CUEPACS mahu dikaji semula – Utusan


CUEPACS mahu dikaji semula

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

PULAU PINANG 4 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengkaji semula kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus yang dikenakan ke atas penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, perkara itu berikutan kadar yang dikenakan tersebut membebankan kakitangan awam yang terpaksa membeli rumah dengan harga semakin tinggi.

Menurutnya, langkah Kementerian Kewangan membenarkan bank komersial menawarkan pinjaman perumahan kepada penjawat awam juga harus dikaji semula.

“Kadar faedah empat peratus yang ditetapkan itu berdasarkan harga rumah yang masih rendah tetapi tidak lagi sesuai kini kerana harga rumah semakin tinggi.

“Selain itu, jika sebelum ini pinjaman melalui Bahagian Pinjaman Perumahan Kementerian Kewangan boleh dibuat 100 peratus, tetapi jika diserahkan kepada bank, kita bimbang pembeli terpaksa membayar deposit antara lima hingga 10 peratus,” katanya.

Cuepacs mahu teliti syarat bank untuk skim pinjaman perumahan – Bernama


Cuepacs mahu teliti syarat bank untuk skim pinjaman perumahan

4 Oktober 2012
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

GEORGE TOWN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meneliti terlebih dahulu terma dan syarat oleh insitusi kewangan yang bakal dilantik mengurus pinjaman perumahan penjawat awam sebelum bersetuju dengan skim itu.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pelbagai perkara berkenaan skim itu perlu diteliti secara menyeluruh supaya penjawat awam tidak terbeban dengan pinjaman perumahan.

“Dulu kita pinjam melalui kerajaan, sekarang 100 peratus perlu berurusan dengan bank, jadi kita akan teliti semua aspek seperti insurans pembeli, insurans pemaju, komisen dan prosedur bank kerana kita tidak mahu ada masalah dikemudian hari,” katanya kepada pemberita selepas menyertai seminar Merakyatkan Sektor Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Beliau berkata Cuepacs mahukan institusi kewangan terpilih yang menguruskan skim pinjaman perumahan itu memberi pinjaman 100 peratus kepada pembeli, iaitu pembeli tidak perlu membayar pendahuluan 10 atau 20 peratus dan rumah berkenaan perlu disiapkan sepenuhnya sebelum dijual.

Semalam Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata setakat ini empat bank komersil terbesar tempatan bersetuju bekerjasama dengan kerajaan menawarkan skim pinjaman perumahan kepada penjawat awam.

Omar berkata Cuepacs juga menggesa kerajaan mengkaji semula kadar faedah sebanyak empat peratus kerana ia adalah terlalu tinggi bagi penjawat awam yang berkhidmat kurang dari 10 tahun dan bergaji di bawah RM3,000.

Beliau berkata kadar itu tidak lagi relevan kerana harga rumah semakin melambung tinggi pada masa ini.

Kerajaan juga harus berusaha memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik untuk penjawat awam di kawasan Lembah Klang dengan jarak antara 50 hingga 70 kilometer dari tempat kerja bagi memudahkan mereka berulang-alik, katanya. – Bernama

Insurans murid atasi masalah bas haram – Metro


Insurans murid atasi masalah bas haram

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Peruntukan skim perlindungan insurans kepada murid yang menggunakan khidmat bas sekolah berpermit seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2013 Jumaat lalu mampu mengatasi masalah bas haram.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor, Ahmad Fauzi Murad berkata, perlindungan insurans itu menggalakkan pengusaha bas sekolah haram memohon permit.
“Bagi pengusaha berpermit, kami mempunyai perlindungan insurans dan usaha kerajaan ini bagus untuk menggalakkan pengusaha haram memohon permit.

 

“Sehubungan itu, kami berharap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melonggarkan peraturan bagi memudahkan mereka mendapatkan permit,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa digalak mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang memiliki permit kerana anak mereka mendapat jaminan perlindungan insurans.
“Kami selaku pengusaha bas sekolah bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan. Bagaimanapun, pemberian rebat tunai dan subsidi kadar faedah menggantikan bas sekolah berusia 25 tahun berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk, lebih kepada van.

 

 

“Biasanya tiada van digunakan lebih daripada 25 tahun kerana pemiliknya akan membeli baru selepas 10 atau 15 tahun. Jadi saya harap pemberian dapat diperluaskan kepada bas sekolah yang mempunyai kapasiti lebih besar,” katanya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid yang menggunakan khidmat bas sekolah berpermit. Skim yang memanfaatkan dua juta pelajar dan murid itu menyediakan perlindungan maksimum RM100,000 dengan kos premium RM40 juta untuk tempoh dua tahun yang akan diselia SPAD. Selain itu, kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi rebat tunai RM10,000 dan subsidi kadar faedah dua peratus untuk pinjaman penuh bagi menggantikan bas lama berusia 25 tahun kepada bas baru berkapasiti antara 12 hingga 18 tempat duduk.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01

Ramai penjawat awam tak mampu beli rumah – Kosmo


Ramai penjawat awam tak mampu beli rumah

MACHANG – Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati, kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, terutamanya di Lembah Klang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Kewangan Cuepacs, Jaapar Mansor berkata, fenomena itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu, termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

“Kadar faedah pinjaman perumahan empat peratus yang dikenakan institusi kewangan ke atas penjawat awam pada masa ini wajar diturunkan kepada satu peratus,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Ramai kakitangan awam tidak mampu miliki rumah sendiri – Bernama


Ramai kakitangan awam tidak mampu miliki rumah sendiri

27 Mei 2012
logo cuepacs
Cuepacs

MACHANG – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, terutama di Lembah Klang, tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Kewangan Cuepacs, Jaapar Mansor berkata, fenomena itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu, termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

“Kadar faedah pinjaman perumahan 4 peratus yang dikenakan institusi kewangan ke atas penjawat awam pada masa ini wajar diturunkan kepada 1 peratus,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan hanya mampu menyewa atau memiliki rumah kos rendah bertaraf Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jaapar yang juga Pengerusi Cuepacs Selangor berkata, saranan supaya kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan itu adalah antara tuntutan yang pernah dikemukakan kongres itu kepada kerajaan sebelum ini.

“Walaupun ia bukan merupakan tuntutan utama Cuepacs, namun ia akan terus diperjuangkan oleh penjawat awam melalui kongres itu,” katanya .

Kongres itu juga sedang melancarkan gerakan mengesan penjawat awam yang belum memiliki rumah di seluruh negara untuk dijadikan garis panduan untuk tindakan yang akan diambil demi kebajikan anggotanya.

Sementara itu, beliau berkata Cuepacs mahu kerajaan mempercepatkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Mengkaji Skim Gaji dan Elaun Penjawat Awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri 8 Mac lalu.

Kongres juga akan terus mengadakan gerakan penerangan kepada anggotanya ke seluruh negara mengenai peluang yang dinikmati mereka melalui penambahbaikan Skim Saraan Baru (SSB). – Bernama