Guru terpedaya janji sindiket rugi RM20,000 – Berita Harian


Guru terpedaya janji sindiket rugi RM20,000

2013/07/26 – 05:41:18 AMCetakEmel Kawan
Guru terpedaya janji  sindiket rugi RM20,000Tan (kiri) menunjukkan laporan polis kepada Tay di pejabat Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, semalam.

Johor Bahru: Seorang guru kerugian RM20,490 selepas terpedaya dengan helah sindiket penipuan antarabangsa yang menjanjikan habuan lumayan.

Mangsa, Tan Peck Hiang, 28, berkata kejadian bermula sejak Mei lalu, apabila beliau dihubungi seorang lelaki tidak dikenali menggunakan nombor telefon negara asing yang menjemputnya ke sebuah majlis makan amal di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menghadiri majlis terbabit kerana faktor jarak selain kesibukannya bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di pinggir bandar raya ini.

Tipu pakej melancong

“Sebulan selepas itu, saya sekali lagi mendapat panggilan telefon daripada nombor sama yang memberitahu saya berjaya memenangi pakej percutian ke Dubai, bernilai RM120,000.

“Malah, beliau turut memberitahu, sekiranya saya tidak dapat pergi ke Dubai, tawaran itu boleh digantikan dengan wang tunai RM120,000, namun saya perlu membuat pembayaran terhadap urusan berkaitan tuntutan terbabit yang berjumlah RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru di sini, semalam. Hadir sama ialah Ketua Bironya, Michael Tay.
Peck Hiang berkata, beliau pada mulanya tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu, namun mula terpedaya dengan janji manis lelaki terbabit selain turut memeriksa kesahihannya disebuah laman web.

‘Justeru, pada 8 Julai lalu, saya memindahkan sejumlah RM5,800 daripada akaun bank saya ke akaun lelaki terbabit yang menggunakan nama Lo Chen Hwa,” katanya.

Mula curiga

Katanya, pada 9 Julai lalu, beliau sekali lagi dihubungi lelaki terbabit yang memberitahu beliau berpeluang memenangi RM369,000 dan perlu memasukkan sejumlah wang untuk pemprosesan wang dari Hong Kong ke Malaysia.

“Sekali lagi saya terpedaya dan memindahkan RM9,690 keesokan harinya, saya diberitahu wang berjumlah RM369,000 sudah dimasukkan ke dalam akaun bank saya.

“Namun, wang itu didakwanya disekat bank di Malaysia kerana membabitkan jumlah besar dan perlu membuka dua akaun bank,” katanya.

Katanya, curiga dengan lelaki terbabit, beliau akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada 11 Julai lalu.

Guru wanita disiasat isu perkauman – Berita Harian


Guru wanita disiasat isu perkauman

2013/05/31 – 05:42:52 AMCetakEmel Kawan
Johor Bahru: Seorang guru wanita dari sekolah menengah dekat Gelang Patah, di sini, kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan tindakannya mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, selain menghasut pelajar membenci kerajaan.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad, berkata siasatan itu susulan laporan diterima daripada ibu bapa seorang pelajar yang mendakwa anaknya dan beberapa pelajar lain sering dihambur perkataan kesat dan menghina.

Kita terima laporan itu pagi ini dan polis memandang serius isu membabitkan perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan serta menggugat ketenteraman orang awam.

Justeru, polis akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan terhadap guru terbabit bagi menyiasat dakwaan ibu bapa pelajar berkenaan, katanya ketika dihubungi semalam.

Siasat secara menyeluruh

Nor Hashim berkata, polis memberi jaminan akan menyiasat kes terbabit secara menyeluruh, selain menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

Difahamkan, guru yang mengajar pelajar Tingkatan Dua di sekolah berkenaan sering mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman ketika mengajar.

Guru, 2 anak maut – Metro


Guru, 2 anak maut

 49  2 Google +0  1  0

Oleh Mohd Sah Muda

Mersing: “Kali terakhir saya bertemu empat mangsa tiga hari lalu, apabila arwah anak membawakan nasi dan tomyam untuk makan malam bersama sebelum memberitahu mereka semua akan ke Johor Bahru.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka itu kali terakhir saya menemui arwah anak dan dua daripada tiga anaknya sebelum mereka terbunuh dalam kemalangan,” kata Noriyah Imman, 79, ibu Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Anjung Batu Abd Razak Pid, 44, yang maut bersama dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Mersing-Kota Tinggi, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Proton Iswara dipandu Abd Razak bersama tiga anaknya, Adibah Taqqiah, 14, Afiqah Ihsanniah, 11 dan Alimul Helmi, 9, dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Mersing sebelum dipercayai hilang kawalan lalu bertembung sebuah trak tunda.

