MAKLUMAN – SEMAKAN SEMULA SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM


MAKLUMAN

SEMAKAN SEMULA SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM

Saya merujuk kepada Kenyataan Media YAB Perdana Menteri bertarikh 12 Januari 2012 mengenai semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Semakan semula ini tidak menjejaskan SBPA yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012.

2. Sehubungan ini adalah dimaklumkan sebuah Pasukan Petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

3. Pasukan Petugas tersebut akan dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman beliau yang luas dalam hal-hal yang berkaitan Perkhidmatan Awam setelah memegang beberapa jawatan penting dalam perkhidmatan awam.

4. Pasukan Petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) serta Pegawai kementerian yang berkaitan.

5. Pasukan Petugas tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

6. Isu-isu berhubung pelaksanaan SBPA hendaklah dialamatkan atau diemelkan dalam tempoh 1 bulan dari kenyataan media ini, iaitu sehingga 15 Februari 2012kepada:

YBhg. Datuk Farida Mohd Ali,
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

Jabatan Perkhidmatan Awam, Aras 13,
Blok C1, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62510 PUTRAJAYA.

E-mel: farida.sbpa@jpa.gov.my

7. Pasukan Petugas diberi tempoh 2 bulan, iaitu sehingga 16 April 2012 untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada Kerajaan.

8. Bagi mereka yang telah pun bersetuju memilih SBPA, opsyen tersebut adalah kekal.

9. Bagi mereka yang belum mengemukakan borang opsyen SBPA pada tarikh kenyataan media ini dan mereka yang telah membuat opsyen untuk tidak memilih SBPA, borang opsyen yang baru akan dikemukakan setelah keputusan muktamad ke atas semakan semula itu dibuat.

10. Walau apa pun Kerajaan memberi jaminan bahawa SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak akan menjadi kurang baik (less favourable) daripada terma dan syarat SBPA yang telah ditawarkan terdahulu termasuklah kemudahan dan gaji.

TAN SRI MOHD SIDEK BIN HJ HASSAN
KETUA SETIAUSAHA NEGARA

13 JANUARI 2011

CUEPACS lega 5 isu berbangkit selesai – Berita Harian


CUEPACS lega 5 isu berbangkit selesai
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2011/12/24

Pertemuan dengan JPA jelas kekeliruan timbul

KUALA TERENGGANU: CUEPACS lega apabila lima isu berbangkit membabitkan hak perundingan bersama, isu penyelarasan gaji dan dasar pemisah atau exit policy dan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berjaya diselesaikan dalam satu perundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kelmarin.

Sehubungan itu, JPA akan memberi taklimat khas secara menyeluruh kepada CUEPACS, Selasa ini yang dijangka disampaikan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah di Putrajaya kepada Majlis Kongres CUEPACS dan ketiga-tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) di bawah JPA yang akan membabitkan penyertaan 140 wakil jabatan.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pertemuan yang mengambil masa empat jam kelmarin berjalan dalam suasana mesra dan JPA memahami hasrat CUEPACS yang mewakili kepentingan 1.4 juta penjawat awam khususnya berkaitan opsyen SBPA yang sebelum ini ditetapkan sehingga 31 Disember ini.

Katanya, perjumpaan itu diadakan bagi memberi penjelasan berikutan ada beberapa kekeliruan terhadap SBPA yang berbeza maklumat serta taklimat di antara JPA dan CUEPACS kepada kakitangan awam.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, CUEPACS gembira apabila JPA juga bersetuju membuat semakan semula terhadap 250,000 kakitangan awam dalam kumpulan gred 17 yang tidak berubah.

“CUEPACS dengan JPA tidak ada perbalahan cuma kita kesal kerana ketika proses menyediakan SBPA, CUEPACS tidak dijemput bersama untuk memberi pandangan.
“Namun, kita lega semuanya dapat diselesaikan dengan baik termasuk semakan segera kakitangan awam kumpulan gred 17 seperti di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen membabitkan pembantu tadbir dan perkeranian yang gred mereka tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Tri Tahunan ke-24 Kesatuan Kebangsaan Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULAE) Semenanjung Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di sini, semalam.

Omar berkata, taklimat Abu Bakar itu dijangka menyelesaikan segala kekusutan yang berbangkit sebelum ini dan diharap ketua jabatan tidak menekan kakitangannya supaya menandatangani segera borang opsyen SPBA.

Bagaimanapun, beliau mengulangi pendirian CUEPACS menolak sebarang pengambilan orang luar yang bukan dalam perkhidmatan awam berkhidmat dalam sektor berkenaan.

