Telefon ayah ucap selamat hari jadi – Metro


Telefon ayah ucap selamat hari jadi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: “Dia menelefon saya jam 9 malam tadi (kelmarin) untuk mengucapkan selamat hari lahir kepada saya. Tak sangka itu kali terakhir saya berbual dengannya,” kata Md Radzi Dahari, 47, bapa arwah Nor Fatimah Anis, 17, yang ditemui mati di rumahnya, awal pagi semalam.

Selain itu, Md Radzi berkata, dia turut menerima SMS daripada menantunya yang turut mengucapkan selamat hari jadi pada malam sebelum kejadian.
Md Radzi berkata, dia mengetahui berita kematian anaknya jam 8 pagi selepas dimaklumkan kakak ipar anak perempuannya itu.

 

Menurutnya, dia bersama keluarga yang tinggal di Kampung Hutan Palas, Kodiang, Jitra, bergegas ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
“Selepas dimaklumkan polis, baru saya tahu apa sebenarnya berlaku hingga menyebabkan kematian anak saya. Sebelum ini kakak ipar arwah menghubungi isteri saya memaklumkan arwah dan suaminya sering bertengkar.
“Tapi, saya tidak mengendahkannya kerana berpendapat itu hanya perselisihan faham biasa.

 

 

“Saya langsung tak sangka pertengkaran mereka itu berakhir dengan kematian anak saya, tapi saya reda,” katanya yang berharap polis melakukan siasatan dengan teliti supaya individu yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/29

Konvoi terakhir – Metro


Konvoi terakhir

Oleh MARY VICTORIA DASS dan MOHD SAH MUDA
metahad@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
REMUK... keadaan kereta dan lori tangki yang terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan lima nyawa di kilometer 13 Jalan Mersing-Endau.
REMUK… keadaan kereta dan lori tangki yang terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan lima nyawa di kilometer 13 Jalan Mersing-Endau.

MERSING: “Saya memperlahankan kereta kerana tak nampak kereta dipandu menantu yang mengekori saya. Tak lama kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga terdekat memberitahu kereta menantu terbabit kemalangan,” kata Maidin Mohamad, 66.

Akibat nahas ngeri di Kilometer 13 Jalan Endau-Mersing di sini, jam 7.30 pagi semalam, Maidin kehilangan dua anak, seorang menantu dan dua cucu.

Ketika kejadian, MPV Nissan Livina dinaiki enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Jengka, Pahang, untuk menghantar ahli keluarga mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka.

Empat yang maut di tempat kejadian ialah pemandu MPV berkenaan, Abdullah M Yusof, 43; isterinya, Samsiah Maidin, 37; anak kedua mereka, Maisarah, 4, dan kakak ipar Abdullah, Noraini, 41.

 
Anak sulung mereka, Muhammad Aiman Syakirin, 8, pula maut ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Mersing, manakala anak bongsu, Ammar Haziq, 3, yang duduk di depan bersama ibu bapanya, kini dirawat di unit kecemasan akibat cedera di kepala dan badan.

Rakam gambar tanpa anak bongsu – Metro


Rakam gambar tanpa anak bongsu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA TINGGI: “Saya tak sangka kelakuan pelik mereka merakam gambar bersama pada Aidilfitri lalu tanpa kehadiran anak bongsu, Ammar Haziq, 3, petanda mereka empat beranak bakal meninggalkan kanak-kanak itu seorang diri.

“Ini kerana empat beranak berkenaan maut dalam kemalangan pagi tadi (semalam), manakala Ammar Haziq masih kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Mersing akibat cedera di kepala dan badan,” kata Rafidah M Yusof, 36.
Adik kepada arwah Abdullah M Yusof itu berkata, kali terakhir dia berjumpa abangnya Aidilfitri lalu di rumah keluarga di Blok 19, No 446 Felda Air Tawar 5.

