Jiran jadi hero – Sinar Harian


Jiran jadi hero

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2012
Jiran jadi hero
Keadaan dapur rumah Azizan yang musnah dalam kejadian berkenaan.

KUALA PILAH – Tindakan pantas jiran menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah berjaya menyelamatkan sebuah rumah milik seorang guru daripada terbakar di Taman Desa Anggerik di sini, semalam.

Malah sebelum pihak bomba dan penyelamat tiba, jiran terdekat bertungkus lumus memadamkan kebakaran dengan menggunakan air paip.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.15 pagi itu memusnahkan seluruh bahagian dapur rumah mangsa, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jiran terbabit, Mariah Ahmad berkata, kejadian tersebut disedari anaknya, Noraiza Abd Malek, 30, yang ketika itu sedang menyidai kain di belakang rumah dan terlihat bumbung rumah mangsa sudah hitam dan mengeluarkan asap tebal.

“Ketika kejadian, saya tiada di rumah kerana bekerja dan mengetahuinya selepas dihubungi anak. Selepas itu, saya terus menghubungi tuan rumah dan suami, Abd Malek Abdullah pula menghubungi pihak bomba.

“Saya memang ada simpan kunci rumah jiran kerana jika berlaku perkara yang tidak diingini, saya dapat membantu. Alhamdulillah, kereta mangsa dapat diselamatkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, mangsa, Azizan Abd Aziz, 55, berkata, ketika kejadian, dia berada di Sekolah Kebangsaan Serting Hilir.

Menurutnya, kebakaran itu disedari apabila dimaklumkan jiran tetangganya melalui panggilan telefon jam 9.50 pagi.

“Masa kejadian, saya berada di sekolah sedang berbincang bersama guru besar, manakala Isteri, Hayati Md Jais, 49, bekerja di Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan anak-anak juga tiada di rumah kerana belajar.

“Ketika menerima panggilan daripada jiran, saya sangat terkejut kerana saya baru beberapa jam meninggalkan rumah,” katanya.

Katanya, terima kasih diucapkan kepada jiran dan pihak bomba yang mengawal dan memadamkan kebakaran di rumahnya.

“Mungkin jika jiran tidak perasan ada kebakaran di rumah saya, saya tidak tahulah bagaimana nasib kami nanti. Alhamdulillah, kebakaran tidak melibatkan sebuah rumah, hanya sebahagian dapur sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II, Adnan Awaluddin berkata, pihak bomba menerima panggilan jam 9.29 dan sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, api sudah marak di bahagian dapur rumah tersebut.

“Api dapat dikawal kira-kira dua minit dan berjaya dipadamkan sepenuhnya 22 minit kemudian. Mangsa memberitahu, anggaran kerugian bernilai RM50,000 dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Katanya, tindakan pantas jiran terdekat menghubungi pihak bomba lebih awal dapat mengawal kemaraan api daripada merebak ke bahagian ruang tamu dan bilik.