JKM siasat remaja diseksa – Metro


JKM siasat remaja diseksa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan kini menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan empat remaja mendakwa diseksa di sebuah rumah perlindungan di Rembau, menyebabkan mereka melarikan diri, Selasa lalu.

Jurucakap JKM Negeri Sembilan berkata, setakat ini belum ada keputusan dibuat kerana siasatan masih dijalankan.
“Kami memerlukan masa mengumpul maklumat sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Mohammad Khairul Hafiz Abdullah berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap rumah perlindungan remaja terbabit jika dakwaan empat remaja itu benar.
Menurutnya, pihak diamanahkan menjaga remaja itu perlu melakukan tugas dengan ikhlas bagi mengelak perkara seperti ini berlaku.
“Kejadian seperti itu pernah terjadi sebelum ini di tempat dan lokasi berbeza, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pengurusan serta kakitangan rumah kebajikan terbabit.

 

“Penderaan ini adalah satu penganiayaan dan pencabulan hak remaja berkenaan. Jika dakwaan ini benar, kami akan mengambil tindakan undang-undang selain berusaha meminta mahkamah memberi kebenaran kepada pihak berkaitan membuat lawatan mengejut di rumah perlindungan terbabit,” katanya, semalam.
Menurut Khairul, lawatan mengejut itu bertujuan menyelami apa sebenarnya berlaku di situ selain berusaha memastikan kejadian dera dapat ditangani.

“Kami beranggapan tiba satu tahap untuk mewujudkan lembaga pelawat yang akan membuat pemeriksaan dan lawatan ke rumah perlindungan seperti ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini terjadi,” katanya.
Kelmarin, Harian Metro melaporkan, empat remaja mendakwa terpaksa melarikan diri kerana tidak tahan ditampar dan diterajang penghuni serta kakitangan rumah perlindungan remaja terbabit.