Noh bidas Kerajaan Negeri isu pendidikan


Noh bidas Kerajaan Negeri isu pendidikan

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
Noh bidas Kerajaan Negeri isu pendidikan

TANJONG KARANG – Kerajaan Negeri disifatkan tidak mengambil berat soal pendidikan anak-anak Selangor terutamanya mereka yang di luar bandar.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional (BN) dahulu mengambil inisiatif membela anak Selangor untuk mendapatkan pendidikan lebih baik untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Bila PKR memerintah, mereka jadi seperti tikus membaiki labu bukan hendak membaiki tetapi menjejaskan lagi struktur sedia ada, mereka hendak robohkan asrama Yayasan Selangor itu.

“Kerajaan BN dahulu menubuhkan Yayasan Selangor bagi membantu murid di luar bandar yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mendapatkan kemudahan pendidikan lebih baik di sekolah ternama di Kuala Lumpur.

“Anak Selangor yang mendapat tajaan Yayasan Selangor ditempatkan di Asrama Toh Puan Norashikin dan Tun Dr Ismail di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Tetapi apa yang menyedihkan kini adalah pihak pengurusan Yayasan Selangor mahu merobohkan kedua asrama itu dan membangunkan tapak asrama itu bagi projek komersil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Harun yang dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Selangor, Siti Zaiton Selamat, Pengetua SMK Dato Harun, Ruhana Abd Ghani dan Pengerusi PIBG, Datuk Mohammad Shafie Asnawi.

Noh berkata, mulai tahun ini, Yayasan Selangor juga tidak mengambil pelajar tingkatan satu untuk bersekolah di Kuala Lumpur tetapi menaja pelajar untuk ditempatkan di asrama daerah dan di sekolah berhampiran.

“Jika pelajar ini ditempatkan di asrama daerah, pendedahan dan persaingan di dalam pelajaran tidak sama sebagaimana mereka bersekolah di St John Institution ataupun Victoria Institution dan ini bertentangan dengan matlamat asal penubuhan Yayasan Selangor.

“Yayasan Selangor mendakwa organisasi itu kekurangan dana untuk membiayai operasi persekolahan dan penginapan pelajar tajaan mereka tetapi difahamkan pada 2009 Yayasan Selangor mempunyai dana sebanyak RM80 juta,” katanya.

Isu Universiti Selangor (Unisel) yang mengalami kerugian akibat kemerosotan jumlah pendaftaran penuntut baru turut ditimbulkan dan Noh mengakui turut mendapat maklum balas bahawa ibu bapa kini tidak selesa untuk menghantar anak mereka ke Unisel berikutan menjadi lubuk berpolitik.

Noh turut mempersoalkan janji Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat dalam bidang pendidikan berikutan sumbangan RM1,000 untuk anak masuk ke universiti, yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 tidak dinikmati mereka yang layak.

TPM kesal asrama Yayasan Selangor diroboh – Utusan


TPM kesal asrama Yayasan Selangor diroboh

SHAH ALAM 4 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau amat kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan negeri itu yang mengambil tindakan hanya untuk mencari keuntungan.

“Kenapa institusi yang sudah dibangunkan berpuluh tahun mahu diruntuhkan hanya kerana kalau dapat dibangunkan, dapat mencairkan aset dan mendapat untung. Tak dengar pula nak diganti di mana?

“Kerajaan negeri kata nak agih dan pindahkan pelajar masuk ke sekolah lain di bawah Kementerian Pelajaran tapi saya sebagai Menteri Pelajaran tak tahu pun. Maknanya, dia nak lepas tangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program TPM Bertemu Warga Pendidik, PIBG dan Pengelola Sekolah Seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay.