Murid tahun satu lemas susulan pasir jerlus – Bernama


Murid tahun satu lemas susulan pasir jerlus

5 April 2013

SETIU – Seorang murid tahun satu yang dihanyutkan air sungai susulan kejadian pasir jerlus di sungai Kampung Padang Muar di sini petang semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Mayat murid Sekolah Kebangsaan Sungai Tong, Nor Aina Nabila Abdullah ditemui terdampar kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pada pukul 9.25 pagi tadi oleh kumpulan mencari dan menyelamat.

Perkara itu disahkan Penolong Kanan Penguasa Bomba negeri Mohd Rozairi Abd Rahim ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, nenek mangsa Gayah Mat Sin, 56, berkata kejadian berlaku pukul 6.30 petang semalam ketika dia bersama seorang anaknya yang berusia 18 tahun, Nor Aina serta dua anak jiran mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mandi di sungai berkenaan.

“Saya ternampak timbunan pasir yang cantik dan ingin melihat dari dekat. Kami kemudian berjalan berpimpin tangan menyusuri sungai apabila dasar sungai tiba-tiba jerlus dan kami mula tenggelam.

“Kami berusaha naik ke tebing tetapi entah macam mana Nabila terperangkap dan dalam sekelip mata dihanyutkan air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Gayah, beliau tidak menyangka gurauan cucunya yang berpura-pura lemas ketika mandi sebelum kejadian menjadi kenyataan. – Bernama

Ibu tunggal empat anak hidup melarat dapat bantuan JKM – Bernama


Ibu tunggal empat anak hidup melarat dapat bantuan JKM

19 November 2012

KULIM – Seorang ibu tunggal yang mengharungi pelbagai ujian hidup membesarkan empat orang anaknya selepas diceraikan suami empat tahun lalu kini bersyukur kerana kesusahannya itu sudah mendapat perhatian pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Norhaslinda Musa ,36, yang tinggal di Taman Raya Murni, Kampung Padang, Padang Serai, dekat sini diberi bantuan segera RM300 oleh jabatan itu manakala bantuan bulanan pula akan bermula Disember ini.

Pegawai JKM Kulim, Rohana Mohd Yusuf yang menyiasat kes ibu tunggal itu berkata Norhaslinda sepatutnya mendapat bantuan tahun lalu tetapi kerana permohonan pertamanya diuruskan di JKM Butterworth dan beliau telah berpindah menyebabkan tidak dapat dikesan.

Katanya, kes ibu tunggal itu dilaporkan kepada JKM oleh seorang rakannya yang bersimpati dan selepas ditemuduga jabatan itu meluluskan bantuan di bawah Program Bantuan Kanak-Kanak (BKK) untuk keempat-empat orang anak wanita itu.

Rohana berkata selain bantuan segera dan bulanan, jabatan itu akan menolong mendapatkan bantuan di bawah program Azam 1Malaysia berupa sebuah mesin jahit bagi membolehkan Norhaslinda berdikari.

Norhaslinda yang ditemui pemberita berkata beliau tidak diberitahu tentang permohonan pertamanya melalui JKM Butterworth ditolak atas alasan teknikal.

Wanita itu kini mengusahakan pembuatan kerisik kelapa yang dijual di kedai-kedai dan restoran sekitar pekan Padang Serai, mengambil upah menjahit pakaian dan membuat kuih pada musim perayaan.

“Saya boleh dapat RM300 hingga RM400 sebulan namun tidak cukup untuk menampung perbelanjaan tiga anak yang belajar dalam darjah 3, 5 dan 6, manakala yang bongsu berumur empat tahun serta untuk belanja harian kami,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan dengan memasukkan wang ke akaun Norhaslinda di Maybank nombor 157410105679.  – Bernama

Murid harap ada yang sudi derma mata – Utusan


Murid harap ada yang sudi derma mata

AHMAD Bashah Md. Hanipah (kanan) melihat mata Mohamad Amirul Hakimi Othman di Kampung Padang Luar, Tajar, Alor Setar, semalam. – BERNAMA

ALOR SETAR 26 Okt. – Melihat kembali keindahan ciptaan Tuhan merupakan impian seorang murid tahun tiga setelah mata kanannya cedera pada Mei lalu.

Kanak-kanak itu, Mohamad Amirul Hakimi Othman, 9, yang buta sebelah setelah terkena serpihan mata mesin pemotong jubin itu menaruh harapan tinggi agar ada yang sudi menderma mata kepadanya.

