahui pembekal mercun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Harun menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan aktiviti menjual dan membakar mercun.

“Pihak polis akan giat menjalankan operasi untuk membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Ibu bapa cuai didakwa – Berita Harian


Ibu bapa cuai didakwa
06:06:46 AM Cetak Emel Kawan

Kuala Terengganu: Ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain mercun tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata selain peniaga mercun, pihaknya juga tidak bertolak ansur terhadap ibu bapa yang cuai dan membiarkan anak mereka berdepan risiko apabila bermain mercun.

“Jika kita dapat menahan kanak-kanak yang bermain mercun ini, ibu bapa mereka akan didakwa di mahkamah kerana kecuaian membiarkan anak mereka bermain mercun,” katanya selepas mengadakan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Dataran Shah Bandar, di sini, kelmarin.
Ibu bapa perlu awasi anak mereka

Jamshah berkata, pihaknya mendapati aktiviti penjualan mercun di negeri ini masih berleluasa dan ibu bapa perlu memastikan anak mereka tidak membeli dan bermain bahan letupan terlarang yang boleh mengundang bahaya.

Selain itu katanya, orang ramai hanya boleh membeli dan bermain dua jenis mercun yang dibenarkan iaitu, jenis ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-pop’, yang tidak membahayakan atau mencederakan pengguna.

Dapatkan permit untuk jual mercun
“Bagaimanapun, peniaga yang menjual dua jenis mercun ini masih perlu mendapatkan permit polis.

“Jika mereka menjualnya tanpa permit, penjual boleh ditahan dan disabitkan kesalahan.

“Malah, peniaga yang didapati menjual mercun selain daripada dua jenis yang dibenarkan ini akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 2007) dan dipenjarakan hingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 jika didapati bersalah,” katanya.

Beliau berkata, setakat dua minggu Ramadan, empat kes memiliki mercun sudah dikenakan tindakan, dengan dua peniaga mercun sudah didakwa masing-masing membabitkan rampasan bernilai RM200 dan RM17,000.