3 beradik terhidu racun rumput – Utusan


3 beradik terhidu racun rumput

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Nuramanini MAT HALUWI, Muhammad Aiman

KOTA BHARU 29 Mac – Tiga beradik berdepan detik cemas selepas terhidu serbuk racun rumput dan serangga yang berwarna ungu berkilat ketika sedang bermain masak-masak di Kampung Berangan, Tumpat di sini petang semalam.

Keadaan tersebut menyebabkan ketiga-tiga beradik berkenaan Muhammad Aiman Mat Haluwi, 7; Muhammad Arsyad, 6, dan Nuramanini, 5, yang terhidu bahan berkenaan mengalami muntah-muntah dan pening.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Difahamkan, ketika kejadian ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Haluwi Yusof, 49, yang bekerja sebagai buruh dan Siti Fatimah Yaacob, 36, peniaga kedai runcit tiada di rumah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Supritendan Sharifuddin Yusof berkata, ketika kejadian ketiga-tiga beradik berkenaan dipercayai terhidu serbuk racun dari jenis faradon ketika sedang bermain masak-masak.

Menurutnya, kejadian yang menimpa ketiga-tiga beradik itu disedari oleh ibunya Siti Fatimah Yaacob, 36, selepas melihat anaknya berada di dalam keadaan lemah dan terbaring serta muntah-muntah di ruang tamu kira-kira pukul 6 petang.

“Sebaik sahaja pulang dari bekerja, bapa mangsa menghantar ketiga-tiga anak mereka itu ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan. Kira-kira pukul 7.30 malam pihak hospital telah merujuk kes berkenaan ke HPRZ II untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil rawatan yang dijalankan, pegawai perubatan hospital berkenaan memberitahu mangsa berada dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan racun di dalam badan akibat terhidu bahan tersebut,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Tambahnya, racun berkenaan disimpan di sebuah stor belakang rumah mangsa dalam keadaan terdedah dan bapanya merupakan petani sambilan.

Sharifuddin memberitahu, racun berkenaan digunakan untuk membunuh rumput dan serangga dan semasa kejadian bahan berkenaan di simpan dalam beg plastik lusuh.

“Hasil temu bual dengan kanak-

kanak berkenaan mengatakan mereka bermain masak-masak dengan pasir berwarna ungu kilat dan kita syak bahan tersebut adalah faradon,” ujarnya.

Sementara itu, abang mangsa Amirul Mat Haluwi, 19, berkata ketiga-tiga adiknya itu terhidu bahan berkenaan selepas dipercayai bermain masak-masak berhampiran rumah padi yang terletak di belakang rumahnya.

“Racun berkenaan sudah lama dan plastiknya pecah. Jadi ketiga-tiga adik saya kemudian mengambil bahan tersebut yang dianggap sebagai pasir dan kemudian dijadikan sebagai permainan.

“Ketiga-tiga adik saya kemudiannya pening dan muntah-muntah, tidak lama kemudian mereka bertiga dibawa ke hospital,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130330/je_04/3-beradik-terhidu-racun-rumput#ixzz2P2SBzsEC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dituduh rogol kekasih bawah umur – Sinar Harian


Dituduh rogol kekasih bawah umur
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Jun 2012
KUALA TERENGGANU – Baru lapan bulan bercinta, seorang buruh berani mengambil kesempatan merogol teman wanitanya yang ketika itu baru berusia 15 tahun, di dua lokasi berasingan pada Julai dan September tahun lalu.

Akibatnya, Mohammad Hafizuddin Maula Manan, 21, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua pertuduhan merogol kekasihnya itu yang masih di bawah umur.

Bagaimanapun, dia yang berasal dari Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, Marang, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa dibacakan dihadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol mangsa di Lorong 6, Pulau Kambing, di sini antara jam 11 hingga 12 malam, 23 Julai 2011.

Dia yang memakai baju T berwarna putih turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua, yang mendakwa dia merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Bukit Bayas, di sini, kira-kira jam 12 malam, 12 September 2011.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohammad Hafizuddin berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Selepas pengakuan tidak bersalah Mohammad Hafizuddin direkodkan, Zainal Abidin menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes nuntuk lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat.