Kakitangan awam curi tulang – Berita Harian


Kakitangan awam curi tulang

» Membeli-belah pada waktu bekerja dalam bulan Ramadan

Putrajaya: Ramai kakitangan awam dikesan ponteng kerja dengan membeli-belah ketika waktu bekerja pada bulan Ramadan sekarang.
Selain kompleks beli-belah dan pasar raya, mereka mengunjungi bazar Ramadan berhampiran pejabat, dipercayai untuk persiapan Aidilfitri dan membeli juadah berbuka puasa.

JPA meminta ketua jabatan membuat pemantauan berterusan pergerakan pegawai dengan memastikan mereka mendapat kebenaran terlebih dulu sebelum meninggalkan pejabat dalam waktu bekerja untuk sebarang urusan peribadi.

Perbuatan itu dikesan menerusi pemantauan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas sering menerima aduan orang ramai mengenai sikap kakitangan awam tidak mematuhi waktu bekerja dan berada di tempat awam.

Perlu patuh waktu bertugas Dalam surat Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) JPA, Datuk Farida Mohd Ali kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan menyatakan walaupun jumlah pegawai awam yang berbuat demikian makin berkurangan, ketua jabatan perlu mengingatkan pegawai supaya mematuhi waktu bertugas.

Surat itu menyatakan kegagalan mematuhi waktu bekerja bertentangan dengan Perintah Am 5, Perintah Am Bab G Waktu Bekerja dan Lebih Masa 1974 dan Peraturan 24, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Baru-baru ini, JPA melakukan pemantauan terhadap pematuhan waktu bekerja penjawat awam di sekitar premis perniagaan, pasar raya dan pusat beli-belah yang berhampiran pejabat kerajaan dan mendapati masih ada segelintir penjawat awam tidak mematuhi perkara ini,” katanya.
Surat bertarikh 30 Julai dengan tajuk perkara Penguatkuasaan Peraturan Berkaitan Pematuhan Waktu Bekerja Penjawat Awam, disiarkan dalam laman web rasmi JPA semalam, ditandatangani oleh Farida.

Sehubungan itu, JPA meminta ketua jabatan membuat pemantauan berterusan pergerakan pegawai dengan memastikan mereka mendapat kebenaran terlebih dulu sebelum meninggalkan pejabat dalam waktu bekerja untuk sebarang urusan peribadi.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, setiap pegawai atau anggota penjawat awam perlu mematuhi peraturan dan tidak mengambil kesempatan untuk pulang lebih awal daripada masa ditetapkan.

“CUEPACS difahamkan sepanjang Ramadan ini, segelintir jabatan membenarkan penjawat awam pulang pada jam 4.30 petang bagi membolehkan mereka membuat persiapan berbuka puasa,” katanya.

Budak 8 tahun mangsa pertama mercun di Kedah – Bernama


Budak 8 tahun mangsa pertama mercun di Kedah

2011/08/08

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun cedera di muka selepas terkena mercun bola semasa bermain bersama abangnya dan beberapa jiran mereka di Taman Teja, Changlun petang kelmarin.

Mangsa Fakhrul Danish Fadzil, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun, dikatakan duduk melihat mercun yang tidak meletup sebelum ia meletup dan terkena mukanya.

Ibu mangsa, Manisah Mohd, 41, berkata ketika kejadian dia sedang menyiapkan juadah berbuka di rumah.

“Sebelum kejadian, dia memberitahu saya mahu pergi taman permainan…Kira-kira 7 malam iaitu 10 minit selepas dia keluar, dia balik bersama abangnya dengan keadaan muka merah dan abangnya memberitahu Fakhrul terkena mercun,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Beliau berkata, oleh kerana tiada darah dan Fakhrul Danish tidak menangis, dia tidak segera membawa anaknya itu ke klinik, sebaliknya selepas berbuka puasa.

“Saya bawa Fakhrul Danish ke klinik berhampiran, tetapi doktor meminta supaya pergi ke hospital dan apabila sampai di Hospital Jitra, doktor di situ meminta agar Fakhrul menerima rawatan di HSB bagi memudahkan pemantauan pakar mata,” katanya.

Manisah yang juga seorang guru berkata, selepas menerima rawatan di HSB, doktor memberitahu mata anaknya mengalami kekaburan.
“Saya bersyukur kerana anak saya dapat melihat walaupun kabur. Doktor kata anak saya hanya mengalami kecederaan luaran sahaja. Mukanya yang kemerahan pada awalnya dah nampak melepuh dan saya harap dia akan cepat sembuh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata Fakhrul Danish mengalami kecederaan pada kedua-dua belah mata akibat daripada letupan mercun tersebut.

“Dia juga mengalami kekurangan penglihatan akibat kejadian itu,” katanya. – BERNAMA