Gadis dakwa diculik dicekup bersama 4 remaja lelaki – Metro


Gadis dakwa diculik dicekup bersama 4 remaja lelaki

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Tindakan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun ‘merancang’ bahawa dia diculik dan dirogol membawa padah apabila dicekup bersama empat remaja lelaki termasuk teman lelakinya di sebuah hotel di Jitra, Kedah, malam Sabtu lalu.

Dalam serbuan pada jam 9 malam, pelajar sebuah sekolah menengah agama di Ayer Hitam, Kedah itu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bapa angkatnya menggunakan talian tidak dikenali, yang antara lain mengandungi ugutan bunuh jika kejadian culik itu dilaporkan kepada polis.
Dia berbuat demikian semata-mata untuk meluangkan masa bersama teman lelakinya tanpa diganggu ibu dan bapa angkatnya.

 

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, bapa angkat mangsa berusia 53 tahun kemudian membuat laporan polis pada jam 12.30 tengah malam, Sabtu lalu. Menurutnya, mangsa keluar rumah sebelum kejadian sebelum dihampiri seorang lelaki tidak dikenali.
Katanya, selepas kejadian berkenaan kira-kira jam 8 malam itu, mangsa pulang semula ke rumah dan menceritakan perkara itu kepada bapa angkatnya sebelum dia keluar semula ke pasar raya dan diculik suspek.
Abdul Rahman berkata, kandungan SMS berkenaan berbunyi ‘dendam lama masih belum selesai dan jangan buat laporan polis atau mencari mangsa jika tidak mahu mangsa disembelih’.

 

 

“Pada jam 9 malam Sabtu lalu, polis menyerbu bilik sebuah hotel murah di Jitra, sebelum menemui mangsa bersama empat lagi remaja lelaki berusia 16 hingga 19 tahun bersamanya,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, mangsa dipercayai dirogol dua kali oleh seorang suspek sebelum ditinggalkan di bilik itu bersama rakan lain.

 

“Siasatan mendapati mangsa sengaja merancang penculikan berdasarkan maklumat diperoleh daripada semua suspek, malah SMS berkenaan dipercayai dihantar seorang daripada mereka.
“Remaja perempuan berkenaan dipercayai merancang helah penculikan berkenaan bagi mengaburi mata keluarga angkatnya supaya tidak mencarinya yang ingin bersama salah seorang suspek di situ,” katanya.
Beliau berkata, hasil pengakuan teman lelaki mangsa berusia 15 tahun itu juga mendedahkan bahawa mangsa kerap keluar dan tidak pulang ke rumah hampir dua malam sebelum kejadian.
“Polis juga diberitahu teman lelaki mangsa bahawa mereka sering keluar berjumpa di Jitra, Kedah sebelum polis mengadakan operasi mencari mangsa di situ.
“Mangsa direman polis bersama empat suspek lelaki itu sebelum membebaskan mereka dengan jaminan dan kes disiasat mengikut Seksyen 364 iaitu menculik dengan tujuan membunuh atau menyebabkan kematian. “Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu juga menyiasat empat suspek remaja berkenaan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa,” katanya.