“Saya cuma berharap mata kanan boleh melihat semula seperti sebelum ini,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Padang Luar, Tajar di sini hari ini.

Bapanya, Othman Salleh, 43, berkata, kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi pada 1 Mei lalu ketika Mohamad Amirul ke rumah jiran di Kampung Padang Lalang untuk melihat rakan-rakannya mencanai besi basikal menggunakan mesin pemotong berkenaan.

Menurutnya, nasib tidak menyebelahi anaknya kerana sewaktu ingin mendekati tempat itu dengan tidak disangka mata mesin terpelanting tepat ke arah mata Mohamad Amirul sebelum berpatah semula ke arah pokok.

“Saya sendiri terkejut melihat keadaan Mohamad Amirul yang hampir pengsan dengan mata berdarah di tempat kejadian sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Othman yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah berkata, walaupun keadaan mata Mohamad Amirul masih belum pulih sepenuhnya, namun murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Titi Haji Idris itu tetap menunjukkan keputusan cemerlang dalam pelajaran dengan memperoleh keputusan A.

Menurutnya, sumber kewangan untuk merawat anaknya terhad kerana pendapatan sebagai pengawal cuma RM600 sebulan, selain perlu menanggung empat lagi anak yang masih bersekolah serta seorang berumur dua tahun.

Sementara itu menurut ibu kanak-kanak tersebut, Azlina Mohd. Yusoff, 40, dia sekeluarga berharap ada penderma tampil untuk menderma mata kepada Mohamad Amirul supaya penglihatannya kembali pulih serta meneruskan impian bergelar guru satu hari nanti.

“Doktor ada beritahu jika ada penderma, dia boleh melihat, namun sebaliknya, besar kemungkinan mata sebelah kirinya pula berhadapan risiko besar untuk turut mengalami masalah penglihatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Rawatan susulan akan dilakukan pada 7 November depan. Walaupun tidak rasa sakit, namun dia alah kepada cahaya terang kerana cepat rasa silau,” katanya.

Dalam pada itu, nasib kanak-kanak malang itu mendapat perhatian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah yang memberitahu pihaknya sedia menanggung semua kos rawatan perubatan Mohamad Amirul termasuk khidmat pakar bagi memulihkan kembali matanya.

“Kita akan berbincang dengan pihak hospital dan cuba segerakan pembedahan tersebut bagi menggantikan mata yang rosak dengan mata kaca,” katanya.

Pada lawatan itu, Ahmad Bashah turut menghulurkan bantuan berupa keperluan harian dan wang tunai.

Dalam pada itu sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Othman di talian 017-5471670 atau menyalurkan bantuan ke nombor akaun Maybank: 152170132326.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121027/dn_16/Murid-harap-ada-yang-sudi-derma-mata#ixzz2AWGBNtEy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dipenjara lapan bulan curi penutup longkang sekolah – Sinar Harian


Dipenjara lapan bulan curi penutup longkang sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Julai 2012

Syed Muhd Firdaus mengaku salah mencuri besi penutup longkang milik SMK Padang Midin, di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU – Padah mencuri besi penutup longkang milik sebuah sekolah menengah di sini, seorang buruh dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Syed Muhd Firdaus Syed Ali, 29, mengaku salah mencuri besi penutup longkang milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Jalan Kuala Berang, di sini, kira-kira jam 6.30 petang, Sabtu baru-baru ini.

Dia yang turut berasal dari Kampung Padang Midin, di sini, mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pengawal keselamatan bertugas yang berusia 44 tahun bersama seorang lagi rakannya telah dimaklumkan oleh seorang guru berhubung kehadiran dua lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan sekolah melalui pintu belakang.

Hasil pemerhatian, dua lelaki terbabit sedang mencuri besi penutup longkang sebelum pengawal keselamatan itu bersama rakan dan guru berkenaan menghampiri dua lelaki tersebut.

Dua lelaki terbabit melarikan diri sebelum pengawal keselamatan itu berjaya menahan tertuduh manakala rakannya sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

Tertuduh kemudian diserahkan kepada polis dari Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut.

Rentung berpelukan – Metro


Rentung berpelukan

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
RENTUNG...dua kenderaan bertembung sebelum meletup dan terbakar, semalam.
RENTUNG…dua kenderaan bertembung sebelum meletup dan terbakar, semalam.