“Kita tetap membantah polisi ini kerana kita hanya mahu orang dalam perkhidmatan awam saja mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam,” katanya.

Kemelut selesai, tarikh akhir terima opsyen SBPA dilanjut – Utusan


Kemelut selesai, tarikh akhir terima opsyen SBPA dilanjut

PUTRAJAYA 23 Dis. – Kemelut mengenai pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akhirnya selesai dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) diberi hak berunding dalam isu berbangkit serta menjadi pemerhati dalam pelaksanaan dasar pemisah atau ‘exit policy’.

Perbincangan lebih tiga jam antara CUEPACS dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membawa hasil positif apabila masing-masing bersetuju supaya tarikh akhir untuk menerima opsyen SBPA dilanjutkan ke 15 Januari 2012, manakala tarikh akhir untuk penerimaan opsyen umur persaraan 60 tahun dikekalkan pada 30 Disember ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, JPA pada masa yang sama turut bersetuju supaya perkara-perkara mengenai pelaksanaan SBPA dirundingkan setiap tiga bulan sehingga hal-hal yang berbangkit dapat diselaraskan secara bersama.

“Mengenai penambahbaikan gred yang tertinggal dalam SBPA, semua gred 17 dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) akan dibuat semakan semula dalam tempoh tiga bulan. CUEPACS berharap akan mendapat gambaran lebih lanjut mengenai perkara ini pada rundingan seterusnya.

“Pada masa sama, satu taklimat yang teliti mengenai kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus akan dibuat antara ahli majlis kongres bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah pada minggu depan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengarahkan rundingan dijalankan hari ini antara JPA dan CUEPACS bagi menentukan sama ada pelaksanaan SBPA akan ditangguhkan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan.

Dalam pada itu, isu dasar pemisah yang menjadi kebimbangan penjawat awam turut diselesaikan pada hari ini apabila wakil CUEPACS dibenarkan menjadi pemerhati dalam panel pelaksanaan dasar tersebut.

Omar berkata, CUEPACS melihat dasar pemisah itu dari sudut yang positif kerana ia dapat mengelakkan masalah kewujudan penjawat awam yang tidak produktif.

“Wakil CUEPACS boleh memberi pandangan sebelum seseorang itu dikeluarkan dari jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun. Ini bagi mengelakkan terdapat penjawat awam yang teraniaya.

“Jabatan dan agensi di mana penjawat awam berkenaan berkhidmat juga tidak dibenarkan untuk mengambil tindakan memberhentikan seseorang penjawat awam di bawah dasar pemisah, keputusan itu mesti dibuat oleh JPA dengan kehadiran wakil CUEPACS,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr. Ismail Alias berkata, JPA dan CUEPACS secara keseluruhannya bersepakat untuk melaksanakan SBPA .

“Kita telah menyelesaikan semua isu. JPA amat gembira dan menghargai pandangan dan keputusan daripada pihak CUEPACS,” katanya.

JPA, CUEPACS berunding hari ini – Berita Harian


JPA, CUEPACS berunding hari ini
Oleh Haika Khazi dan Nor Fariza Ramlan
haikakhazi@bharian.com.my
2011/12/23

Perbincangan selesai isu skim SBPA sebelum dapat dilaksana 1 Januari ini

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengadakan rundingan hari ini bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari ini.

Difahamkan, perbincangan itu akan menentukan sama ada SBPA ditangguhkan ke satu tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak atau sebaliknya.

JPA dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini petang semalam mengesahkan perbincangan itu akan diadakan hari ini.

“Berikutan terlalu banyak pertanyaan diterima mengenai status pelaksanaan SBPA, adalah dimaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti ditetapkan.
“JPA bersama CUEPACS akan mengadakan perbincangan esok (Jumaat) bagi membincangkan isu dibangkitkan CUEPACS,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, serta beberapa pegawai kesatuan sekerja yang mewakili kira-kira 1,4 juta penjawat awam mengadakan pertemuan kira-kira 45 minit dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pejabat Perdana Menteri, di sini, berhubung isu sama.
Bercakap pada sidang media di Serdang selepas pertemuan itu, Omar berkata Perdana Menteri mengarahkan diadakan perundingan segera bagi menyelesaikan isu itu.

“Rundingan berkenaan antara lain adalah CUEPACS dan JPA menentukan sama ada pelaksanaan SBPA diteruskan mulai 1 Januari depan atau satu tarikh baru akan ditetapkan.

