Guru mahu terlibat politik disaran letak jawatan – Bernama


Guru mahu terlibat politik disaran letak jawatan

5 Februari 2013

KUALA TERENGGANU – Guru yang mahu aktif dalam politik  disaran meletak jawatan bagi mengelak fokus mereka terganggu sewaktu sesi pembelajaran, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Zakariav Husin.

Beliau berkata JPNT tidak pernah menghalang mana-mana guru yang mahu meletak jawatan kerana berhasrat menceburi politik secara serius kerana tindakan itu lebih sesuai untuk kepentingan pelajar dan sektor pendidikan negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, secara umumnya di Terengganu tidak ramai guru yang mahu aktif dalam politik dan kalau ada pun sekadar memegang jawatan biasa di
peringkat cawangan.

“Sehingga kini, JPNT ada menerima kurang 10 permohonan rasmi daripada guru yang meminta kebenaran untuk memegang jawatan dalam parti politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Refleksi Pendidikan bersama 500 guru di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua guru di Terengganu agar sentiasa menyokong dasar kerajaan dan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

“Tidak sesuai jika kita sebagai penjawat awam tetapi menyokong pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan apa sahaja usaha dilakukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata JPNT turut memantau prestasi semua guru di negeri ini agar mereka sentiasa memberi khidmat terbaik demi memastikan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu tercapai.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata Terengganu menerima 20 guru Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) pada tahun ini berbanding 17 pada tahun lalu
yang diharap mampu meningkatkan penguasaan bahasa utama dunia itu di kalangan pelajar di negeri ini.

Namun, kataya, jumlah itu masih belum mencukupi dan kerajaan negeri akan mencari guru ETA dari negara lain selain Amerika, mungkin dari Australia. – Bernama

Jabatan Pelajaran Terengganu sasar semua sekolah satu sesi – Bernama


Jabatan Pelajaran Terengganu sasar semua sekolah satu sesi

WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Februari 2013

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan semua sekolah di negeri itu akan menjalankan persekolahan satu sesi dalam tempoh lima tahun lagi.

Pengarahnya Zakaria Hussin berkata setakat ini masih terdapat 21 sekolah menjalankan dua sesi, membabitkan 11 sekolah menengah dan 10 sekolah rendah yang kebanyakan terletak di bandar-bandar utama Terengganu.

Persekolahan satu sesi dijangka dapat dilaksana dengan pembinaan sekolah baru bagi menampung jumlah pelajar dan usaha mengenal pasti tapak sekolah baru sedang dijalankan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya, pembinaan sekolah baharu itu merupakan langkah jangka panjang sektor pendidikan Terengganu serta menumpukan kawasan berkepadatan penduduk tinggi.

“JPNT banyak mengadakan perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian di setiap daerah untuk mengetahui pelan pembangunan di setiap kawasan untuk memudahkan jabatan merancang aspek infrastruktur fizikal bagi keperluan pendidikan masa depan,” katanya.

Buat masa ini dua kawasan telah dikenal pasti sebagai tapak sekolah baharu iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun membabitkan kawasan seluas 12 hektar dan di Bandar Baru Cheneh, Kemaman (20 hektar). Terengganu kini mempunyai 493 buah sekolah.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata purata kepadatan pelajar di sekolah dua sesi itu ialah antara 1,300 dan 1,600 orang.

“Istimewanya Terengganu ialah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said memberi keutamaan terhadap apa sahaja keperluan pendidikan, termasuk menyediakan tanah untuk pembinaan sekolah baru.

“Jabatan yakin masalah dua sesi ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana kerja pembinaan sekolah baru dapat dimulakan sebaik mendapat peruntukan kewangan dari Kementerian Pelajaran,” katanya. – Bernama

Banjir: 900 pelajar dan warga kerja sekolah ‘dihalau’ pulang – Bernama


Banjir: 900 pelajar dan warga kerja sekolah ‘dihalau’ pulang

1 Januari 2013

HULU TERENGGANU – Hari pertama sesi persekolahan 2013 bagi Sekolah Menengah Agama Mahmudiah di sini hari ini, terbantut apabila sekolah itu dinaiki air menyebabkan kira-kira 900 pelajar, guru dan warga kerjanya terpaksa pulang ke rumah masing-masing.

Air banjir dikatakan mula memasuki kelas, dewan dan asrama sekolah tersebut pada pukul 8 pagi dan setakat petang tadi seluruh kawasan sekolah itu ditenggelami air sedalam dua meter.

Pengetuanya Mohd Yakin Mahmood memberitahu pemberita, hari ini dijadualkan untuk sesi suai kenal guru dan murid, namun disebabkan air naik begitu pantas sesi ditangguhkan serta kesemua diarah meninggalkan kawasan sekolah.

Pada awal pagi banjir hanya dikesan berhampiran dewan sekolah dan tidak menjejaskan kawasan lain, namun kira-kira pukul 8 pagi banjir mula merebak, katanya menambah arahan meninggalkan sekolah tersebut dibuat selepas mendapat kebenaran Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

Setakat ini belum dapat dipastikan bila sekolah akan dibuka, katanya.

Terengganu, Kelantan dan Kedah merupakan tiga negeri yang memulakan sesi persekolahan 2013 hari ini, manakala negeri lain akan bermula esok.

Sementara itu, seorang pelajar Siti Nurhidayah Sharudin berkata walaupun beliau agak terkejut dengan pengumuman pihak sekolah berkenaan, perkara tersebut agak melucukan.

“Selepas cuti panjang, saya dan kawan-kawan sangat bersemangat untuk pergi ke sekolah semula. Namun tidak sampai sejam selepas itu kami diarahkan balik sebab banjir pula,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu Timbalan Pengarah JPNT, Hashim Mohd Zin ketika dihubungi Bernama, berkata sehingga kini sebanyak 31 sekolah terpaksa ditutup hari ini akibat banjir iaitu 13 di Hulu Terengganu, Besut (12), dan tiga masing-masing di Setiu dan Kemaman.

Katanya sebahagian daripada sekolah itu tidak dapat memulakan sesi persekolahan kerana dijadikan pusat pemindahan banjir.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di Kampung Matang yang dilanda banjir mendapati pekerja Pos Malaysia, Mas Izan Mustafa, 32, tekun melakukan kerja menyerahkan surat di kawasan tersebut.

Difahamkan Pejabat Pos Malaysia cawangan Kuala Berang di sini, terpaksa mengambil inisiatif menyerahkan surat kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk diserah kepada penduduk di kawasan yang dinaiki air.

Selain itu, syarikat berkenaan juga menyewa bot bagi tujuan penghantaran surat penting. – Bernama

UPSR: SK Tapu terbaik negeri – Sinar Harian


UPSR: SK Tapu terbaik negeri

RAHAYU MUSTAFA
20 November 2012
Zakaria menunjukkan buku analisis keputusan UPSR selepas selesai sidang media semalam.
Zakaria menunjukkan buku analisis keputusan UPSR selepas selesai sidang media semalam.

KUALA TERENGGANU – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini sedikit merosot berbanding tahun lepas dengan penurunan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.07 mata.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin berkata, pada tahun lepas, pencapaian GPN keseluruhan calon UPSR Terengganu adalah 2.14 manakala pada tahun ini pula 2.21.

Menurutnya, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A dalam mata pelajaran juga didapati menurun sebanyak 2.34 peratus, iaitu 3,012 orang berbanding 3,548 orang pada tahun lepas.

“Walaupun pencapaian di Terengganu sedikit merosot, tapi kita masih lagi mengatasi pencapaian di peringkat nasional bagi tiga kriteria.

“Kriteria itu adalah GPN mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.10, pencapaian minimum Gred C mengatasi nasional sebanyak 0.17 peratus dan calon cemerlang semua A juga atasi nasional sebanyak 4.28 peratus,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR, semalam.

Di sebalik kemerosotan itu juga kata Zakaria, peratusan calon yang mendapat pencapaian Baik dengan minimum gred C iaitu tidak termasuk semua A bagi semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 1.57 peratus daripada 55.45 peratus pada 2011 kepada 57.11 peratus pada tahun ini.

Malah katanya, peratusan calon yang mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap minimum juga meningkat sebanyak 1.16 peratus iaitu 2.35 peratus pada tahun lalu kepada 3.51 peratus pada tahun ini.