KOTA BHARU: Memilukan apabila seorang guru lelaki dan anak perempuannya berusia empat tahun mati rentung dalam keadaan berpelukan selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum meletup dan terbakar di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, di sini, mayat Che Arminudin Abdullah, 42, dan anaknya, Marissa Alma, ditemui di bahagian tengah antara tempat duduk hadapan dan belakang Toyota Rush dinaiki mereka.
Che Arminudin berasal dari Kampung Seberang Kastam, Besut, Terengganu menetap di Kampung Seri Kulim, Melur, dekat sini dan bertugas di Sekolah Menengah Teknik Pengkalan Chepa.

 

Berdasarkan posisi mayat ketika ditemui, dua beranak itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan Che Arminudin menarik keluar anaknya, tetapi gagal apabila kenderaan dinaiki meletup dan terbakar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila Toyota Rush yang dinaiki Che Arminudin bersama anaknya menghala ke Pasir Puteh terbabas dan melanggar tiang lampu.
Menurutnya, kenderaan itu kemudian masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Ford Ranger dipandu Azaizurien Ahmad, 33, dan seorang penumpang, Siti Nor Azreen Md Yani, 24, yang menghala ke Kota Bharu.

 

 

“Akibat pertembungan itu kedua-dua kenderaan meletup dan terbakar. Pemandu dan penumpang Ford Ranger berjaya diselamatkan penduduk kampung.
“Mereka dilaporkan cedera parah dan dihantar ke wad kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan,” katanya.

 

Menurut Jalaluddin, jenazah Che Arminudin dan Marissa Alma turut dibawa ke HUSM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mereka.
Sementara itu, saksi kejadian, Abdul Razak Abdullah, 34, berkata, dia terdengar dentuman kuat ketika bekerja di Kilang Kitar Semula RD Papers di kawasan berhampiran tempat kejadian.
“Saya berlari keluar dan mendapati dua kenderaan berlanggar dan terus membantu menarik keluar dua mangsa yang berada di dalam Ford Ranger,” katanya.
Menurut warga Myanmar itu, dia cuba menyelamatkan mangsa di dalam Toyota Rush selepas melihat si bapa cuba menarik keluar anaknya yang berada di tempat duduk penumpang belakang.
“Bagaimanapun, saya tidak sempat menyelamatkan mereka kerana kenderaan itu tiba-tiba meletup dan terbakar,” katanya.

Guru, anak rentung kereta bertembung – Utusan


Guru, anak rentung kereta bertembung

 

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

 

KOTA BHARU 29 Feb. – Dua beranak rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Padang Kala, Jalan Pasir Putih-Kota Bharu dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam, Che Arminudin Abdullah, 42, seorang guru dan anak perempuannya, Marissan Alma, 4, berasal dari Kampung Seberang Kastam, Besut, Terengganu maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, ketika kejadian Che Arminuddin yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Rush dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Puteh.

Menurut beliau, kereta yang dipandu mangsa dikatakan terbabas lalu melanggar tiang sebelum masuk ke lorong bertentangan.

“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipandu oleh Azaizurien Ahmad, 33, dan penumpang Siti Nor Azreen Md. Yani, 24, menyebabkan kedua-duanya terbakar.

Ibu maut, tiga anak parah kemalangan – Utusan


Ibu maut, tiga anak parah kemalangan

BESUT 16 Feb. – Seorang ibu maut manakala tiga anaknya yang membonceng sebuah motosikal cedera parah dalam kemalangan di Kampung Padang Landak dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, Norhaima Mamat, 44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya setelah mengambil dua anaknya yang baru selesai menghadiri Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah berdekatan.

Mangsa sebelum itu membawa bersama anak bongsunya, Nik Mohamad Haries Haikal, 4, sementara menunggu dua lagi anaknya, Nik Mohamad Saifullah, 7, dan Nik Mohamad Hafizudin, 10.

Selepas selesai kelas Kafa kedua-duanya membonceng motosikal ibu mereka dan melintasi jalan melalui pembahagi jalan untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun sebuah kereta yang datang dari arah Pasir Puteh Kelantan yang dipandu oleh seorang jurujual berumur 31 tahun gagal mengelak daripada merempuh motosikal yang dinaiki empat beranak itu.

Norhaima yang cedera parah di bahagian kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Besut untuk dibedah siasat.

Tiga anaknya dibawa oleh penduduk kampung ke hospital.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamarudin Mohd Zakaria ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian.