Tinggal anak sebab judi – Metro


Tinggal anak sebab judi

 12  2 Google +2  1  0

Oleh Na’imah Mohamed

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri sanggup meninggalkan empat anak berusia empat hingga 14 tahun di rumah yang baru diduduki dua bulan hanya kerana hendak melepaskan gian bermain judi Internet, dalam satu serbuan di Metro Prima, di Kepong, di sini, kira-kira 8.30 malam semalam.

Dalam serbuan dijalankan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu, pasangan, masing-masing berusia 48 dan 42 mendakwa baru pertama kali datang ke premis berkenaan untuk berjudi.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Elis, mereka baru sepuluh minit memasuki pusat judi berkenaan bertujuan melepaskan tekanan selepas penat menjalankan urusan harian.

“Kami tidak pernah datang ke sini dan tidak sangka kali pertama menjejakkan kaki ke premis ini kami terus ditahan.

Foto 

“Saya baru bertaruh RM10 dalam permainan ‘Safari Heat’ apabila tiba-tiba beberapa lelaki memasuki premis dan mengenalkan diri sebagai polis,” katanya yang berasal dari Filipina.
Operasi yang diketuai Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mohd itu memeriksa empat premis di kawasan berkenaan dan menahan tiga pelanggan serta lima penjaga premis warga Indonesia.

Katanya, polis turut merampas 127 unit komputer serta RM1,110 tunai.

Dalam perkembangan lain, satu serbuan Ops Limau turut dijalankan pihak D7 Bukit Aman bersama D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras diketuai Pegawai Turus (D7) Bukit Aman Deputi Superintendan Tan Tin Heng di Kampung Pandan Luar, di sini.

Tan berkata, pihaknya menyerbu lima premis sebelum merampas 150 mesin judi Internet dan RM2,258 tunai.

“Dua puluh enam pelanggan turut ditahan manakala enam lagi adalah penjaga premis yang masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Semua premis berkenaan baru diserbu IPD Cheras dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini, namun mereka tetap berdegil meneruskan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Sekeluarga cemas berdepan perompak – Sinar Harian


Sekeluarga cemas berdepan perompak
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Julai 2012
KUANTAN – Tiga perompak bertopeng dipercayai warga asing menjadikan seorang kanak-kanak berusia 9 tahun sebagai tawanan sebelum bertindak menyamun sebuah keluarga dalam satu kejadian di Kampung Pandan 1, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, seorang ahli keluarga terbabit berusia lingkungan 30-an diikat perompak manakala yang lain diugut akan dicederakan jika cuba melawan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, dalam kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM8,000 apabila sejumlah barang kemas dan wang tunai RM600 dikebas perompak yang bersenjatakan pisau.

Menurutnya, ketika kejadian semua mangsa termasuk satu keluarga yang datang dari Johor sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari bahagian tengah rumah.

“Tiga perompak yang memakai penutup muka dipercayai memecah masuk rumah itu melalui pintu belakang yang diumpil sebelum ke bahagian dapur mengambil pisau untuk dijadikan senjata.

“Kebetulan seorang kanak-kanak yang tidur di bahagian tengah rumah terjaga dan terkejut dengan kehadiran lelaki asing tersebut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Jasmani berkata, penjenayah membawa kanak-kanak itu bersama mereka sebelum memecah masuk bilik tidur utama dan mengikat salah seorang penghuninya.

“Perompak kemudiannya bertindak menggeledah rumah sebelum melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai.

“Selepas mendapat habuan mereka, perompak melarikan diri dan keluar menggunakan laluan sama,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang diikat berjaya melepaskan diri dengan bantuan ahli keluarga yang lain sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis kira-kira jam 4.30 pagi.

“Susulan kejadian, sepasukan anggota polis dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kes tersebut masih dalam siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Suami dakwa anak dilarikan bekas isteri – Kosmo


Suami dakwa anak dilarikan bekas isteri

 

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
n.jagatheswary@kosmo.com.my

 

NADARAJAH menunjukkan laporan polis dan gambar Anusha yang didakwa dilarikan oleh bekas isterinya di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Seorang bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Kampung Pandan Indah di sini mendakwa, anak kesayangannya itu telah dilarikan oleh bekas isterinya sejak 31 Januari lalu.

Bapa malang itu, G. Nadarajah, 37, berkata, anak perempuannya, N. Anusha (gambar kecil) yang belajar di Sekolah Kebangsaan Convent, Jalan Peel di sini tidak pulang ke rumah setelah tamat sesi persekolahan pada petang hari kejadian.

 

Dia yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma swasta di ibu kota berkata, kejadian itu berlaku pada hari ulang tahun kelapan anaknya itu.

Katanya, dia juga telah membuat persiapan untuk menyambut hari jadi Anusha bersama isteri keduanya di kediamannya.

Bagaimanapun menurutnya, selepas sesi persekolahan tamat pukul 6.20 petang, dia telah ke sekolah untuk mengambil Anusha tetapi kelibat anaknya tidak kelihatan bersama murid-murid lain.

“Saya yang bimbang terhadap keselamatan Anusha terus bergegas ke pejabat guru besar sekolah itu untuk mengadu tentang kehilangan anak saya.

Tidak setuju roboh asrama – Utusan


Tidak setuju roboh asrama

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur di Kampung Pandan di sini mendapat tentangan daripada dua bekas pengurus besar yayasan tersebut.

Mereka menganggap keputusan kerajaan negeri dan Yayasan Selangor itu tidak wajar kerana asrama yang berusia lebih 30 tahun itu banyak berjasa kepada rakyat negeri itu.

Bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor yang pertama, Hashim Abdullah berkata, keputusan merobohkan asrama tersebut hanya akan merugikan rakyat negeri berkenaan.

Katanya, lebih 20,000 pelajar pernah menginap di asrama itu dan kebanyakannya kini merupakan golongan profesional.

“Asrama tersebut telah melahirkan banyak golongan profesional antaranya pakar kesihatan, pakar bedah, malah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff juga merupakan salah seorang bekas pelajar yang pernah menginap di asrama berkenaan.

“Adalah satu kerugian sekiranya tempat yang telah melahirkan banyak pelajar cemerlang dan berpotensi itu dirobohkan. Ia merupakan harapan serta peluang kepada anak-anak Selangor terutamanya bumiputera yang menetap di luar bandar mendapatkan pendidikan terbaik di sekolah pilihan di bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan negeri serta Yayasan Selangor itu dipercayai bagi menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan.

Berikutan keputusan itu, nasib 468 pelajar di asrama berkenaan bakal terjejas.

Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1975 bagi memberi peluang kepada pelajar dari kawasan kampung di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih sekitar Lembah Klang.

Asrama tersebut terdiri daripada Asrama Tun Dr. Ismail yang menempatkan pelajar lelaki manakala Asrama Toh Puan Norashikin menempatkan pelajar perempuan.

Kebanyakan mereka dihantar ke Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist.

Seorang lagi bekas Pengurus Besar yayasan tersebut, Mohamed Shahibi Mohd. Sharif berharap kerajaan negeri menimbang semula keputusan itu kerana asrama berkenaan merupakan sebahagian daripada sejarah Yayasan Selangor.

“Apa lagi yang tinggal di Selangor dalam membantu pembangunan pendidikan penduduk di luar bandar jika asrama itu dirobohkan. Jadi asrama tersebut wajar dipertahankan,” jelasnya.