Polis tahan remaja samun mesin minuman – Bernama


Polis tahan remaja samun mesin minuman

17 Julai 2013

GEORGETOWN – Polis menahan seorang lagi remaja berusia 14 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pecah dan samun mesin vendor minuman di sekitar Sungai Dua dan Gelugor, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil risikan dan maklumat awam, suspek ditahan di sebuah flat di Sungai Dua, berdekatan kampus Universiti Sains Malaysia (USM) pada pukul 2.30 pagi.

Katanya polis turut merampas sebatang besi jenis ‘kuku kambing’ yang dipercayai digunakannya untuk melakukan jenayah tersebut.

“Dengan penangkapan suspek, kita percaya dapat menyelesaikan sebanyak lima kes dan suspek turut mengaku pernah memecah masuk beberapa bilik pensyarah dan pejabat kampus USM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis percaya suspek mempunyai kaitan dengan dua remaja yang telah ditahan awal pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung kes memecah mesin vendor minuman dan cubaan memecah mesin juruwang automatik (ATM) di USM.

“Berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup), suspek yang kita tahan pagi ini tidak terlibat dalam dua kes cubaan memecah mesin ATM itu tetapi ketiga-tiga mereka saling mengenali dan kita yakin mereka ada kaitan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suspek ditahan reman sehingga 24 Julai ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama

5 beranak nyaris maut – Metro


5 beranak nyaris maut

Oleh Cleo WIll
hmkk@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KIMANIS: Lima sekeluarga yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Tenom selepas menghantar anak mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) nyaris maut apabila pacuan empat roda yang mereka naiki tiba-tiba terbakar di Kilometer 38, Jalan Kimanis-Keningau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, mangsa, Lusiyaw Lantara, 40, bersama isteri serta tiga anak mereka sempat melarikan diri sebaik menyedari asap hitam keluar dari enjin kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu.
Menurut Lusiyaw, dia tidur ketika kejadian manakala kenderaan itu dipandu isterinya.

 

“Ketika mendaki bukit, saya terhidu bau hangit dan sebaik terjaga mendapati kenderaan mula dipenuhi asap.
“Saya terkejut apabila mendapati asap keluar melalui ruang berhampiran brek tangan dan mengarahkan isteri memberhentikan kenderaan di bahu jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, sebaik berhenti, api mula menyambar bahagian enjin.

 

 

“Saya menarik ketiga-tiga anak berusia 12 hingga 19 tahun keluar dari kenderaan yang mula terbakar.
“Sebaik semua ahli keluarga keluar, beberapa letupan berlaku menyebabkan saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa selepas seluruh kenderaan dijilat api,” katanya.

 

Katanya, akibat kejadian itu, beg tangan isteri mengandungi wang tunai, MyKad dan kad mesin juruwang automatik serta beberapa peralatan persekolahan anak yang baru dibeli bernilai RM500 musnah.
“Saya tidak tahu punca kebakaran itu kerana saya baru menghantar kenderaan ini untuk diselenggara sebelum ke Kota Kinabalu. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian dia dan keluarga menghantar seorang anak mereka di KKIA yang melanjutkan pelajaran di Semenanjung.
Sementara itu, Penyelia Jabatan Bomba dan Penyelamat Papar, James Jalimbun berkata, pihaknya yang dihubungi bergegas ke tempat kejadian dan mengawal kebakaran kenderaan itu beberapa minit kemudian.
“Api merebak terlalu cepat selain berlaku letupan,” katanya.