Pelajar gadai nyawa – Sinar Harian


Pelajar gadai nyawa

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Pelajar gadai nyawa
Jalan di hadapan SMK Sungai Ranggam membahayakan pelajar sekolah berkenaan yang sering melintas untuk ke pusat pendidikan itu.

SEBERANG PERAK – Ketiadaan jejantas di laluan hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ranggam menyebabkan pelajarnya terpaksa menggadaikan nyawa mereka setiap kali menyeberangi jalan berkenaan.

Ketua Kampung Sungai Ranggam Abd Fandi Mat Johari, 65, berkata, jalan berkenaan yang menjadi penghubung antara Lumut-Teluk Intan adalah laluan utama pelbagai jenis kenderaan setiap hari.

Menurutnya, akibat jalan berkenaan sering sibuk, pembinaan jejantas di kawasan itu amat diperlukan demi keselamatan pelajar sekolah tersebut.

“Jalan ini menjadi laluan utama untuk semua kenderaan termasuk kenderaan berat seperti lori setiap hari.

“Walaupun bahaya, pelajar terpaksa melintas memandangkan tidak ada cara lain untuk pergi ke sekolah yang berada di seberang jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, keadaan bertambah bahaya apabila bas sekolah yang mahu mengambil pelajar berhenti di seberang jalan menyebabkan pelajar yang baru keluar dari sekolah akan berpusu-pusu melintas.

Jelasnya, bagi pemandu kenderaan yang prihatin mereka akan memperlahankan kenderaan tetapi kebanyakannya akan memandu laju terutama pengguna yang tidak biasa dengan kawasan itu.

“Saya sudah lama membuat permohonan pembinaan jejantas di kawasan itu namun, sehingga kini tiada maklum balas diterima.

“Kemalangan maut melibatkan pelajar sekolah sudah beberapa kali  berlaku namun, sehingga kini permohonan itu masih  tidak diluluskan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah ,Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin berkata, pembinaan jejantas di kawasan itu memang sudah lama dimohon malah sebelum beliau menjadi wakil rakyat lagi, namun sehingga kini masih belum direalisasikan.

Katanya, beliau juga telah membawa perkara berkenaan dalam mesyuarat tindakan daerah memandangkan ia adalah keperluan mendesak.

“Saya berharap kerajaan dapat menyegerakan pembinaan jejantas itu bagi memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin.

“Jalan ini adalah laluan perhubungan penting bukan sahaja antara Lumut dan Teluk Intan malahan ke kawasan lain juga dan memang keselamatan pelajar menjadi isu kerana mereka terpaksa berdepan bahaya setiap kali melintas jalan,” katanya.

Kata beliau, jika pembinaan jejantas itu memakan masa, beliau mencadangkan supaya dibina lampu isyarat di simpang tiga berhampiran sekolah.

“Ini adalah pendekatan yang boleh digunakan sementara menunggu pembinaan jejantas yang mungkin memakan belanja yang banyak,” katanya.

Gadis bakal duduki SPM disyaki ikut kekasih Indonesia – Metro


Gadis bakal duduki SPM disyaki ikut kekasih Indonesia

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAMPUNG GAJAH: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) awal November ini, gagal dikesan sejak Sabtu lalu, dipercayai dilarikan seorang lelaki warga Indonesia.

Norshahirah Zaman Huri, 17, disahkan hilang oleh keluarganya apabila dia tidak pulang ke rumah keluarganya di Kampung Jawa, di sini, selepas keluar ke pekan Teluk Intan untuk berjumpa kawan.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Datuk Seri Maharaja Lela itu dikatakan keluar bertemu dengan lelaki berkenaan kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki teksi. Difahamkan, Norshahirah keluar rumah tanpa kebenaran ibunya, Maria Mohd Noh, 49, manakala, bapanya, Zaman Huri Tan, 51, pula tiada di rumah kerana keluar bekerja.

 

Bapa mangsa, Zaman Huri Tan, 51, mendakwa anak gadisnya itu dilarikan seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai ‘Patah’ berusia lingkungan 20-an. Dia yang ditemui semalam berkata, kehilangan anak kelima daripada sembilan beradik itu sangat dirasai terutama ketika menyambut Aidiladha semalam.
“Saya dan isteri tidak membuat sebarang persiapan kerana masih dalam kesedihan dan bimbangkan keadaannya.
“Fikiran saya bercelaru malah, usaha kami sekeluarga untuk menjejakinya juga gagal menemui sebarang petunjuk. Saya bimbang dia dibawa lari ke Lombok seperti mana yang dilaporkan media sejak kebelakangan ini,” katanya.

 

 

Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kerana sebelum ini Norshahirah tidak pernah berenggang dengannya sekeluarga.
Zaman Huri berkata, dia bersama Ketua Kampung Jawa, Zara’ai Nekmat dan beberapa penduduk kampung turut menjalankan operasi mengesan anaknya sejak beberapa hari lalu namun, gagal ditemui.

 

Menurutnya, Norshahirah anak yang taat dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini sehinggalah bertemu dengan lelaki berkenaan. Mereka yang mempunyai maklumat atau pernah terserempak dengan Norshahirah boleh menghubungi Zaman Huri di talian 012-5873350.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27

Lelaki bersama anak tak pulang sejak 1 September – Metro


Lelaki bersama anak tak pulang sejak 1 September

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAMPUNG GAJAH: Kehilangan dua beranak, Mohd Razali Bidin, 46, dan anak tunggalnya, Mohd Izani, 7, terus menimbulkan tanda tanya apabila mereka berdua tidak pulang ke rumah sejak 1 September lalu.

Mohd Razali yang menetap di Felcra Changkat Lada keluar rumah bersama anaknya itu menaiki motosikal pada petang 1 September lalu.
Namun, selepas 17 hari, kedua-dua mereka masih gagal dihubungi, malah usaha menjejaki mereka menerusi saudara terdekat mangsa gagal memperoleh maklumat.

 

Adik ipar Mohd Razali, Fariza Zubir, 30, ketika dihubungi semalam berkata, kali terakhir dia menemui abang iparnya ketika menziarahi keluarga mentuanya di Kampung Teluk Kepayang, pada pagi 1 September lalu.
Menurut Fariza, dia dimaklumkan kehilangan dua beranak itu dua hari kemudian oleh bapanya selepas mereka tidak pulang ke rumah selain gagal dijejaki terutama menerusi talian telefon.
“Saya tidak pasti kenapa mereka berdua menghilangkan diri, namun tidak menolak kemungkinan sedih selepas kakaknya yang juga isteri Mohd Razali, Che Om Abdullah, 46, meninggal dunia akibat penyakit asma pada 27 Ogos lalu.

 

 

“Mungkin mereka terlalu sedih dengan pemergian arwah kakak saya. Namun, lebih membimbangkan mereka menghilangkan diri tanpa pesanan,” katanya.
Katanya, dia juga bimbang kerana Mohd Izani tidak pergi ke sekolah hampir dua minggu.

 

“Selain itu, adik Mohd Razali yang menetap di Tambun, Ipoh sudah membuat laporan di Balai Polis Tambun,” katanya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat dan terserempak dengan Mohd Razali dan anak lelakinya itu boleh menghubungi Fariza di talian 013-4657611 atau 013- 5949530.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17