 

“Saya diberitahu, arwah yang juga anak keempat daripada 10 beradik mengunjungi rumah ibu untuk membaiki lampu minggu lalu.
“Malangnya, saya tak sempat bertemunya kerana ada urusan lain. Tanpa diduga, perjumpaan pada Aidilfitri lalu adalah kali terakhir kami bertemu.
“Apabila dilihat semula gambar keluarganya yang dirakamkan, keempat-empat mereka didapati bergambar bersama kecuali Ammar dan ia mungkin petanda anak bongsu mereka bakal ditinggalkan,” katanya ketika ditemui di Felda Air Tawar 5, di sini, semalam.

 

 

Katanya, arwah abangnya bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Johor Bahru dan tinggal di Taman Daiman, Kota Tinggi.
Menurutnya, keluarganya terkilan dengan kejadian menimpa arwah kerana tidak tahu perancangan mereka ke Jengka, Pahang, untuk menghantar adik bongsu kakak iparnya mendaftar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

“Jam 9 pagi tadi (semalam), kami menerima panggilan menyatakan abang mengalami kemalangan dan meninggal dunia.
“Lebih mengejutkan apabila diberitahu, kakak ipar yang bertugas sebagai guru Bahasa Melayu (BM) di Sekolah Menengah Tun Habab, di sini, dan dua anak mereka turut maut,” katanya.
“Kami pasti merindui arwah kerana sikapnya yang ikhlas, rajin dan gemar membantu adik-beradik serta berharap roh mereka dicucuri rahmat,” katanya.
Katanya, mereka kini berharap Muhammad Ammar yang kini dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pulih secepat mungkin.
Abdullah dan dua anaknya yang meninggal dunia, Muhammad Aiman Syakirin, 8 dan Maisarah, 4, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 5, manakala jenazah isterinya Samsiah Maidin, 37, dan kakaknya, Noraini, 41, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 3.
Sementara itu, ibu Samsiah, Minah Ismail, 60, berkata, sempena cuti sekolah dia mengajak mangsa sekeluarga menghantar adik bongsu Samsiah yang akan mendaftar masuk ke UITM Jengka, Pahang.
“Bagaimanapun, hasrat kami tidak kesampaian dan terpaksa menguruskan pengebumian jenazah dua anak, seorang menantu dan dua cucu,” katanya.

Pulangkan segera anak saya – Sinar Harian


Pulangkan segera anak saya

NOOR AZIANTY NORMAN
4 September 2012
Jun Han.
Jun Han.

KUANTAN – “Setiap malam saya tidak dapat melelapkan mata, saya terlalu rindukan anak saya. Pulangkan anak saya!”

Begitulah rintihan seorang ibu yang kehilangan anaknya sejak 17 Ogos lalu, dipercayai dibawa lari oleh kakak iparnya yang dikenali sebagai Yoke Ken yang tinggal di Ampang, Selangor.

Siew Lai Yee, 29, berkata, pada 17 Ogos lalu, anaknya Pan Jun Han, 6, dibawa bercuti oleh adik iparnya ke Genting Highlands bersama kakak iparnya itu.

Namun, ketika adik iparnya itu pulang ke Kuantan, dia memberitahu Lai Yee bahawa anaknya itu dibawa pulang ke Ampang bersama Yoke Ken untuk menghabiskan cuti sekolah di sana.

“Pada mulanya saya tidak kisah serta tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum ini pun dia (Jun Han) sudah biasa tinggal bersama ibu saudaranya. Tetapi kali ini, lain pula jadinya.

“Saya telah menghubungi kakak ipar supaya dia menghantar Jun Han pulang berikutan sesi persekolahan akan bermula, tetapi dia enggan berbuat demikian dengan alasan dia mahu menjaga anak saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan, semalam.

Tambahnya, dia cuba untuk mencari anaknya di Ampang pada 28 Ogos lalu, namun apabila menghubungi kakak iparnya itu, dia memberitahu Jun Han bukan di bawah jagaannya lagi.

