Tak sempat serah kad Selamat Hari Bapa – Metro


Tak sempat serah kad Selamat Hari Bapa
KOTA BHARU: Pemergian Muhammad Faris Faizal, 7, sudah cukup perit untuk diterima oleh ahli keluarganya, namun ia lebih meruntun perasaan apabila kanak-kanak itu tidak sempat menyerahkan sendiri kad ucapan Selamat Hari Bapa yang dilukis sendiri untuk bapanya.

Kad ucapan yang tersimpan dalam beg sekolah murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjung, Pasir Mas itu, hanya ditemui bapanya, Noor Hissham Abdul Aziz, 50, dua hari selepas tragedi berkenaan meragut nyawa anaknya.
Menurut Noor Hissham, dia amat tersentuh apabila diberitahu bahawa anaknya itu sebenarnya mahu menyerahkan sendiri kad ucapan berkenaan.

“Saya diberitahu, dia mahu menyerahkan kad itu dan ibunya juga sudah memujuk beberapa kali untuk melihat apa yang dilukisnya.
“Dua hari selepas kejadian, saya melihat beg sekolahnya dan terjumpa kad ucapan Selamat Hari Bapa.
“Walaupun ia amat ringkas, besar maknanya kepada saya dan kini dia sudah meninggalkan kami semua,” katanya.

Metro Ahad melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh yang baru beberapa jam diraikan dalam majlis ringkas sempena hari lahirnya, maut selepas tertembak pistol milik bapa saudaranya dalam kejadian di rumah neneknya, di Ketereh, di sini, Jumaat lalu.
Difahamkan, peluru daripada pistol berkenaan menembusi kepalanya dan terkena pula dada seorang lagi bapa saudaranya, Helmi Ghazali, 32.

Tinjauan Harian Metro ke SK Kedai Tanjung semalam, mendapati suasana muram masih menyelubungi rakan mangsa yang menyifatkan Muhammad Faris Faizal sebagai peramah dan pintar.
Rakan karibnya, Aiman Iskandar Iswadi berkata, arwah seorang yang baik dan sentiasa menemaninya untuk bersembahyang.
“Dia sangat pintar dan selalu menjadi rujukan rakan lain di dalam kelas,” katanya.

Pistol tiada kesan cap jari mangsa – Berita Harian


Pistol tiada kesan cap jari mangsa
Oleh Adnan Mohamad
bhkb@bharian.com.my
2012/06/20
NOOR HISHAM menunjukkan kad ucapan ‘Saya Sayang Bapa’ sempena Hari Bapa yang ditulis arwah anaknya tiga hari sebelum maut tertembak pistol milik bapa saudara di rumah neneknya di Ketereh, semalam.
Bapa mahu siasatan diteruskan

KOTA BHARU: Bapa kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut tertembak pistol bapa saudaranya pada 15 Jun lalu, terkejut apabila diberitahu polis tiada kesan jari milik anaknya pada pistol terbabit.
Noor Hisham Abdul Aziz, 50, berkata beliau dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, siasatan yang dilakukan mendapati tiada kesan jari milik Muhammad Faris Faizal pada pistol digunakan dalam kejadian itu.
Saya mohon supaya nama anak saya dibersihkan kerana bukan dia yang memegang pistol ketika itu. Walaupun kejadian itu adalah kemalangan tetapi seboleh-bolehnya biarlah semua orang tahu yang anak saya tidak memegang pistol berkenaan. – Noor Hisham Abdul Aziz, bapa Muhammad Faris Faizal Sehubungan itu, katanya, polis perlu melakukan siasatan lanjut bagi mencari puncanya.

“Saya diberitahu ketika kejadian anak saya bermain dengan dua sepupu dan adik bongsunya. Apa yang saya ingin jelaskan ketika kejadian bukan mangsa seorang saja yang berada di tempat kejadian.

“Walaupun kejadian sudah berlalu saya berharap mangsa tidak dianggap bermain pistol itu berseorangan sehingga tertembak di kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ketereh, di sini, semalam.

Katanya, pihak polis juga sudah menghubunginya bagi menyatakan hasrat bagi membawa tiga saksi ke Pulau Pinang bagi menjalani ujian poligraf.
“Saya sedih dengan kejadian yang berlaku kerana yakin dengan sepenuh hati arwah tidak memegang senjata api terbabit.

“Saya mohon supaya nama anak saya dibersihkan kerana bukan dia yang memegang pistol ketika itu. Walaupun kejadian itu adalah kemalangan tetapi seboleh-bolehnya biarlah semua orang tahu yang anak saya tidak memegang pistol berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau agak sedih mengenang kejadian itu terutama selepas dua hari kematian anaknya, beliau terjumpa sekeping kad ucapan Selamat Hari Bapa yang dilukis sendiri oleh arwah tersimpan di dalam beg sekolahnya.

Katanya, beliau diberitahu arwah mahu menyerahkan sendiri kad itu kepadanya walaupun ibunya sudah memujuknya beberapa kali untuk melihat kad yang dilukis itu.

“Walaupun kad dilukis itu agak ringkas amat besar maknanya kepada saya tambahan lagi dia kini sudah tiada,” katanya.

Guru pengemudi wawasan – Metro


Guru pengemudi wawasan
Oleh Norasikin Daineh dan Erdie Abd Wahid
hmkk@hmetro.com.my

KOTA KINABALU: Guru adalah golongan yang memainkan peranan penting dalam mengemudikan ‘kereta api’ bagi memastikan perjalanan kerajaan ke arah Wawasan 2020 tercapai dengan cemerlang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kereta api akan membawa penumpangnya iaitu rakyat sehingga tiba ke destinasi terakhir.
“Dalam perjalanan kita untuk mentranformasikan negara, kerajaan memberi sokongan dan berjanji untuk menunaikan tanggungjawab menghantar ‘penumpang’ ke destinasi.

“Apabila berada dalam kereta api, kita mahu penumpang yang baik iaitu berlandaskan undang-undang, menyokong dan bekerjasama bagi memastikan perjalanan tidak terganggu,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Kad Hari Guru Peringkat negeri 2012, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Timbalannya, Datuk Dr Yee Moh Chai dan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Cina Sabah, Datuk Eng Thiam Leong.
Najib berkata, menerusi program pertandingan itu, ia sesuai dijadikan amalan atau tradisi kerana mampu mencapai dua objektif bagi memperlihatkan sumbangan guru dalam masyarakat.

“Objektif pertama, guru adalah orang di sebalik tabir dan wira yang tidak kelihatan, tetapi terdapat sumbangannya kepada masyarakat.
“Jadi, pelajar yang merangka kad ucapan dan memuatkan kata-kata ucapan terbabit adalah sebagai penghargaan serta perangsang kepada guru dalam mendidik pelajar,” katanya.

Menurutnya, dalam objektif kedua pula, ia dapat membentuk keperibadian yang baik kepada pelajar itu sendiri.
“Program ini dapat membentuk keperibadian seseorang kerana kita memerlukan generasi yang berpelajaran, berilmu pengetahuan, berperwatakan baik dan menyenangkan, mempunyai nilai murni serta bersikap positif.
“Kami tidak mahu pelajar yang mempunyai akademik semata-mata, tetapi juga memerlukan insan berpelajaran dan berpengetahuan dalam menuju kecemerlangan,” katanya sambil menambah program seumpama itu mampu mengajar masyarakat, khususnya pelajar sekolah berterima kasih kepada guru.