Sepupu dajal paksa gadis jual diri – Metro


Sepupu dajal paksa gadis jual diri

 2  3 Google +0  0  1

Kuala Lumpur: Akibat diperdaya sepupu yang kononnya ingin membantu mendapatkan pekerjaan di sebuah kilang di ibu kota dengan gaji menjangkau RM3,000 sebulan, seorang gadis berusia 16 tahun akhirnya terhumban ke lembah pelacuran.

Mujur, selepas hanya seminggu dipaksa melayani puluhan lelaki di sebuah premis di Jalan Raja Laut di sini, mangsa meloloskan diri Jumaat lalu sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini.
Sumber polis berkata, mangsa yang berasal dari Pahang datang ke ibu negara pada 13 September lalu selepas terpedaya dengan helah sepupunya yang berusia 30-an.

 

“Hakikatnya, lelaki itu sebenarnya bapa ayam dan dia membawa mangsa ke rumah kedai di Jalan Raja Laut, sebelum memaksa gadis itu melayani puluhan lelaki di bilik di premis berkenaan.
“Pada mulanya mangsa enggan berbuat demikian namun dia dipukul lelaki terbabit tanpa belas kasihan. Tambah keji, suspek turut memaksanya mengambil dadah.
“Sejak 13 September lalu, mangsa dilaporkan menunggu peluang meloloskan diri, namun dia hanya berkesempatan berbuat demikian jam 8 malam, Jumaat lalu 20 September lalu,” katanya.

 

Menurutnya, ketika itu suspek tiada di rumah berkenaan selepas menyerahkan mangsa kepada seorang lelaki untuk dilanggani.
“Mendapati suspek tiada di rumah, mangsa melarikan diri sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

 

Dalam laporannya, mangsa mendakwa dipaksa melayani puluhan lelaki dan jika tidak, dia dipukul selain dipaksa mengambil dadah oleh sepupunya itu.
Mangsa juga mendakwa, kad pengenalan dan telefon bimbit miliknya turut disimpan suspek bagi mengelakkannya melarikan diri.
Harian Metro difahamkan, suspek kini menghilangkan diri dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/23

478,848 calon duduki peperiksaan UPSR mulai esok – Bernama


478,848 calon duduki peperiksaan UPSR mulai esok

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. – Sebanyak 478,848 calon akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula esok sehingga 12 September ini di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan hari ini daripada jumlah itu sebanyak 469,882 calon adalah dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 calon lagi dari sekolah swasta yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sebanyak 49,117 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Jadual waktu peperiksaan itu telah diedarkan ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lp.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130909/dn_35/478848-calon-duduki-peperiksaan-UPSR-mulai-esok#ixzz2eOsakwzb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aplikasi Semakan Dalam Talian ini disediakan untuk para pelajar lepasan SPM bagi mengetahui status tawaran kemasukan ke Program PraUniversiti Sekolah Sukan Malaysia 2013


SEMAKAN SECARA ON-LINE
PERMOHONAN KEMASUKAN KE PROGRAM PRA UNIVERSITI
SEKOLAH SUKAN MALAYSIA , KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
BAGI SEMESTER 1 SESI 2013/2014

 

Aplikasi Semakan Dalam Talian ini disediakan untuk para pelajar lepasan SPM bagi mengetahui status
tawaran kemasukan ke Program PraUniversiti Sekolah Sukan Malaysia 2013

 Sila Masukkan No Kad Pengenalan & Angka Giliran seterusnya Klik Butang Semakan

 

Lawat http://apps.moe.gov.my/prau/semak.cfm

12,520 calon SPM ulangan Selasa, Rabu – Bernama


12,520 calon SPM ulangan Selasa, Rabu

 

KUALA LUMPUR 7 Jun – Seramai 12,520 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Ulangan) 2013 di 232 pusat peperiksaan di seluruh negara Selasa dan Rabu ini (11 dan 12 Jun).

