Pekerja am disyaki liwat tujuh budak – Metro


Pekerja am disyaki liwat tujuh budak

 1  3 Google +0  1  0

Kuala Terengganu: Seorang pekerja am di sebuah sekolah rendah, di sini, yang berusia 56 tahun layak digelar ‘peliwat bersiri’ kerana dipercayai meliwat tujuh budak lelaki berusia 13 tahun dalam kejadian berasingan sejak Januari lalu, selepas membawa mereka ke rumah sewanya di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Bagaimanapun, lelaki warga emas itu yang pernah dipenjara 10 tahun dan sebatan kerana jenayah sama sebelum ini, terbongkar dan ditahan, kelmarin, selepas seorang mangsanya mendedahkan peristiwa hitam itu kepada ibu bapanya.
Menurut sumber, ibu bapa mangsa bertambah terkejut dan berang apabila pelajar terbabit turut memaklumkan beberapa rakannya juga diliwat.

 

“Terkejut dengan pendedahan itu, keluarga mangsa bersama beberapa penduduk kampung segera ke rumah suspek bagi mendapatkan kesahihan cerita anaknya jam 6 petang semalam (kelmarin).
“Sebaik sampai di rumah suspek, keluarga mangsa yang gagal mengawal kemarahan menyerang dan membelasah suspek di rumahnya.
“Pada masa sama, polis yang dimaklumkan kejadian berkenaan ke rumah suspek bagi mengawal keadaan dan menahan lelaki itu kira-kira sejam kemudian,” katanya.

 

Sumber berkata, suspek yang masih menjalani parol dipercayai menjadikan pelajar yang sering ponteng sekolah sebagai mangsa dengan mengumpan mereka ke rumahnya untuk makan sebelum memuaskan nafsu serakahnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/20

Sifat berani gadis bawah 12 tahun selamatkan dua adik dalam kebakaran – Bernama


Sifat berani gadis bawah 12 tahun selamatkan dua adik dalam kebakaran

2013/07/22 – 16:19:04 PMCetakEmel Kawan
KUALA TERENGGANU: Keberanian seorang gadis 12 tahun yang tidak mempedulikan bahang api yang menjilat rumahnya di Lorong Kemunting, Kampung Pasir Panjang di sini, telah dapat menyelamatkan nyawa dua adiknya, petang semalam.

Nor Ilyana Syahira Mohd Shahruddin, 12 membawa adik perempuannya Nor Aireen Shafiqa, 9, dan adik lelakinya Mohd Aziq Asyraf, tiga bulan, keluar daripada rumah semasa api sedang marak.

Bagaimanapun, mereka bertiga tidak mengalami sebarang kecederaan. Bapa kanak-kanak itu Mohd Shahruddin Mohamad, 43, berkata, semasa kejadian 6.30 petang itu beliau tidak berada di rumah manakala isterinya Nor Shahida Mohd, 34, berniaga di Pasar Ramadan di Pasar Bukit Besar di sini.

“Ketika anak-anak saya leka berada di rumah menemani adik bongsunya yang berumur tiga bulan, tiba-tiba satu letupan berlaku dipercayai pada plug elektrik rumah sebelum apinya terpercik ke atas sofa lalu merebak ke seluruh rumah,” katanya kepada Bernama di tempat kejadian di sini hari ini.

Mohd Shahruddin berkata walaupun beliau merasa sedih di atas kejadian itu kerana persiapan baju raya anak-anaknya musnah dalam kebakaran itu, namun beliau bersyukur kerana anak-anaknya yang masih kecil itu sempat menyelamatkan diri.

Katanya beliau kagum dengan keberanian anak sulungnya Nor Ilyana Syahira, 12, kerana dapat membawa adik-adiknya keluar dari rumah yang sedang terbakar tanpa sebarang kecederaan.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Kuala Terengganu, Abdullah Zawawi yang mengetuai operasi menyelamat berkata, 17 anggota dengan tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran dalam masa setengah jam.

Punca dan jumlah kerugian masih disiasat. – BERNAMA