Tuala mandi jadi punca kena buli – Sinar Harian


Tuala mandi jadi punca kena buli

SARINAH MAT KASIM
16 Mac 2012

SEREMBAN – Seramai sembilan pelajar yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian membuli dan memukul seorang murid Tahun Satu, Faqrul Hakimi Mohd Kamarul­zaman, 7, pada awal bulan ini, sudah dikenakan tindakan.

Pengarah Jabatan Keba­jikan Masyarakat (JKM) negeri, Abdullah Hanapi berkata, semua pelajar dari sebuah sekolah menengah itu telah digantung persekolahan selama dua minggu, sejak seminggu lalu.

Katanya, mereka yang merupakan penghuni sama di rumah anak yatim di Taman England, Sikamat itu, bertindak agresif apabila tidak berpuas hati dengan cara Faqrul Hakimi menyidai tuala mandi.

“Selepas siasatan dibuat, kita dapati kejadian berlaku di rumah kebajikan tersebut dan antara punca utama kejadian adalah disebabkan sembilan pelajar senior ini tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membuang air kecil di tuala mandinya dan tidak menyidainya dengan baik. Hanya kerana itu, mangsa dipukul dan dicederakan sehingga lebam seluruh badan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan tindakan tersebut, tujuh pelajar yang juga penghuni di Taman England, Sikamat itu, diambil tindakan gantung persekolahan selama dua minggu, manakala dua lagi dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Kami cuba berjumpa dengan mangsa dan ibunya untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian berkenaan namun gagal kerana mereka sudah pulang ke kampung di Jempol. Kami tidak dapat berjumpa dengan murid terbabit dan ibunya kerana tiada alamat lengkap,” katanya.

Abdullah berkata, rumah anak yatim berkenaan masih dalam proses pendaftaran dengan JKM berikutan terdapat beberapa dokumen belum lengkap.

Sinar Harian pada 6 Mac lalu, melaporkan seorang murid Tahun Satu trauma ke sekolah selepas dipercayai dipukul hingga menyebabkan seluruh anggota badannya cedera dan lebam.

Kejadian itu hanya disedari oleh ibunya pada 2 Mac lalu, kira-kira jam 7.30 petang selepas dia mengambil anaknya dari rumah anak yatim berkenaan.

Tiga remaja dicekup ketika belajar curi motosikal – Sinar Harian


Tiga remaja dicekup ketika belajar curi motosikal

KAMARUL HALIM M KAMAL
22 Februari 2012
pelajar belajar curi motor

BATU PAHAT  – Usia baru setahun jagung, tetapi tiga remaja berumur 15 tahun di daerah ini, memilih jalan hitam berjinak-jinak dengan ilmu mencuri motosikal yang turut melibatkan tiga lagi individu lain.

Kumpulan baru belajar ini dipercayai aktif mencuri motosikal di tiga daerah termasuk daerah ini, Kluang dan Petaling, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ahli kumpulan berkenaan diberkas polis dalam serbuan berasingan di Sri Medan, Yong Peng dan Batu Pahat.

Menurutnya, serbuan dilakukan sekitar jam 11 malam hingga 1 pagi dan 5 pagi hingga 7 pagi, 14 dan 15 Februari lalu.

“Selain tiga pelajar itu yang belajar di sekolah berlainan, seorang lagi suspek yang ditahan berusia 16 tahun dan sudah tidak bersekolah sebaliknya bekerja sebagai pencuci kereta, di sini.

“Dua lagi suspek masing-masing berumur 23 dan 39 tahun, kedua-duanya hanya melakukan kerja kampung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Din berkata, dua motosikal yang dilaporkan hilang bersama dua enjin motosikal lain turut dirampas dalam serbuan yang dijalankan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, nombor casis pada enjin yang dirampas adalah milik motosikal yang dilaporkan hilang di daerah ini, Kluang dan Petaling serta dipercayai dilakukan ahli kumpulan ini.

“Suspek yang berusia 39 tahun masih ditahan di Brickfields, Kuala Lumpur, berikutan laporan kecurian motosikal di sana dan semua suspek yang masih bersekolah dibebaskan dengan jaminan polis manakala, suspek berumur 16 dan 23 tahun ditahan di IPD Batu Pahat bagi membantu siasatan serta kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

“Kumpulan ini dipercayai meleraikan komponen motosikal yang dicuri untuk dijual di pasaran gelap dan polis menasihati orang ramai agar tidak memberi ruang dan peluang kepada pencuri motosikal antaranya dengan tidak menyediakan kunci tambahan,” katanya.