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan hari ini, daripada jumlah itu, 7,148 calon mendaftar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, 2,932 mata pelajaran Matematik dan 2,440 lagi bagi kedua-dua mata pelajaran.

“Seramai 1,207 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan,” jelas kenyataan itu.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM (Ulangan) masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130607/dn_38/12520-calon-SPM-ulangan-Selasa-Rabu#ixzz2VWYFSO2o
© Utusan Melayu (M) Bhd

SPM: Najwa Latiff peroleh 4A, slip diambil kakak – Utusan


SPM: Najwa Latiff peroleh 4A, slip diambil kakak

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

NAJWA LATIFF

BATU PAHAT 21 Mac – Penyanyi, Najwa Latiff, 18, yang popular dengan lagu “Muka Buku” dan “Kosong” memperoleh 4A daripada 10 mata pelajaran yang diambil dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif yang merupakan pelajar aliran Sains Tulen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Temenggong Ibrahim, di sini bagaimanapun tidak hadir untuk mengambil slip keputusan peperiksaannya.

Keputusan SPM Najwa diambil oleh kakaknya, Syafikah yang hadir seorang diri dengan membawa kad pengenalan adiknya sebagai bukti untuk mendapatkan keputusan tersebut.

Usaha sekumpulan wartawan untuk menemu bual Syafikah gagal apabila dia enggan melayan pihak media dan bergegas pulang sebaik menerima slip keputusan peperiksaan tersebut.

Ketika dihampiri Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen ringkas, Syafikah hanya sekadar berkata: “sorry, sorry.”

Najwa ketika menduduki SPM tahun lalu menyasarkan untuk mendapat 6A selepas berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan percubaan.

Najwa antara 192 pelajar sekolah tersebut yang mengambil peperiksaan SPM tahun lalu dan keputusannya diumumkan hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130321/hi_06/SPM-Najwa-Latiff-peroleh-4A-slip-diambil-kakak#ixzz2OA1N9q6H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Keputusan SPM diumum Khamis ini – Bernama


Keputusan SPM diumum Khamis ini

15 Mac 2013

KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diumum pada Khamis ini, dan calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, keputusan calon persendirian akan dimaklum melalui pos.

Calon SPM 2012 juga boleh menyemak keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SPM jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888.

“Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada Khamis ini, dan akan ditamatkan pada 11.59 malam 27 Mac,” katanya.

Sementara itu, pengumuman analisis keputusan SPM akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di Putrajaya pada 9 pagi hari yang sama.

Peperiksaan bertulis SPM diadakan dari 5 Nov hingga 6 Dis tahun lepas dengan seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,590 pusat di seluruh negara. – Bernama

Bapa dakwa remaja dilarikan lelaki dikenali menerusi FB – Bernama


Bapa dakwa remaja dilarikan lelaki dikenali menerusi FB

7 Disember 2012

KUALA LUMPUR – Seorang bapa mendakwa anak gadisnya yang berumur 16 tahun dilarikan oleh seorang lelaki yang dikenali melalui laman sosial Facebook sejak seminggu lepas.

Roslan Ahmad Hadzrawi, 39, dari Wangsa Maju di sini mendakwa anaknya Nur Hidayah hilang sejak 1 Disember lalu dipercayai dilarikan oleh seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Mat, 19, selepas keluar makan bersama lelaki itu di sebuah pusat membeli belah di Wangsa Maju.

Roslan juga mendakwa anaknya yang lebih mesra dipanggil Dayah turut ditipu kira-kira RM1,200 ekoran kerap mengeluarkan wang dari akaunnya bagi menanggung perbelanjaan sewa rumah dan baik pulih motosikal milik Mat.

