Jenazah 3 beradik lemas dikebumi satu liang lahad – Bernama


Jenazah 3 beradik lemas dikebumi satu liang lahad

 

 

PASIR MAS 18 Jun – Jenazah tiga beradik yang lemas ketika mandi di Sungai Golok, Rantau Panjang semalam, selamat dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat di sini hari ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian pukul 4 petang itu ialah Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, Muhammad Syahmi, 6, dan Muhammad Irfan Syahmi, 4.

Suasana pilu menyelubungi rumah keluarga mangsa apabila sanak saudara dan orang ramai menziarahi jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Ketika ditemui pemberita, ibu mangsa, Nur Asyikin Abdul Rahman, 41, berkata kejadian itu perit untuk dikenang kerana suaminya juga meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Kali terakhir beliau bertemu tiga anaknya itu ialah pada 1.30 tengah hari semalam sebelum meninggalkan rumah bagi mengikuti bengkel di Tadika Kemas Cempaka Sari, Gual Sintok di sini.

Nur Asyikin, yang bertugas sebagai guru di Tadika Kemas Kampung Rahmat, tidak menyangka kejadian itu akan menimpa ketiga-tiga anaknya, namun beliau reda dengan ketentuan Tuhan.

Beliau berkata, Muhammad Zulhilmi, yang dipanggil abang dan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Rahmat, bercita-cita menjadi seorang jurutera dan Muhammad Syahmi, yang dipanggil adik, ingin menjadi juruterbang manakala si bongsu iaitu Muhammad Irfan Syahmi, atau Baby, pula mahu menjadi seorang anggota polis. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130618/je_22/Jenazah-3-beradik-lemas-dikebumi-satu-liang-lahad#ixzz2WZ2sVq8g
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dua remaja hilang dikhuatiri lemas – Sinar Harian


Dua remaja hilang dikhuatiri lemas

WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Disember 2012
Dua remaja hilang dikhuatiri lemas
Ahli keluarga mangsa dan penduduk setempat menunggu sehingga mangsa dijumpai.
Muhamad Azhari Suranto
Muhamad Azhari Suranto
Mohamad Hafis Jamuladin
Mohamad Hafis Jamuladin

MERSING – Trip ahli Persatuan Kompang Sinar Perkasa Kampung Rahmat, Batu Pahat, yang berkelah berakhir dengan tragedi apabila dua daripadanya dikhuatiri lemas semasa mandi di Pantai Air Papan, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, mangsa, Mohamad Hafis Jamuladin, 17, dan Muhamad Azhari Suranto, 17, dipercayai ke laut untuk mandi semula selepas menikmati sajian sarapan pagi.

Rakan mangsa, Mohd Fauzi Jelani, 28, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua mangsa itu ke pantai untuk mandi-manda.

“Saya bertiga mandi bersama-sama. Apabila sudah letih, kami membuat keputusan naik ke tepi pantai untuk menikmati makanan yang ada.

“Selesai makan, mereka turun semula ke pantai. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu saya melihat mereka terkapai-kapai seperti meminta pertolongan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Fauzi berkata, dia bersama rakan lain bergegas turun untuk menyelamatkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana ombak kuat dan arus yang deras.

“Salah seorang daripada kami dapat mencapai tangan salah seorang daripada mereka, tetapi cubaan itu tidak berjaya.

“Ketika itu, kami rasa seperti ditarik ke tengah laut dan dengan sekelip mata mereka hilang,” katanya.

Bapa mangsa, Jamuladin Dasuki, 51, berkata, dia menerima panggilan telefon mengenai kejadian yang menimpa anaknya sekitar jam 9.30 pagi.

“Saya terkejut selepas menerima panggilan yang mengatakan anak saya lemas seterusnya segera mendapatkan bantuan ketua kampung untuk menghantar saya ke sana.

“Saya akan menunggu di sini sehingga anak saya ditemui pihak anggota penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat melakukan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa berkenaan.