KUALA LUMPUR — Tahun 2011 menyaksikan usaha gigih kerajaan bagi memastikan semua pelajar di peringkat prasekolah, rendah dan menengah meninggalkan alam persekolahan mereka dengan pencapaian berkualiti.
Menurut Laporan Tahunan GTP 2011 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, dengan meningkatkan pencapaian pelajar serta menangani pelbagai cabaran semasa di sekolah, Malaysia mengambil langkah pertama ke arah menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan tahap pendapatan.
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Pendidikan menggariskan misi bagi menangani jurang yang tertinggal, pada masa sama meningkatkan piawai bagi menyokong aspirasi Malaysia ke arah menjadi negara maju dengan modal insan yang sesuai.
Ia juga bagi menjaga masa depan negara dengan membangunkan minda, bakat dan keupayaan generasi akan datang menerusi cara yang lebih berfaedah.
Tidak ada sesiapa boleh menafikan kepentingan asas yang baik dalam membina sebuah negara.
Justeru itu, pendidikan awal di kalangan kanak-kanak diberi lebih penekanan agar lebih ramai mendaftar untuk prasekolah.
Menurut laporan itu, 77.23 peratus kadar enrolmen dicatat pada Disember 2011 oleh Kementerian Pelajaran dengan bekerjasama KEMAS, Jabatan Pelajaran Negeri dan sektor swasta bagi menyediakan 3,089 kelas prasekolah di seluruh negara.
Hasilnya, 732,902 kanak-kanak dalam kumpulan umur empat atau lima tahun didaftarkan ke prasekolah.
Dalam meningkatkan kualiti prasekolah di seluruh negara, kerajaan menstandardkan tahap sokongan kewangan kepada pelajar prasekolah kerajaan dan guru terlatih prasekolah swasta bagi memperbaiki kaedah pengajaran mereka.
Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenal bagi mencapai tahap 100 peratus literasi dan numerasi bagi murid di Malaysia (tanpa kesukaran pembelajaran) apabila mereka mencapai Tahun Tiga, turut menunjukkan hasil yang ketara tahun lepas.
Mengikut laporan itu, kadar literasi 97.5 peratus dan 98.6 peratus bagi numerasi telah dicapai bagi murid Tahun Dua enam kali berturut-turut, yang melebihi sasaran 2011 sebanyak 95 peratus bagi kedua-duanya.
Program itu juga mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat tentang kepentingan menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi agar tidak seorang pun kanak-kanak tertinggal dalam bidang pendidikan.
Laporan itu juga menyatakan bahawa 32 sekolah (12 sekolah rendah dan 20 sekolah menengah) diberi status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tahun lepas menjadikan jumlah keseluruhan 52 SBT diiktiraf sebagai sekolah terbaik.
Setiap sekolah ini diperuntukkan geran sebanyak RM700,000 bagi memastikan mereka mengekalkan prestasi cemerlang dan terus meningkatkan tahap untuk sekolah lain.
Tahun lepas turut menyaksikan sejumlah 5.23 peratus atau 403 menerima anugerah Guru Besar Cemerlang dan jumlah ini melebihi sasaran kementerian sebanyak tiga peratus dari sekolah rendah.
Inisiatif Tawaran Baru direka pada 2010 bagi memperbaiki pencapaian keseluruhan pelajar menerusi sistem yang menggalakkan guru besar dan pengetua melakukan pembaharuan selain menambah baik serta menghasilkan prestasi tinggi di sekolah mereka.
Di bawah inisiatif ini, sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan diberi ranking untuk kali kedua berdasarkan kecemerlangan akademik dan pencapaian holistik.
Setiap sekolah akan diberi penarafan mengikut tujuh band yang mana Band 1 (terdiri daripada SBT) hinggalah ke prestasi terendah (Band Tujuh).
Menurut laporan itu, Program Penambahbaikan Sekolah (SIP) yang diperkenalkan untuk mentransformasi setiap sekolah, terutama yang berprestasi rendah, kepada institusi pendidikan cemerlanng, telah menunjukkan hasil positif.
Pada tahun pertama pelaksanaannya, inisiatif SIP mencapai pengurangan dalam bilangan sekolah Band Enam dan Band Tujuh sebanyak 40.25 peratus manakala jumlah sekolah Band Satu dan dua meningkat sebanyak 21.86 peratus.
Tahun ini, NKRA bagi Pendidikan telah meningkatkan sasaran lebih tinggi dan pada masa sama menukar fokusnya kepada memperbaiki kualiti selain menambah baik akses dalam keseluruhan sistem pendidikan.
Satu siri inisiatif baru akan diperkenal untuk melengkapkan yang sedia ada termasuk penarafan institusi latihan perguruan, kajian komprehensif sistem pendidikan, sesi khas saringan LINUS dan pengenalan indeks wajaran dalam ranking sekolah untuk sekolah dengan cabaran yang berbeza.
Laporan itu menyatakan 2012 juga adalah tahun Kementerian Pelajaran menyasar pencapaian 100 peratus dalam kemahiran asas literasi dan numerasi di kalangan murid Tahun Tiga.
Dengan meningkatkan pencapaian pelajar dan penyediaan peluang pendidikan berkualiti kepada semua kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan tahap pendapatan, kementerian membantu membina asas kukuh untuk generasi akan datang serta menjamim masa depan negara, kata laporan itu. — Bernama