“Saya mendapat tahu Dayah sering memberi wang kepada Mat selepas membaca mesej berbaur pujukan oleh Mat kepada Dayah di dalam akaun Facebook Dayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Roslan berkata, beliau yakin Dayah bukan melarikan diri kerana dokumen peribadinya termasuk kad pengenalan dan kad Mesin Pengeluar Wang Automatik (ATM) tidak dibawa dan anaknya itu hanya membawa wang poket RM100.

“Pada hari Dayah dilarikan, anak sulung saya ada menerima satu sistem pesanan ringkas (SMS) dari Dayah kira-kira pukul 5 petang yang berbunyi ‘Rol aku kat rumah ibu sakit. Aku ok nanti apa-apa aku call’.

“Saya percaya SMS tersebut bukan ditulis oleh Dayah tetapi lelaki itu kerana Dayah tidak pernah memanggil abangnya dengan nama Rol,” katanya.

Namun Roslan berkata sehingga lewat malam anaknya masih tidak pulang dan gagal dihubungi menyebabkan isterinya Zarina Zubir, 40, runsing dan bimbang.

Beliau berkata selepas usaha mengesan anaknya di sekitar Kuala Lumpur gagal, Roslan membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju Isnin lepas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang. – Bernama

Semakan Panggilan Temuduga NPQEL Kohort 1/2013 Institut Aminuddin Baki


Semakan Panggilan Temuduga NPQEL Kohort 1/2013 Institut Aminuddin Baki

Semakan Panggilan Temuduga NPQEL Kohort 1/2013 Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia, mulai 25 November 2012 melalui atas talian KLIK SINI atau melalui SMS: TaipIAB<jarak>SEMAK<jarak>NPQEL2013<jarak><KAD PENGENALAN> dan hantar ke 15888.

Dua juruteknik dan dua remaja didakwa rompak sebuah spa – Bernama


Dua juruteknik dan dua remaja didakwa rompak sebuah spa

22 November 2012

PETALING JAYA – Dua juruteknik dan dua remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merompak berkumpulan bersenjatakan parang di sebuah spa di Sunway Mentari, di sini 11 November lalu.

R.Ananda Raj dan S.Magesvaran, masing-masing berumur 24 tahun, bersama dua remaja berumur 17 tahun, didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap dua mangsa, iaitu juruwang di spa berkenaan, Liau Nyuk Mee, 28; dan seorang pelanggan Chan Ah Kong, 46.

Keempat-empat tertuduh tersebut didakwa mengambil wang tunai RM500, kad pengenalan, kad kredit, dan sebuah telefon bimbit, milik Liau; dan wang tunai RM2,210, milik spa tersebut.

Mereka turut didakwa mengambil kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit, tiga kad mesin teler automatik (ATM), kad keahlian sebuah kelab golf, wang tunai RM400 dan sebuah telefon bimbit, milik Chan.

Kesemua lelaki tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di spa tersebut pada 9.50 malam, 11 Nov lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili kesemua tertuduh, memohon mahkamah agar wang jaminan yang dikenakan adalah dalam jumlah yang munasabah, oleh kerana ahli keluarga mereka tidak mempunyai jumlah wang tersebut dan hanya membawa RM2,000.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan penjamin kedua-dua remaja bawah umur tersebut adalah bapa mereka.

Mahkamah menetapkan 18 Dis depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Pengurus didakwa cabul pelajar – Berita Harian


Pengurus didakwa cabul pelajar

KUALA LUMPUR 16 Julai – Seorang pengurus pusat karaoke di Sentul di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mencabul seorang pelajar perempuan dan memeras ugut rakan pelajar itu pada hujung Mei lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Alexander Augustin, 28, dituduh mencabul mangsa berusia 16 tahun itu di sebuah Pusat Karaoke Song Box, Wangsa Walk Mall, Sentul pada pukul 4.30 petang, 30 Mei lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu memeras ugut rakan lelaki mangsa yang juga berusia 16 tahun supaya menyerahkan kad pengenalan dan telefon bimbit jenama Blackberry kepadanya pada masa, tarikh dan tempat yang sama.