Akibat pertembungan itu, Abd Razak yang juga duda, Adibah dan Afiqah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Alimul Helmi patah tangan kanan dan dikejarkan ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

FotoNORIYAH (berkerusi roda) tidak dapat menahan kesedihan ditenangkan ahli keluarga.

“Saya tidak sangka itu makan malam terakhir kami ketika dia datang ke rumah saya di Taman Sri Pantai, dekat sini, sebelum mereka maut dalam kemalangan itu. Ketika itu, arwah anak hanya memaklumkan akan ke Johor Bahru untuk menghadiri kursus ditemani tiga anaknya itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Budak tiru aksi ‘superman’ lemas – Utusan


Budak tiru aksi ‘superman’ lemas

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 26 Mac – Perbuatan tiga kanak-kanak bermain di dalam longkang besar berarus deras dengan cuba meniru aksi ‘superman’ yang sedang ‘terbang’ sambil berpaut di sebatang paip di situ membawa padah selepas seorang daripada mereka mati lemas semalam.

Mangsa, Muhammad Aliff Ahmad, 11, bermain dengan dua sahabatnya di kawasan perumahan mereka di Taman Puteri Resort di sini pukul 3 petang sebelum tiba-tiba tangannya terlepas pegangan paip itu lalu dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa ditemukan orang awam pada pukul 10 pagi ini dalam keadaan terapung di Sungai Kimkin, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah dihanyutkan arus selepas terlepas pautan tangannya pada batang paip tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130327/je_02/Budak-tiru-aksi-superman-lemas#ixzz2Oh6S2L1l
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabun bukan penghalang capai keputusan cemerlang dalam SPM – Berita Harian


Rabun bukan penghalang capai keputusan cemerlang dalam SPM

2013/03/21 – 15:23:34 PMCetakEmel Kawan
JOHOR BAHRU: Seorang pelajar lelaki yang mengalami masalah rabun sejak kecil hari ini membuktikan kekurangan dirinya bukan penghalang untuk berjaya apabila memperoleh keputusan cemerlang 8A+, 1A dan 1A- dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Teo Guo Sheng, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat berkata, kejayaan itu berbaloi dengan segala pengorbanan yang dilakukannya sama ada ketika belajar di sekolah ataupun di rumah.

“Saya mengalami kerosakan retina sejak bersekolah tadika. Saya bernasib baik kerana ibu bapa, guru dan rakan-rakan sentiasa membantu dalam pelbagai hal,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman SPM 2012 oleh Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, di sini, hari ini.

Teo yang juga anak pekerja kilang baju berkata, beliau biasanya belajar di rumah setiap hari selepas pulang dari sekolah selain memasuki kelas tuisyen bagi meningkatkan penguasaan dalam beberapa mata pelajaran.

Memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan, beliau berharap mereka yang senasib dengannya tidak menganggap masalah yang dihadapi sebagai bebanan sebaliknya terus berusaha untuk berjaya setanding orang lain.

Sementara itu, seorang lagi pelajar lelaki yang mengalami masalah rabun sejak lahir, Ng Guo Sern, 18, pula tidak menyangka menjadi antara pelajar yang disenaraikan sebagai pelajar cemerlang apabila mendapat 4A, 4A-, 1C+ dan 1C.

“Saya tidak dapat melihat apa yang ditulis di papan hitam, jadi, saya selalu meminta rakan-rakan membantu apa yang diajar guru.
“Saya juga memperuntukkan masa lebih sejam setiap hari untuk belajar di rumah dan hari ini saya berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh,” katanya yang mempunyai seorang kakak yang turut mengalami masalah sama.

Pelajar SMK Sri Muar itu berkata, beliau bercita-cita menjadi akauntan dan buat masa ini beliau hanya bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. – BERNAMA

Tiga beradik harap dapat ke sekolah – Kosmo


Tiga beradik harap dapat ke sekolah

BASIR (dua dari kanan) menyerahkan bantuan kepada Sanudin sambil disaksikan oleh Samila dan tiga anak mereka di Taman Kota Puteri, Masai, Pasir Gudang semalam.

 

JOHOR BAHRU – Akibat kesempitan hidup, tiga beradik berusia lima hingga tujuh tahun terpaksa melupakan hasrat untuk bersekolah seperti rakan sebaya lain.

Hanya dengan pendapatan RM300 sebulan, ibu mereka, Samila Hussin, 36, tidak mampu untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah meskipun sedar ketiga-tiga mereka mempunyai minat mendalam untuk belajar.

Lebih menyedihkan, dengan pendapatan sekecil itu jugalah, Samila harus menanggung suaminya, Sanudin Abd. Rahim, 58, yang kini mengalami lumpuh sejak 10 bulan lepas.

“Kerana minat mendalam, anak sulung saya yang berusia tujuh tahun sudah pandai membaca walaupun tanpa bantuan daripada sesiapa. Dia sentiasa menunjukkan minat untuk bersekolah.

