Kanak-kanak 6 tahun diajak ‘berkhatan’ sebelum dirogol – Sinar Harian


Kanak-kanak 6 tahun diajak ‘berkhatan’ sebelum dirogol

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
30 November 2012

BAGAN SERAI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun tidak menyangka ajakan jiran berusia 13 tahun untuk bermain ‘khatan’ olok-olok menyebabkannya dirogol di bilik air rumah suspek di Batu 4, Jalan Selama di sini pada 24 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian antara jam 4 hingga 5 petang itu, mangsa tinggal seorang diri di rumahnya sebelum dipelawa suspek untuk diajak ‘berkhatan’.

Menurutnya, mangsa terpedaya dengan ajakan suspek bertindak mengikutnya sehingga ke bilik air rumah suspek sebelum dirogol.

“Kejadian terbongkar apabila kanak-kanak perempuan itu mengadu mengalami kesakitan di bahagian kemaluan kepada ibunya pada malam kejadian selepas mendakwa ‘dikhatankan’ jiran sebelah rumah.

“Keluarga kanak-kanak perempuan itu terus membawa mangsa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum disahkan dirogol oleh doktor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini, hari ini.

Budak 12 tahun dirogol, diugut rahsiakan perbuatannya – Sinar Harian


Budak 12 tahun dirogol, diugut rahsiakan perbuatannya

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Oktober 2012
Budak 12 tahun dirogol, diugut rahsiakan perbuatannya
Som Sak menunjukkan gambar individu yang merupakan suspek kes rogol kanak-kanak 12 tahun.

TAPAH – Kunjungan seorang kanak-kanak ke kediaman kakak angkatnya menjadi igauan ngeri apabila dirogol oleh lelaki tak dikenali dalam satu kejadian di Kampung Petalin Baru, Bidor, di sini, 12 September lalu.

Mangsa yang berusia 12 tahun itu bukan sahaja dirogol, malah turut diugut suspek supaya tidak memberitahu perbuatan jijiknya kepada orang lain.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, pada 6 September lalu, kanak-kanak yang berasal dari Slim Village mengikut seorang rakan ke rumah kakak angkatnya di Kampung Petalin Baru untuk bermalam di sana selama beberapa hari.

Bagaimanapun, menurutnya, pada 12 September lalu, seorang lelaki yang juga jiran sebelah rumah telah memecah masuk kediaman berkenaan.

“Suspek yang juga penganggur itu pecah masuk rumah tersebut melalui pintu dan merogol mangsa yang berada seorang diri di dalam sebuah bilik di kediaman berkenaan, kira-kira 12.30 malam.

“Suspek turut mengugut mangsa supaya tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa atau orang lain,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah, Asisten Superitenden Md Nasri Fadzir.

Kata Som Sak, pada keesokan harinya mangsa pulang ke rumah di Slim Village dan menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya sebelum satu laporan polis dibuat berkenaan kes itu.

Jelasnya, mangsa dihantar ke Hospital Slim River sebelum ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk pemeriksaan dan mendapati anak sulung daripada lima beradik itu disahkan dirogol.

“Hasil siasatan polis, pihaknya telah mengenal pasti suspek yang dikenal sebagai Mohd Hadi Baharom, 50, dari Kampung Petalin Baru, Bidor.

“Suspek juga berada di bawah pengawasan polis dalam kes dadah dan dipercayai melarikan diri ke Kuala Lumpur,” katanya.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi hotline IPD Tapah 05-4015222 atau SMS rakan Cops 32728 atau ke balai polis berhampiran.