Mati berkayuh 10km ke sekolah – Metro


Mati berkayuh 10km ke sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Seorang bapa tidak menyangka tindakannya membelikan anak sulungnya sebuah basikal bagi memudahkannya ke sekolah berakhir tragedi apabila mangsa maut dalam kemalangan Jalan Alor Setar-Kangar, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 6.45 pagi berhampiran Kampung Kubang Siam, Alor Janggus, di sini, ketika mangsa, Muhamad Nazren Jamalludin, 13, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Janggus, kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.
Mangsa dipercayai cuba melintas, tetapi dirempuh sebuah Proton Persona dari arah sama menyebabkannya terjatuh dan parah di badan serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

Bapa mangsa, Jamalludin Ahmad, 37, berkata arwah keluar rumah jam 6.30 pagi ketika dia dan isteri, Sabina Ismail, 36, keluar bekerja di restoran makanan segera berasingan.
Menurutnya, dia terkejut apabila dihubungi seorang individu memaklumkan anak sulung daripada tiga beradik itu terbabit kemalangan dan disahkan meninggal dunia sebelum menghubungi isterinya.
Katanya, kebiasaannya arwah menunggang basikal bersama rakan-rakannya, tetapi semalam arwah terlewat bangun menyebabkan dia bersiap dalam kelam-kabut.

 

 

“Sebelum ini, setiap pagi, saya dan isteri bergilir-gilir menghantar arwah ke sekolah, tetapi sejak seminggu lalu, dia mahu pergi sendiri menunggang basikal bersama rakan-rakannya dan meminta saya membelikan basikal itu.
“Saya tunaikan hasratnya dan membelikan basikal, tetapi tak sangka dia meninggal dunia dalam kemalangan selepas basikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta.

 

“Basikal itu baru dibeli seminggu lalu selepas arwah beriya-iya mahukannya walaupun sebelum ini dia atau isterinya menghantar arwah ke sekolah dengan kereta,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini.
Jamalludin berkata, arwah anak yang baik dan manja, malah tidak pernah ketinggalan mengunjungi pusara arwah neneknya, Roziah Ahmad yang meninggal dunia tahun lalu setiap Jumaat sejak setahun lalu kerana sebelum ini hubungan mereka rapat.
“Allah lebih sayangkan dia dan pinjamkan arwah untuk saya dan isteri dalam tempoh singkat, namun saya reda dengan takdir,” katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Siam, dekat sini, selepas solat Zuhur, semalam.

Derita Iman Adam dapat perhatian – Utusan


Derita Iman Adam dapat perhatian

 

Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my

 

AHMAD Said meneliti kaki Iman Adam Raman yang terlantar menderita akibat langgar lari di rumah mangsa di Kebor Besar, semalam.

 

KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Iman Adam Raman, 8, anak bongsu daripada sembilan beradik amat disayangi oleh keluarga dengan keletahnya yang periang dan cerdik.

Dia yang menyerikan suasana kehidupan keluarganya sudah berupaya menghafaz beberapa surah al-Quran selain surah Yasin dengan lancar.

Namun sejak tujuh bulan lalu, kedukaan menyelubungi kehidupan keluarganya apabila anak kecil itu terbaring kaku dalam keadaan koma.

Tarikh 2 Mei tahun lalu menjadi detik hitam keluarganya apabila Iman Adam cedera parah dirempuh oleh sebuah motosikal sewaktu melintas jalan menuju sebuah kedai di Kampung Kubang Jela, Manir dekat sini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi sewaktu mangsa bersama bapanya, Raman Abdullah, 58, singgah sekejap di kedai tersebut untuk membeli peralatan sekolah sebelum meneruskan perjalanan ke sekolahnya di Kampung Tok Jiring.

Ekoran rempuhan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana kecederaan parah di kepala, badan dan patah kaki sehingga dia dirawat dan terlantar koma di hospital itu selama tujuh bulan.

Tersentuh dengan musibah yang menimpa Iman dan keluarganya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menziarahi rumah mereka di Kampung Kebor Besar dekat sini, hari ini.

Kunjungan Ahmad membawa kelegaan kepada keluarga itu apabila kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan RM1,300 sebulan selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said hadir sama.

Iman Adam lumpuh setelah menjadi mangsa langgar lari dalam kejadian di Kampung Kubang Jela, Manir pada 2 Mei lalu.

Ibu mangsa, Nik Aini Mohd., 51, mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Menteri Besar yang membantu meringankan beban keluarganya bagi menyediakan keperluan Iman.

Nik Aini menceritakan, sepanjang dirawat di HSNZ, anaknya itu terpaksa menjalani tujuh pembedahan di kepala selain rawatan lain.

“Saya tetap reda dengan apa yang menimpa Iman, malah bersyukur kerana dia masih hidup sehingga sekarang walaupun lumpuh.

“Semasa dirawat di hospital, doktor bertugas menjangkakan yang Iman hanya boleh hidup tiga hari, tapi Allah maha berkuasa, dia (Iman) masih ada sehingga ke saat ini,” katanya.

Nik Aini memberitahu, anaknya itu berkemungkinan hilang penglihatan dan kini hanya bergantung hidup kepada tiga tiub di dalam badannya yang disambung ke jantung, buah pinggang dan perut.