Remaja 17 tahun menang kereta – Berita Harian


Remaja 17 tahun menang kereta
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2012/01/19

MIOR Kamarul Shahid dan Mahfar membuat cabutan pemenang Cabaran Laluan Berliku Berita Harian di Balai Berita, semalam.

MIOR Kamarul Shahid dan Mahfar membuat cabutan pemenang Cabaran Laluan Berliku Berita Harian di Balai Berita, semalam.

Pemenang utama Cabaran Laluan Berliku Berita Harian atasi 130,000 penyertaan

KUALA LUMPUR: Tuah akhirnya berpihak kepada pembaca setia Berita Harian, Ahmad Ridzwan Bakhtiar Effendy apabila dipilih sebagai pemenang utama pertandingan Cabaran Laluan Berliku Berita Harian yang melayakkannya membawa pulang hadiah kereta Proton SAGA FLX 1.3 (M) Standard bernilai RM37,000.

Ahmad Ridzwan, 17, dipilih daripada 130,000 penyertaan yang diterima pihak penganjur selama empat minggu dari 7 hingga 13 Disember lalu bagi minggu pertama, 14 hingga 20 Disember (minggu kedua), 21 hingga 27 Disember (minggu ketiga) dan 28 Disember hingga 3 Januari 2012 (minggu akhir).

Cabutan pemenang dilakukan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid pada majlis khas di Lobi Anjung Liku, Balai Berita, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali; Pengarang Eksekutif Berita, Norhayati Md Said ; Pengarang Eksekutif Rencana, Zainor Said; Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Puteri Shireen Syed Othman dan Penolong Pengurus Pengurusan Jenama (Pemasaran) NSTP, Ahmad Firdaus Shaharudin Shah.

Selain Proton SAGA FLX, peraduan sempena cuti persekolahan itu juga menawarkan Ipad2 kepada 10 pemenang bertuah setiap minggu bagi penyertaan yang semua tepat bermula minggu pertama hingga akhir.

Pada majlis itu, 20 lagi pemenang bertuah dipilih untuk minggu ketiga dan keempat, yang mana pertandingan berkenaan memerlukan pembaca menyelesaikan laluan berliku dan melengkapkan borang penyertaan dalam Berita Harian sebelum menghantarnya bersama kepala akhbar itu.
Pemenang utama Cabaran Laluan Berliku Berita Harian:

  • Ahmad Ridzwan Bakhtiar Effendy 941019-14-5731 (Selangor)

10 pemenang minggu ketiga Cabaran Laluan Berliku Berita Harian: 

  • Musyarah Mustaffa 871010-10-5142 (Selangor)
  • Mohd Khairul Nizam Ramli 820217-03-5137 (Selangor)
  • Kamsinah Abd Wahab 600818-10-6012 (Selangor)
  • Muhammad Haikal Sheik Mustafa 840408-04-5483 (Melaka)
  • Siti Salmah Mohamad Alias 840408-01-5532 (Johor)
  • Noor Hasliza Mohd Rawi 850522-08-5672 (Putrajaya)
  • Nalsi Zawani Nawi 740116-03-6309 (Negeri Sembilan)
  • Roselina Salim 750711-05-5386 (Negeri Sembilan)
  • Nur Farhana Abdul Razak 851001-02-5054 (Kedah)
  • Yee Jin Lan 890628-04-5018 (Selangor)

10 pemenang minggu keempat Cabaran Laluan Berliku Berita Harian:

  • Rohaisaliza Nazri 870713-06-5242 (Pahang)
  • Mohd Yusnizam Yusof 860713-56-6259 (Selangor)
  • Rubiyah Ariffin 750115-14-5676 (Perak)
  • Abd Hamid Abdul Rahim 610829-01-5529 (Selangor)
  • Yeap Giok Hong 570716-02-5946 (Kedah)
  • Zaid Zamree 850919-01-5859 (Johor)
  • Wan Nor Hazaniah 590101-03-5636 (Selangor)
  • Roslin Abd Kadir 600212-10-5402 (Selangor)
  • Jatan Johan 430509-10-5295 (Selangor)
  • Hamidah Mohamed Taib 731211-10-5056 (Selangor)