“Perdana Menteri berharap semua pertikaian dan kekeliruan berhubungan SBPA dapat diselesaikan sebaik mungkin dengan persetujuan kedua-dua pihak sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun depan,” katanya.

Berikutan itu, Omar berkata beliau akan mengetuai delegasi CUEPACS untuk mengadakan pertemuan dengan wakil JPA di sini, hari ini (Jumaat) bagi menyelesaikan isu pelaksanaan SBPA.

Sementara itu, Pemuda UMNO berharap rundingan antara JPA dan CUEPACS hari ini dapat menyelesaikan isu SBPA di samping menjamin keadilan serta ketelusan buat 1.4 penjawat awam seluruh negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata rundingan terbabit dapat memastikan keadilan dan ketelusan dalam SBPA serta semua persoalan dibangkitkan dapat diselesaikan.

“Saya berharap rundingan dilaksanakan dengan berhemah agar isu dibangkitkan dapat diselesaikan segera bagi menepati sasaran dan iltizam kerajaan untuk membina warga kerja awam cekap, produktif serta mampu merealisasikan perancangan transformasi negara,” katanya.

JPA, Cuepacs mula berunding – Bernama


JPA, Cuepacs mula berunding

SERDANG 22 Dis. – Satu rundingan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs akan diadakan esok bagi menentukan sama ada pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan ditangguhkan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan.

Keputusan itu dibuat hasil pertemuan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri pagi tadi, yang turut disertai pegawai tertinggi Cuepacs, anggota kesatuan serta wakil daripada JPA.

Bercakap kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan anggota Cuepacs di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini sebaik selesai bertemu Perdana Menteri, Omar berkata Perdana Menteri mahu isu SBPA diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

“Perdana Menteri berharap isu SBPA mesti dirundingkan bersama-sama antara JPA dan Cuepacs sehingga persetujuan bersama tercapai, barulah ia boleh dilaksanakan,” katanya.

JPA dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan akan mengadakan perbincangan itu bersama Cuepacs bagi membincangkan segala isu yang dibangkitkan.

Ketua Pengarah JPA Tan Sri Abu Bakar Abdullah ketika dihubungi Bernama pada Khamis lepas berkata tempoh untuk menandatangani surat tawaran SBPA tidak akan dilanjutkan tetapi penjawat awam yang mempunyai alasan yang munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh berkenaan.

Ketika mengumumkan mengenai SBPA ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas, Najib berkata melalui sistem baru itu, penjawat awam akan menerima kenaikan gaji antara 7 dan 13 peratus mulai tahun depan.

Omar berkata Cuepacs tidak menolak sepenuhnya SBPA tetapi disebabkan beberapa perkara yang tidak dipersetujui, ia terpaksa membangkitkan mengenai isu itu. “Misalnya tiada rundingan dibuat dengan kita mengenai SBPA sedangkan sebelum ini kita ada dipanggil untuk berunding mengenai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek) untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan ianya berjalan dengan baik serta kami buat roadshow bersama,” katanya.

Omar berkata antara perkara lain yang kurang disenangi sesetengah penjawat awam adalah mengenai kenaikan gred serta isu gaji kerana ada yang mendakwa akan menerima kenaikan gaji yang terlalu kecil.

“Di bawah SBPA ini penambahbaikan gred tidak selaras. Ada gred yang ditambah baik, ada yang tidak. Dan kenapa ada kumpulan pekerja yang naik dan ada kumpulan yang tidak naik,” kata beliau.

Omar berkata selepas pertemuan dengan JPA esok dan jalan penyelesaian ditemui, beliau berharap satu perjanjian dibuat supaya kedua-dua pihak dapat turun padang untuk bersama-sama mengadakan taklimat kepada penjawat awam mengenai skim itu berbanding secara berasingan sebelum ini.

Beliau sekali lagi meminta penjawat awam supaya menangguhkan untuk menandatangani surat tawaran SBPA buat masa ini dan menunggu hasil rundingan antara JPA dan Cuepacs mengenai skim itu.

Bagaimanapun untuk yang telah menandatangani surat tawaran itu dan sudah diserahkan kepada majikan masing-masing, Omar berkata perkara itu akan dibangkitkan kepada JPA esok. – BERNAMA

MUAT TURUN PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13 TAHUN 2011: PELAKSANAAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN PERSEKUTUAN VERSI MS WORD


MUAT TURUN PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13 TAHUN 2011: PELAKSANAAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN PERSEKUTUAN VERSI MS WORD

Kini anda boleh muat turun Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2011: Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Persekutuan dalam versi Microsoft Word.

