Pelajar dakwa gegendang telinganya cedera ditampar senior – Bernama


Pelajar dakwa gegendang telinganya cedera ditampar senior

9 Julai 2012
ALOR SETAR – Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di sini mendakwa gegendang telinganya cedera selepas ditampar oleh pelajar senior di asrama sekolah itu, Khamis lalu.

Mangsa, Mohamad Hazim Mohamad Zaid, 13, berkata kejadian itu berlaku selepas seorang senior menampar pipinya atas kesalahan kecil kerana tidak mengemas tempat tidurnya Rabu lalu.

Selepas kejadian itu, mangsa yang mengalami pening kepala, mata kabur dan pendengaran kurang jelas mengadu kepada ibunya selepas pulang ke rumah di Kampung Rambai, Simpang Empat, dekat sini pada petang hari kejadian.

Dia dibawa ke klinik Tanah Merah, Pendang untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan dibawa ke Hospital
Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ibu mangsa, Norhafizah Puteh, 39, berkata doktor mengesahkan bahawa gegendang telinga sebelah kanan anaknya itu pecah dan mengalami pendarahan akibat ditampar dengan kuat dan dinasihatkan mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (JPN) Mansor Lat berkata bahawa beliau tidak boleh memberi sebarang komen kerana masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung kes tersebut.

“Saya sekarang ada di Putrajaya dan masih belum dimaklumkan tentang kes ini, tapi saya akan siasat kes ini selepas selesai kerja saya di sini nanti” katanya selepas dihubungi. – Bernama