Penjara 7 tahun perkosa pelajar – Metro


Penjara 7 tahun perkosa pelajar
PETALING JAYA: Seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol seorang pelajar tingkatan dua, tiga tahun lalu.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Sharil Affendi Anbiah, 25, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah juga memerintahkan hukuman itu bermula semalam. Bagaimanapun, peguam bela, Esther Tan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan alasan mahu memfailkan rayuan kes itu di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu dan menaikkan jaminan kepada RM8,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Puchong pada 24 Mac 2009 antara jam 10.30 malam dan jam 5 pagi keesokan hari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012

 

Pelajar kaki lalok kena cekup – Sinar Harian


Pelajar kaki lalok kena cekup

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
31 Mei 2012
Pelajar kaki lalok kena cekup
Toon Khuan

KUANTAN – Seorang pelajar berusia 14 tahun dari sebuah sekolah menengah di sini antara 30 individu yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Tapis Bersepadu siri 5/2012 di kawasan Panching Timur dan Felda Lepar Hilir dekat sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Tooon Khuan berkata, selain pelajar terbabit, 29 individu lain berusia antara 14 hingga 41 tahun yang ditahan itu terdiri daripada 27 buruh, seorang juru ukur dan seorang juruteknik landskap.

Menurutnya daripada 34 kes yang dicatatkan membabitkan 30 tangkapan itu, 26 kes (24 tangkapan) melibatkan kesalahan mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala empat kes (4 tangkapan) mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (APD).

“Manakala terdapat dua kes dengan satu tangkapan di bawah Seksyen 12(2) ADB, satu kes (1 tangkapan) di bawah Seksyen 39A(2) ADB dan satu kes mengikut Seksyan 39A(1) ADB bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan bagi kes tersebut,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Toon Khuan berkata, sepanjang Ops Tapis Bersepadu Siri 5 yang dijalankan bermula 25 hingga 29 Mei lalu, pihaknya berjaya menahan 263 individu daripada 298 kes membabitkan pelbagai kesalahan dadah di seluruh negeri.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 145 kes dengan 117 tangkapan dilakukan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB, 111 kes dengan 110 tangkapan bagi kes di bawah Seksyen 3(1) AAPD (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan 20 kes (18 tangkapan) mengikut Seksyen12 (2) ADB.

“Kita juga berjaya menahan lima suspek disyaki pengedar dadah daripada lima kes di bawah Seksyen 39B ADB yang dicatatkan dan lima kes dengan empat tangkapan bagi kesalahan mengikut Seksyen 39A(2) ADB.

“Pada masa sama, empat kes dengan empat tangkapan dibuat bagi kes di bawah Seksyen 39A(1) ADB, empat kes dengan satu tangkapan di bawah Seksyen 6 ADB dan dua kes (2 tangkapan) mengikut Seksyen 3 (1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1983,” katanya.

Toon Khuan berkata, sepanjang ops itu, seramai 649 individu diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 256 didapati positif pelbagai jenis dadah manakala 393 negatif.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi bagi membendung kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di negeri ini.

“Kita juga akan menjalankan operasi di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berlaku kegiatan ini dari masa ke semasa.

“Dalam kes di kawasan Panching Timur dan Felda Lepar Hilir dekat sini misalnya, kita menerima banyak aduan berhubung kes-kes pecah rumah yang disyaki perbuatan penagih dadah lalu satu operasi digerakkan dan 30 penagih berjaya ditahan di kawasan itu, kelmarin,” katanya.