“Anak kedua saya pula pernah termimpi-mimpi pergi ke sekolah, manakala anak bongsu yang berusia lima tahun juga menyuarakan hasrat untuk bersekolah,” ceritanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Pengerusi Badan Perhubungan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pasir Gudang, Basir Beran di rumah mereka di Taman Kota Puteri, Masai di sini semalam.

Menurut Samila, sejak suaminya diserang lumpuh, dia hanya memperoleh pendapatan dengan mengambil upah menjaga anak jirannya.

Dia mendakwa, suaminya yang pernah bekerja sebagai ejen pembantu rumah dan kontraktor pernah ditipu beberapa kali hingga terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.

“Sejak suami sakit, anak-anak sentiasa faham dan tidak pernah meminta lebih-lebih, namun saya selalu menasihatkan mereka agar sentiasa bersabar,” katanya.

Sementara itu, Basir berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan berterusan bagi membantu meringankan bebanan keluarga malang tersebut.

Katanya, masalah yang dialami keluarga Samila akan dipanjangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pasir Gudang untuk mendapatkan pelbagai jenis bantuan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2KMGPm8bb
Hakcipta terpelihara

Bapa pemalas zalim! – Metro


Bapa pemalas zalim!

 42  4 Google +6  1  1

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Hanya kerana berterus-terang dan memberitahu bapanya malas bekerja, seorang remaja perempuan didera termasuk kepalanya dipijak lelaki itu sehingga mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Mendedahkan perkara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjual burger menjadikan enam anaknya berusia antara lima hingga 13 tahun sebagai mangsa dera terutama anak sulungnya hingga cedera.

Menurutnya, lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai berbuat demikian kerana tersinggung dengan perbuatan anaknya mendedahkan sikapnya yang malas bekerja hingga kebajikan keluarga terabai.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu mengugut akan mengancam keselamatan anaknya sendiri sekiranya menceritakan kehidupan sebenar kepada individu lain.
Perbuatan lelaki itu, katanya, bagaimanapun terbongkar apabila JKM menerima aduan daripada beberapa jiran yang bersimpati dengan keadaan anaknya kerana kerap menjadi mangsa penderaan bapa mereka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Remaja 16 tahun cari wali – Sinar Harian


Remaja 16 tahun cari wali

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2013
Remaja 16 tahun cari wali
Nor Azanita menunjukkan sijil kelahirannya yang didaftarkan di Johor Bahru

KOTA TINGGI – Seorang remaja perempuan mendakwa tidak pernah bertemu kedua-dua ibu bapanya sejak dilahirkan, kini mencari wali bagi membolehkannya melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan.

Nor Azanita Bakar, 16, berkata, sejak kecil dia tinggal bersama keluarga angkat di Segamat malah hingga kini tidak mengetahui butiran lanjut mengenai latar belakang ibu bapanya itu.

Ibu bapa angkatnya juga tidak banyak berbicara mengenai ibu bapa kandungnya namun selepas didesak, ibu angkatnya hanya memaklumkan ibunya hanya dikenali sebagai Ana.

“Saya bersekolah hingga tingkatan tiga tetapi selepas itu saya berdikari sendiri dengan menyewa di luar dan mencari kerja.

“Namun kini saya menghadapi masalah kerana perlukan wali untuk melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihan saya.

“Malah perkahwinan  kami yang sepatutnya dilangsungkan pada 28 Januari ini terpaksa ditangguhkan kerana masalah wali,” katanya yang kini bekerja dan menyewa di Felda Air Tawar 5.

Sebaik menyewa di Felda Air Tawar 5, Nor Azanita rapat dengan Mohamad Sahar Noh, 62, yang dianggap sebagai bapa angkat yang prihatin akan nasibnya.

Mohamad Sahar berharap Nor Azanita dipertemukan dengan walinya secepat mungkin.

“Apa yang diharapkan mana-mana pihak yang pernah  mengenali ibu bapa kepada Nor Azanita akan segera mencari anaknya ini bagi melancarkan urusan pernikahannya.

“Kita bimbang akan pandangan orang ramai, jika dia sudah diijabkabulkan tidak ada perkara yang perlu dirisaukan lagi tambahan pula suaminya nanti boleh menjadi tempatnya berlindung,” katanya.

Cikgu goncang seluruh badan – Metro


Cikgu goncang seluruh badan

 5  0 Google +0  0  0

Oleh Mahaizura Abd Malik

Johor Bahru: Hanya kerana tidak pandai berbahasa Inggeris, seorang murid lelaki berusia tujuh tahun dikasari dengan dipercayai digoncang seluruh badan selain ditolak ke dinding oleh seorang guru lelaki, hingga jatuh telentang dalam kejadian di kelasnya di sebuah sekolah rendah, di sini, Isnin minggu lalu (14 Januari 2013).

