Dua koma nahas motosikal – Berita Harian


Dua koma nahas motosikal

2012/11/19 – 04:53:25 AM Oleh Zuliaty ZulkiffliCetakEmel Kawan
Alor Setar: Dua kanak-kanak berusia tiga dan 14 tahun koma, manakala dua lagi cedera ringan selepas motosikal dinaiki bersama dua lagi saudara mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanah di Kampung Pisang, dekat sini, petang kelmarin.

Mohd Nabil Yaakob, 14, yang menunggang motosikal dan sepupunya, Mohd Nur Adam Shukri, 3, dilapor koma selepas cedera parah pada muka serta kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Dua lagi mangsa, Nur Azwan Shukri, 10, yang juga abang Muhd Nur Adam serta sepupu mereka, Muhamad Safwan Akhbar Sardin, 11, luka di tangan dan kaki dan dirawat sebagai pesakit luar.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 5 petang ketika empat bersaudara itu yang menaiki sebuah motosikal dalam perjalanan pulang dari kedai berhampiran rumah mereka di Kampung Pisang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, motosikal dinaiki empat kanak-kanak itu bertembung dengan sebuah lori yang ketika itu dikatakan sedang membelok ke simpang jalan.

Buat masa sekarang, kes sedang disiasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis di talian 04-7321222 untuk membantu siasatan, katanya.

Sementara itu, Muhammad Safwan ketika ditemui berkata, ketika dalam perjalanan pulang, sebuah lori tanah tiba-tiba membelok ke simpang jalan berhampiran dengan laju menyebabkan mereka gagal mengelak dan terus merempuhnya.
Saya yang duduk paling belakang terasa seperti terbang sebelum jatuh tertiarap di atas jalan tar. Pada waktu itu saya nampak dua sepupu dalam keadaan tidak sedarkan diri termasuk Muhd Nur Adam yang ketika itu pengsan, selain Mohamad Nabil dengan darah kelihatan mengalir dari mulutnya, katanya.

Polis Tahan Lima Lelaki Culik Remaja – Bernama


Polis Tahan Lima Lelaki Culik Remaja

 

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim menunjukkan wang tebusan yang berjaya ditemui semula selepas berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang disyaki terbabit menculik seorang remaja lelaki berumur 13 tahun di Jalan Kampung Pisang, Alor Setar, Kedah, Selasa lepas pada sidang media Ahad. -fotoBERNAMA

 

ALOR SETAR: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang disyaki terbabit menculik seorang remaja lelaki berumur 13 tahun di Jalan Kampung Pisang di sini, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dua suspek diberkas di sini pada malam Khamis dan tiga lagi ditahan di sebuah kuil di Sungai Petani, dua malam lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek berumur 20-an hingga 50-an itu menculik remaja tersebut di Jalan Kampung Pisang ketika mangsa pulang dari pusat tuisyen kira-kira pukul 10 malam.

“Selepas menculik, suspek menghubungi keluarga remaja itu kira-kira pukul 11 malam hari yang sama menuntut wang tebusan sebanyak RM500,000.

“Penculik bagaimanapun bersetuju menerima RM350,000 setelah berunding dengan keluarga remaja tersebut dan membebaskannya pada Khamis lepas setelah menerima wang tebusan,” katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Ahmad berkata remaja tersebut kini masih dalam keadaan trauma.

Katanya hasil laporan yang dibuat keluarga remaja berkenaan, polis berjaya menahan kesemua suspek dan menemui wang tebusan sebanyak RM349,700.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman mulai semalam sehingga Khamis ini.

Katanya polis masih menyiasat sama ada kelima-lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan menganggap kes itu selesai dengan penahanan kesemua lelaki terbabit.BERNAMA