Murid lemas mandi di sungai bersama kawan – Bernama


Murid lemas mandi di sungai bersama kawan

2013/03/22 – 10:47:11 AMCetakEmel Kawan
BESUT: Seorang murid Tahun Tiga yang mandi di Sungai Besut berhampiran Taman Teratur, Jerteh lemas dalam kejadian petang, semalam.

Ahmad Akid Syawal Aznan, 9, murid Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah pergi ke sungai itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya bersama lima rakannya kira-kira jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Zakaria, berkata mangsa tenggelam dua jam kemudian ketika mandi di kawasan air yang dalam.

“Apabila menyedari mangsa tenggelam, salah seorang rakannya menyelam dan berjaya menarik mangsa keluar. Bapa mangsa segera diberitahu tentang kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, anak keempat dari enam beradik itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besut oleh bapanya yang mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital. – BERNAMA

Pelajar tingkatan 2 maut kemalangan motosikal di Besut – Bernama


Pelajar tingkatan 2 maut kemalangan motosikal di Besut

BESUT, 7 Mac – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dekat Alor Lintang di sini, maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di persimpangan Kampung Amer, Alor Lintang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, dalam kejadian 6.30 petang itu Ahmad Imrannaim Mohammad dari Kampung Tanah Merah Kerandang, Jerteh maut di tempat kejadian.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyertai aktiviti sukan di sekolahnya dan menunggang dalam keadaan hujan lebat.

Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan akibat jalan licin, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pemandu kereta yang dikenal pasti sebagai Zarina Abdullah, 36, tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130307/je_09/Pelajar-tingkatan-2-maut-kemalangan-motosikal-di-Besut#ixzz2MrneG1z9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Geng Boboy Rawang tumpas – Bernama


Geng Boboy Rawang tumpas

27 Julai 2012
SHAH ALAM – Polis percaya dapat menumpaskan satu kumpulan mencuri kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Boboy Rawang’ dengan tertangkapnya ketua kumpulan itu yang berumur 17 tahun serta 15 anggota yang lain dalam Ops Lejang yang dijalankan selama 10 hari sejak 10 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata anggota kumpulan itu yang kebanyakannya bekerja sebagai mekanik giat melakukan kegiatan curi kereta di sekitar Lembah Klang dengan menyasarkan kenderaan yang menggunakan sistem turbo.

Katanya dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata polis sedang mengesan empat lagi suspek termasuk dua abang kepada Boboy yang berumur 27 dan 24 tahun yang dipercayai perancang utama kumpulan itu. Kedua-dua mereka berasal dari Jerteh, Terengganu dan bekerja sebagai mekanik.

Zahedi berkata tangkapan pertama adalah hasil dari aduan seorang mangsa mengenai kehilangan keretanya jenis Proton Satri GTI di Flat PKNS Seksyen 16 di sini pada 10 Julai lepas di mana beberapa jam selepas laporan itu, polis berjaya mengesan kenderaan tersebut di Taman Kota, Cheras.

“Pasukan Cawangan Jenayah Shah Alam yang dibantu oleh anggota Balai Polis Batu 9, Cheras bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan dua suspek termasuk ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Boboy yang menggunakan kenderaan curi terbabit tetapi telah ditukar nombor pendaftaran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zahedi berkata hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemui satu beg lut sinar mengandungi peralatan dipercayai untuk mencuri kenderaan seperti besi berbentuk T, tukul besi, pemutar skru dan empat batang Ellen Key.

Beliau berkata susulan dari tangkapan itu polis membuat beberapa lagi siri tangkapan disekitar Lembah Klang dan merampas 12 kenderaan iaitu empat Honda, tiga Proton Wira, dua Proton Perdana, masing-masing sebuah kereta Proton Waja, Proton Satria GTI dan Toyota.

Katanya polis turut merampas tiga unit enjin kenderaan yang nombor casisnya telah dirosakkan, sebuah motosikal dan beberapa komponen kenderaan yang dileraikan.

“Tangkapan dan rampasan dilakukan di beberapa lokasi termasuk di sebuah premis rumah kedai di Rawang yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket itu,” katanya.

Zahedi berkata sindiket itu juga didapati menjual kenderaan curi yang telah diubah suai dengan harga sekitar RM30,000 seunit dan komponen kenderaan kepada pelanggan mereka.

“Kita meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222 ,” katanya. – Bernama