Mana tahu ada yang mahu hantar secara e-mail. Tandatangan boleh scan dan masukkan gambar tandatangan dalam borang bentuk Ms Words itu. TAPI boleh ke?

MUAT TURUN DI SINI: SBPA PEKELILING

MAKLUMAN SBPA


MAKLUMAN SBPA

Pekeliling Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk Umum, Guru dan PDRM akan dihebahkan secara serentak menerusi portal/laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MAMPU dan semua kementerian dalam masa terdekat.

Jabatan Perkhidmatan Awam
07 Disember 2011
Putrajaya

NOTA MAKLUMAN MEDIA – SEMPENA PELANCARAN PEKELILING SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) OLEH YBHG. TAN SRI ABU BAKAR BIN HAJI ABDULLAH, KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA


NOTA MAKLUMAN MEDIA

SEMPENA PELANCARAN PEKELILING SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) OLEH YBHG. TAN SRI ABU BAKAR BIN HAJI ABDULLAH, KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA

– INTIPATI PELAKSANAAN SBPA –

Antara intipati pelaksanaan SBPA yang dipersetujui oleh Kerajaan adalah seperti berikut:

1. pelaksanaan transformasi Perkhidmatan Awam melalui lima (5) inisiatif iaitu Perkhidmatan Awam yang kejat (lean civil service), kepimpinan dinamik, modal insan berkualiti, Perkhidmatan Awam yang fleksibel dan saraan yang kompetitif;

2. pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan rombakan sistem saraan Perkhidmatan Awam secara tersusun.

3. pengekalan prinsip-prinsip saraan yang berkuat kuasa dengan penambahan empat (4) prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut Kumpulan Perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu (subject matter expert) serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi;

4. pembentukan hierarki Perkhidmatan Awam yang terdiri daripada empat (4) peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana yang menggantikan Kumpulan Sokongan;

5. peruntukan gaji secara single point tanpa Kenaikan Gaji Tahunan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan Kenaikan Gaji Tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi;

6. peruntukan Jadual Gaji Sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana;

7. pelaksanaan enam (6) strategi untuk merealisasi inisiatif Perkhidmatan Awam yang kejat iaitu kawalan saiz Perkhidmatan Awam (right-sizing), kajian pertindihan fungsi antara agensi (duplication), penjajaran fungsi utama perkhidmatan (realignment), perkhidmatan yang boleh diserah urus (outsourcing), perekayasaan proses kerja (business process reengineering) dan kajian semakan skim perkhidmatan (revision);

8. penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan melalui pelaksanaan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru dengan memberi fokus kepada Laluan Pengajaran dan Pembelajaran (LPDP);

9. penambahbaikan laluan kerjaya pegawai dan anggota dalam Senarai Tugas Am ATM berdasarkan subject matter expert dalam bidang-bidang kritikal dengan diberi kenaikan gred gaji tanpa bersandarkan kepada pangkat;

10. pemberian peningkatan gred gaji yang setara dengan gred kenaikan pangkat tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong kepada pegawai yang diiktiraf sebagai subject matter expert;

11. pengenalan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang mengandungi dua (2) komponen iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP), dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan;

12. perluasan pemberian kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada pegawai dalam Kumpulan Pelaksana bagi membolehkan pegawai mengikuti latihan kemahiran di bawah program SkillsMalaysia;

13. pengekalan prinsip-prinsip pemberian elaun sedia ada dan penambatan kadar bagi empat (4) elaun yang pada ketika ini kadarnya ditentukan berdasarkan gaji iaitu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan, Bayaran Insentif Wilayah dan Bayaran Insentif Pedalaman;

14. pengekalan prinsip-prinsip pemberian kemudahan sedia ada dengan penambahbaikan melalui Program Keseimbangan Kehidupan dan Kerjaya yang memperkenalkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah;

15. pemansuhan dasar pelepasan dengan izin yang diganti dengan dasar pelepasan jawatan bagi mempertingkat mobiliti pegawai dalam perkhidmatan;

16. pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) kepada penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;

17. penyelarasan pencen kepada pesara Perkhidmatan Awam secara peratusan berasaskan kajian berkala kos sara hidup berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013;

18. peningkatan umur persaraan wajib dari 58 tahun ke 60 tahun bertujuan mengekalkan pegawai mahir di dalam perkhidmatan; dan

19. pengekalan pegawai yang menolak SBPA di bawah sistem saraannya, skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan sedia ada (SSM)

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Putrajaya

7 Disember 2011