JPN P.Pinang siasat dakwaan anak dirotan atas silap kecil – Bernama


JPN P.Pinang siasat dakwaan anak dirotan atas silap kecil

3 Oktober 2012

GEORGE TOWN РJabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Seberang  Perai Utara untuk menyiasat dakwaan sekumpulan ibu bapa yang anak mereka dirotan guru atas kesalahan kecil.

Pengarahnya Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata sebuah panel khas akan menyiasat perkara itu dengan memanggil murid dan guru yang terlibat serta guru besar sekolah.

Siasatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

“Tindakan susulan adalah berdasarkan siasatan yang pihak PPD jalankan dan jika dakwaan ibu bapa berkenaan betul, pihak kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tata tertib ke atas guru terbabit,” katanya.

Mengenai dakwaan ibu bapa bahawa guru wanita terbabit menghidap masalah mental, Ahmad Tarmizi berkata semua dakwaan akan disiasat oleh panel yang ditubuhkan itu.

“Saya tidak pasti sama ada guru berkenaan menghadapi masalah mental atau sebaliknya kerana tiada rekod kesihatan berkenaan perkara terbabit,” katanya.

Semalam, sekumpulan ibu bapa membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua di sini, mendakwa anak mereka dirotan guru atas kesalahan kecil.

Mereka turut mendakwa aduan yang dibuat kepada pihak sekolah tidak diberi perhatian sewajarnya oleh guru besar sekolah di Sungai Dua itu.
– Bernama