JKM minta gadis cacat penglihatan tunggu bantuan – Sinar Harian


JKM minta gadis cacat penglihatan tunggu bantuan

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Julai 2013
JKM minta gadis cacat penglihatan tunggu bantuan
Keratan akhbar Sinar Harian yang melaporkan kisah Siti Natasha.

KOTA BHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meminta gadis cacat penglihatan, Siti Natasha Shahril Azli, 15 supaya menunggu bantuan sehingga usia 18 tahun.

Pegawai JKM Jajahan Kota Bharu, Ruzaidi Che Soh berkata, remaja orang kelainan (OKU) tersebut pernah menerima Elaun Pendidikan Khas semasa bersekolah di Kota Bharu, namun bantuan tersebut dihentikan apabila dia tidak meneruskan persekolahan.

“Siti Natasha akan menerima semula bantuan daripada JKM yang dipanggil Elaun Orang Cacat Tidak Bekerja sebanyak RM150 sebulan. Sekiranya dia bekerja, dia akan menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM300 sebulan,” katanya, semalam.

6 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan, gadis berkenaan memohon JKM mempercepatkan bantuan kepadanya dalam meneruskan hidupnya bersama keluarga.

Bapanya, Shahril Azli Mamat, 42 bekerja kampung menghadapi masalah kemek apabila tempurung kepala apabila terlibat dalam kemalangan pada 1996 dahulu, manakala ibunya, Siti Zuraini Zakaria, 34 menerima tempahan membuat kuih.

Ruzaidi berkata,  berdasarkan siasatan daripada pihaknya, ibu bapa keluarga tersebut masih mampu bekerja dan boleh menyara remaja tersebut.

Kata beliau, selepas usia 18 tahun dan ke atas, Siti Natasha akan diberikan bantuan berdasarkan permohonan yang dibuatnya.

Katanya, JKM prihatin terhadap nasib OKU, namun pihaknya mempunyai syarat tertentu bagi membolehkan mereka menerima bantuan.