Kabin ganti asrama terbakar – Utusan


Kabin ganti asrama terbakar

Mohd. Puad Zarkashi bersama Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat (tengah) melawat asrama pelajar lelaki yang terlibat kebakaran di Kubang Pasu, semalam.

 

JITRA 16 Ogos – Kementerian Pelajaran akan membina kabin gentian komposit untuk dijadikan tempat tinggal sementara bagi menggantikan asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang hangus dalam kebakaran kelmarin.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kabin itu diperlukan kerana pembinaan asrama baru bagi menggantikan asrama yang hangus tersebut dijangka memakan masa yang lama.

“Kabin ini selesa untuk diduduki, tidak panas serta boleh memuatkan 100 pelajar dan kos pembinaan kabin tersebut dianggarkan RM1.2 juta.

“Saya akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet esok dan kita akan menggunakan peruntukan kecemasan untuk membina kabin tersebut secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin, kira-kira 71 pelajar sekolah itu tinggal sehelai sepinggang apabila empat daripada enam bilik asrama SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman hangus dalam satu kebakaran.

Setakat ini, kementerian belum menerima jumlah sebenar kerugian akibat kebakaran itu.

Menurut Mohd. Puad, kini pelajar terbabit ditempatkan sementara di bilik gimnasium sekolah dan pihaknya mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (JPN) untuk menaik taraf bilik air di situ.

“Peruntukan RM50,000 akan diberikan untuk kerja menaik taraf bilik air yang dijangka siap dalam tempoh dua hari.

“Buku teks, pakaian sekolah dan pakaian harian pelajar juga disediakan pihak JPN dengan dibantu oleh pihak lain,” katanya.

Tambahnya, bangunan asrama yang terbakar itu akan ditutup buat sementara waktu untuk keselamatan penghuni sekolah tersebut.