Selain itu Zakaria berkata, Gred Purata Mata Pelajaran Negeri Terengganu juga berjaya mengatasi Gred Purata Mata Pelajaran Nasional bagi enam mata pelajaran.

Enam mata pelajaran tersebut adalah Bahasa Melayu Pemahaman (SK), Bahasa Melayu Penulisan (SK), Bahasa Melayu Pemahaman (SJKC), Bahasa Inggeris (SK), Bahasa Inggeris (SJKC) dan Sains.

Pada sidang media sama, Zakaria turut mengumumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tapu, Hulu Terengganu menjadi sekolah terbaik di negeri Terengganu berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.12 apabila 16 dari 20 calonnya mendapat 5A.

Ia diikuti SK Chalok, Setiu (1.23), SK Kemat, Hulu Terengganu (1.31), SK Teris, Hulu Terengganu (1.34), SK Kuala Berang, Hulu Terengganu (1.37), SK Kampung Bari Sungai Tong, Setiu (1.50), SK Kampung Jaya, Setiu (1.51), SK Rantau Petronas, Kemaman (1.51), SK Tepus, Dungun (1.51) dan SK Tok Dor, Besut (1.52).

“Walau prestasi sedikit merosot, kita tetap bersyukur dengan pencapaian keseluruhan UPSR tahun ini. Kita akan teruskan usaha untuk mempertingkatkan lagi pencapaian kita pada tahun hadapan,” katanya.

Seramai 23,196 murid merangkumi 22,887 (98.67 peratus) calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia dan 309 (1.33 peratus) calon sekolah swasta menduduki UPSR seluruh Terengganu pada tahun ini.

Mohon kemasukan murid tahun satu mulai Mac – Sinar Harian


Mohon kemasukan murid tahun satu mulai Mac

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Februari 2012
Hashim

KUALA TERENGGANU – Permohonan penempatan murid ke sekolah rendah hanya boleh dibuat seawal dua tahun sebelum mula bersekolah.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Hashim Mohd Zin melalui kenyataannya kepada Sinar Harian berkata, penempatan kemasukan murid tahun satu bagi sesi 2013 dan 2014 akan bermula pada 1 Mac hingga 30 April 2012 di sekolah yang dimohon.

Menurutnya, permohonan penempatan tersebut adalah bagi kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007, bagi tahun persekolahan 2013 dan 2 Januari 2007 hingga 1 Januari 2008 untuk tahun 2014.

“Semua urusan permohonan penempatan hendaklah dilaksanakan di peringkat sekolah mulai 1 Mac hingga 30 April 2012 pada hari bekerja dan waktu pejabat di sekolah yang dimohon.

“Ibu bapa atau penjaga perlu membawa sijil kelahiran kanak-kanak (salinan asal dan fotostat) dan juga bukti alamat tempat tinggal dengan membawa bil elektrik atau air atau dokumen lain yang berkenaan semasa pendaftaran,” katanya.

Menurutnya, bagi kanak-kanak cacat penglihatan/pendengaran dan bermasalah pembelajaran, mereka perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu sebelum pendaftaran dilakukan, di mana borang-borang pemeriksaan tersebut boleh didapati di Unit Pendidikan Khas, JPNT.

“Bagi permohonan penempatan kanak-kanak bukan warganegara bagi tahun 2013 pula, permohonan perlu dilakukan di JPNT selepas 1 Oktober 2012,” katanya.

Hashim berkata, setiap borang permohonan diisi dengan tiga salinan dan disertakan dua salinan sijil kelahiran kanak-kanak, dua salinan kad pengenalan ibu bapa, dua salinan pasport anak dan ibu bapa.

Katanya, jika ibu bapa bekerja di Malaysia, sertakan salinan pas pengajian yang sah, salinan pas tanggungan (anak/ibu) dan salinan surat majikan (semua dua salinan).

“Jika permohonan bukan daripada ibu bapa murid, sertakan salinan sijil lahir, salinan kad pengenalan murid dan ibu bapa, salinan pasport murid dan ibu bapa serta salinan surat keterangan hubungan dengan kanak-kanak tersebut.

“Kesemuanya dalam dua salinan dengan mendapatkan pengesahan Guru Besar. Borang dan keterangan lanjut boleh berhubung dengan Unit Perhubungan dan Pendaftaran, JPNT,” katanya.