“Saya tidak tahu alamat tempat tinggal kakak ipar, yang saya tahu dia tinggal di Ampang. Bila dia memberitahu bahawa Jun Han sudah tiada di rumahnya, saya bertindak membuat laporan polis.

“Sudah banyak kali saya tanya di mana mereka sorokkan anak saya, namun tidak pernah mendapat kerjasama. Demi keselamatan anak saya, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, sejak kehilangan Jun Han, dia tidak lena tidur serta tidak henti berusaha untuk mendapatkan semula anaknya itu.

“Anak saya seorang yang manja dan saya memang rapat dengannya. Sejak ayahnya terpaksa ditukarkan ke Australia atas tuntutan kerja empat bulan lalu, dia banyak menghabiskan masa dengan saya.

“Jadi, bila dia tidak ada, saya rasa sunyi kerana setiap malam saya tidur bersamanya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang berkata, beliau pernah cuba menghubungi Yoke Ken, namun panggilannya itu dijawab dengan kasar.

“Dia (Yoke Ken) enggan memulangkan Jun Han apabila saya meminta dia berbuat demikian dan pernah memberitahu ingin menukar sekolah Jun Han di Ampang.

“Bagaimanpun, kami tidak pasti di mana Jun Han berada sekarang. Justeru, saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kanak-kanak ini menghubungi talian 09-5138300,” katanya.

Hilang ibu, bapa, adik – Harian Metro


Hilang ibu, bapa, adik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEDIH...Sukainai (kanan) bersama abang dan kakaknya tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu, ayah dan adik mereka dalam tragedi tanah runtuh.
SEDIH…Sukainai (kanan) bersama abang dan kakaknya tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu, ayah dan adik mereka dalam tragedi tanah runtuh.

CAMERON HIGHLANDS: Ramadan dan Aidilfitri tahun ini tidak lagi memberi sebarang erti buat seorang remaja apabila tiga ahli keluarganya termasuk ayah, ibu dan adik bongsunya maut dalam kejadian tanah runtuh yang meranapkan kediamannya di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, petang kelmarin.

Sukainai Jaafar, 18, tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya apabila ibunya, Normah Gunung, 51, bapanya, Jaafar Balad, 49, dan adik bongsunya, Mohd Ikbal, 15, ditemui maut dalam sisa runtuhan rumah dan timbunan tanah dalam kejadian menyayat hati itu.
Sukainai yang ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini, semalam berkata, dia sedih dengan kejadian menimpa keluarganya.

Dia juga tidak sempat berbuka puasa dengan keluarganya sepanjang Ramadan tahun ini kerana tiada di kampung disebabkan menyambung pengajian di Institut As-Shifa di Taiping dalam kursus Sains Persekitaran.
“Saya hanya sempat sahur pada Ramadan pertama dengan semua ahli keluarga saya termasuk dengan ketiga-tiga arwah.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan terpaksa tabahkan hati menerima kehilangan mereka,” katanya.

Difahamkan, semua mangsa yang maut menganut Islam sejak tiga tahun lalu dan ini sambutan Ramadan ketiga buat mereka.
“Kejadian itu bukan saja mengorbankan ayah, ibu dan adik saya malah turut mengorbankan kakak ipar saya, Yusnizan Yusof, 22.

“Dua abang saya Mohd Riduan, 30, dan Azhar, 26, mungkin akan terus menetap di kampung ini,” katanya.
Jenayah keluarga Jaafar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sedia, di sini, petang semalam.
Sementara itu, Mohd Ali, 27, anak kepada seorang mangsa yang maut, Ali Hassan, 50, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi semalam.
Katanya, dia difahamkan, ayahnya sedang tidur ketika kejadian.
“Kali terakhir saya bertemu ayah pada Oktober tahun lalu. Saya kini bekerja sebagai buruh estet di Kampung Puh, Bidor dan jarang bertemu ayah,” katanya.
“Ketika menemuinya Oktober lalu, ayah sempat berpesan meminta saya pulang berhari raya nanti.