Dalam kejadian jam 2 petang itu, bapa mangsa yang kebetulan masih berada di sekolah melihat sendiri kejadian berkenaan sebelum menarik anaknya pulang ke rumah.

Bapa kanak-kanak itu Noriswan Samad, 30, berkata, pada hari kejadian dia dan isterinya, Nurul Akma Abu Bakar, 25, menghantar anak sulung mereka, Muhammad Nur Haikal, ke sekolah terbabit kira-kira jam 1 tengah hari.

“Pada Jumaat (11 Januari) sebelum kejadian, Muhammad Nur Haikal menangis dan mengadu tidak mahu ke sekolah kerana takut didenda guru berikutan tidak boleh bertutur bahasa Inggeris untuk ke tandas selain meminta isteri saya mengajarnya.

FotoNORISWAN dan Nurul Akma menunjukan laporan polis dan doktor mengenai anak mereka, Muhammad Nur Haikal yang didakwa dikasari seorang gurunya, Isnin lalu.

“Pada hari kejadian saya berasa tidak sedap hati dan berpatah semula ke kelas untuk melihat anak, namun tergamam melihat anak saya digoncang seluruh badan beberapa kali, ditolak di kerusi dan dinding hingga jatuh telentang serta diherdik guru itu ‘masukan baju kau dalam seluar bodoh!’.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/22

Anak merengek nak sekolah – Sinar Harian


Anak merengek nak sekolah
AZIZAN INCHE HARUN
17 Januari 2013
Anak merengek nak sekolah Rosnani sebak setiap kali anak-anak merengek minta ke sekolah.

JOHOR BAHRU – “Mak, saya nak sekolah… Kenapa kawan-kawan pergi sekolah, tapi saya tak pergi…”
Itu antara rengekan tiga beradik di Kampung Sinaran Baru, di sini, yang tidak pernah berpeluang untuk bersekolah seperti kanak-kanak seusianya.
Ibu mereka, Rosnani Ramli, 29, hanya mampu melontarkan janji yang belum pasti sedangkan usaha untuk menyekolahkan anak-anaknya masih menemui jalan buntu.
Tiga anak Rosnani yang berumur 10, sembilan dan lapan tahun tidak bersekolah kerana tidak memiliki sijil kelahiran selepas dokumen pernikahannya di Thailand hilang dalam kejadian banjir yang berlaku di rumah lamanya di Kampung Pasir, Tampoi.
Menurutnya, usaha untuk mendapatkan salinan sijil nikah turut gagal apabila individu yang menikahkannya di sebuah kampung di Selatan Thailand telah meninggal dunia.
“Saya sudah putus asa kerana usaha saya beberapa kali ke jabatan bertanggungjawab tidak berhasil, sehingga kadang-kala hanya mampu menangis memikirkan masa depan anak-anak.
“Bila mereka merengek nak sekolah, saya hanya mampu berjanji supaya mereka bersabar dengan alasan sedang proses surat beranak mereka, sedangkan saya sudah lama tidak berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Rosnani berkata, meskipun tiga lagi anaknya yang berusia lima, setahun dan 25 hari memiliki sijil kelahiran, namun jauh di lubuk hatinya mahu melihat kesemua anaknya beruniform sekolah.
Menurutnya, pada anak-anak diharapkan untuk merubah nasib keluarga pada masa akan datang kerana pendapatan suaminya, Osman Taib, 53, sebagai pekerja kontrak tidak seberapa.
“Pendapatan suami hanya sekitar RM1,500 sebulan untuk menampung keluarga dengan enam anak yang masih kecil memang tak cukup, tapi kami makan ala kadar dan sentiasa beringat kerana suami kalau tak kerja memang tak ada gaji.
“Tempat tinggal ini pun kami menumpang di kawasan tempat majikan lama suami, kalau disuruh pindah, bila-bila masa saja kami kena pindah kerana suami sudah tak bekerja lagi dengannya.
“Pada anak-anak sahaja kami berharap supaya dapat bersekolah untuk menjamin masa depan yang lebih baik dan membawa kami keluar dari kehidupan susah sebegini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Syahrin Md Jamaluddin berkata, pihaknya simpati dengan nasib yang menimpa kanak-kanak terbabit.
Menurutnya, pihaknya menghormati prosedur jabatan bertanggungjawab, tetapi pihaknya tidak boleh berkompromi sekiranya masalah itu menidakkan peluang belajar kepada kanak-kanak berkenaan.
“Kita difahamkan keluarga ini sudah beberapa kali berurusan dengan pihak bertanggungjawab, tapi tidak berhasil.
“Jadi kita minta perkara ini diselesaikan segera untuk kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak ini,” katanya.