‘Kami tak nak balik, takut ayah marah’ – Metro


‘Kami tak nak balik, takut ayah marah’

 17  0 Google +1  0  0

Klang: “Kami tak nak balik,” kata dua remaja perempuan yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan di Pandamaran Jaya, di sini, sejak 30 Januari lalu sebaik ditemui semalam.

Difahamkan, kedua-dua remaja terbabit tidak mahu pulang kerana bimbang dimarahi ayah mereka yang garang dan tegas terutama selepas kedua-duanya, Poh Choo, 15, dan Poh Fong, 13, mempunyai masalah disiplin di sekolah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, dua beradik terbabit ditemui di satu kawasan rumah kedai di Taman Sentosa pada jam 2 petang semalam.

 

Beliau berkata, kedua-dua remaja terbabit ditemui seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu lalu menghubungi polis.
Katanya, ketika ditemui, mereka masih berpakaian seragam sukan sekolah dan berjalan berdua serta dipercayai menetap di rumah rakan lelaki Poh Choo yang juga warga asing.
“Selepas membawa mereka ke balai, polis bertanyakan sama ada mahu pulang atau tidak, namun kedua-duanya menjawab tidak mahu menyebabkan kami kini menjalankan siasatan terperinci mengenai keengganan mereka pulang ke rumah kerana dikhuatiri berlaku sesuatu tidak disukai mereka.

 

“Mereka sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut bagi mengesan sama ada mereka mengalami kecederaan atau tidak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, semalam.
Mohamad berkata, polis masih menjalankan siasatan mengenai kebenaran wujudnya lelaki dipercayai rakan Poh Choo dan gerakan mengesannya sedang dijalankan.

 

Katanya, siasatan mendapati rakan kedua-dua remaja terbabit ternampak mereka berada di sekolah Jumaat lalu namun tidak pulang ke rumah selepas tamat persekolahan.
“Kami sudah meneliti rekod kehadiran ke sekolah mereka dan mendapati kedua-dua mereka memang mempunyai masalah disiplin di sekolah. Mereka kerap ponteng selain mempunyai masalah lain.
“Setakat ini, polis masih tidak tahu punca mereka enggan pulang ke rumah dan siasatan lanjut akan diteruskan,” katanya.
Sementara itu, ibu remaja terbabit ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana anaknya ditemui selamat, tapi masih tidak berpuas hati selagi tidak melihat sendiri keadaan mereka.
Katanya, perkara itu amat menakutkannya dan suami kerana jika sebelum ini dia tahu punca anaknya itu melarikan diri dari rumah, namun tidak pada kali ini.
“Jika sebelum ini kakak lari dari rumah kerana merajuk akibat dimarahi bapanya, kali ini saya tidak tahu punca Poh Choo lari malah membawa adiknya bersama,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan dua beradik, Poh Choo, 15, dan Poh Fong, 13, dikhuatiri diculik selepas tidak pulang ke rumah sejak Rabu lalu.
Kedua-dua beradik terbabit keluar rumah pada jam 12 tengah hari untuk ke sekolah dan tidak pulang ke rumah selepas jam 7 petang seperti kebiasaannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05