JOHOR BAHRU: “Cuti sekolah sudah bermula, tetapi kami bertiga tidak gembira seperti rakan lain kerana tiada apa yang boleh dilakukan selain menanti kepulangan kak Zana.
“Adik-adik beberapa kali memberontak dengan melarikan diri dari rumah kerana terlalu rindukan kak Zana,” kata anak kedua daripada empat beradik, Nurul Safiza Futri Nordi, 11.
Menurutnya, dia kini hanya duduk di rumah menjaga dua adiknya, Nurmasyita Amiera, 8, dan Muhammad Nurhan, 9, ketika bapa mereka bekerja.
“Dalam bulan ini saja, sudah dua kali adik lari dari rumah, mujur ada jiran dan ustaz di masjid membantu ayah mencari mereka berdua.
“Adik-adik terlalu merindui kak Zana. Walaupun tahu kakak akan pulang ke Malaysia tidak lama lagi, namun mereka seolah-olah tidak tahan kerana sudah terlalu lama menunggu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Nurul Safiza berkata, rutin hariannya kini lebih tertumpu kepada urusan menjaga adik-adik selain menjalankan tugasan harian di rumah.
“Seperti biasa, aku akan masak di rumah untuk adik-adik, sedih memikirkan kak Zana kerana jika dia ada bersama, pasti dia akan membantu,” katanya.
Sementara itu, bapa mereka, Nordi Adi, 57, berkata, ketiga-tiga anaknya tertekan kerana terpaksa menunggu anak sulungnya, Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Indonesia.
“Saya sering berikan mereka nasihat supaya bersabar sementara menunggu kepulangan kak Zana, tetapi mungkin disebabkan masih kanak-kanak, mereka sering memberontak.
“Kini setiap petang, mereka akan ke masjid berhampiran rumah belajar ilmu agama bagi mengisi masa terluang,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini, anak-anaknya beberapa kali melarikan diri dari rumah menyebabkannya tertekan tetapi tetap berusaha memberi nasihat kepada mereka supaya tidak melakukan perkara membahayakan diri sendiri. Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, keempat-empat anak Nordi dijadikan tebusan oleh ibu tiri mereka, Karsini bagi memeras ugut lelaki berkenaan.
Namun, hasil bantuan Biro Aduan Komuniti Umno, tiga daripada mereka dapat diselamatkan dan tiba di tanah air pada 30 Jun lalu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/15