Pemberian bonus satu setengah bulan terbaik setakat ini: CUEPACS – Bernama


Pemberian bonus satu setengah bulan terbaik setakat ini: CUEPACS

2012/09/28 – 20:18:42 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Pemberian bonus satu setengah bulan kepada 1.3 juta penjawat awam adalah pemberian bonus terbaik yang pernah diberikan oleh kerajaan setakat ini, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPCAS), Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, pemberian bonus itu juga membuktikan bahawa kemampuan kerajaan dari segi kewangan.

“Kerajaan pastinya mengkaji semua perkara sebelum membuat keputusan memberi bonus itu. Ia menunjukkan kerajaan perihatin dengan kehendak penjawat awam dan sentiasa berusaha memenuhi permintaan mereka setiap tahun.

“CUEPACS juga melihatnya sebagai bukti bahawa negara mempunyai pertumbuhan ekonomi yang baik,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman pemberian bonus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 bertemakan ‘Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ di Dewan Rakyat hari ini.

Omar berkata, kesediaan kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar untuk pemberian bonus juga dilihat dapat membawa kesejahteraan kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“CUEPACS amat berterima kasih dengan pemberian bonus ini dan berharap penjawat awam dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka. Jadikanlah bonus ini sebagai pembakar semangat untuk gigih bekerja,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga menyambut baik mengenai pembinaan 123,000 unit rumah mampu milik di kawasan-kawasan strategik termasuk di Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Johor Baharu (Johor), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kuantan (Pahang) tahun depan kerana ia adalah antara yang dimahukan penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau masih berharap kerajaan dapat menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan dari 4 peratus kepada 1 peratus untuk mengurangkan beban pinjaman perumahan kakitangan awam. – BERNAMA

Rogol remaja: Bekas imam dipenjara 15 tahun, sebat – Bernama


Rogol remaja: Bekas imam dipenjara 15 tahun, sebat

JOHOR BAHARU 24 April – “Sebagai seorang imam, tertuduh sepatutnya tahu mengenai hukum dan tidak patut melakukan perbuatan demikian.

“Tertuduh sepatutnya memberi contoh yang baik pada masyarakat dan juga menjaga nama baik institusi yang beliau wakili,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Nua’man Mahmud Zuhudi ketika menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan ke atas bekas imam sebuah masjid kerana kesalahan merogol remaja bawah umur.

Beliau memerintahkan tertuduh Nur Akmal @ Basok Bakri Abdul Kader, 32, menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Nur Akmal, 32, didapati bersalah merogol remaja perempuan itu yang ketika kejadian berumur 13 tahun di rumahnya di Taman Perling, di sini pada kira-kira 3 petang, 21 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika menyampaikan penghakimannya, Hakim Nua’man berkata keterangan tertuduh ketika perbicaraan hanyalah bersifat penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Nur Akmal yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak berusia empat tahun pada mulanya kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan tetapi mula menitiskan air mata ketika dipeluk anggota keluarga.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohd Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam Sukhaimi Mashud. – BERNAMA