Remaja OKU curi motosikal – Sinar Harian


Remaja OKU curi motosikal

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 November 2012

JELEBU – Seorang remaja kurang upaya (OKU) berusia 15 tahun ditangkap pada 14 November lalu kerana disyaki mencuri sebuah motosikal jenis Honda di Kampung Sawah Liat, Ulu Klawang.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusoff berkata, motosikal itu dilaporkan hilang pada 9 November lalu.

“Pemilik motosikal berkenaan memaklumkan bahawa motosikal itu diparkir di rumah rakannya ketika berkunjung ke situ.

“Pemilik itu hanya menyedari motosikalnya hilang ketika hendak pulang selepas berada satu jam di rumahnya rakannya. Kejadian berlaku pada waktu tengah hari,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya, di sini, semalam.

Setapa berkata, setelah kejadian itu, polis menerima laporan bahawa ada kelibat seorang lelaki membawa motosikal berkenaan selepas dilaporkan hilang.

“Hasil maklumat, kita berjaya menahan seorang remaja lelaki di Pekan Kuala Klawang, 14 November lalu.

“Ketika ditahan, remaja itu tidak membawa motosikal berkenaan dan polis kemudian membawanya ke Kampung Sawah Liat, di mana motosikal itu disimpannya,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat, remaja itu memberitahu bahawa ketika mencuri motosikal itu, kuncinya tidak ditanggalkan.

“Berikutan remaja ini berstatus OKU, dia dihantar ke hospital untuk membuat pemeriksaan bagi menentukan tahap kesihatannya sama ada normal atau mengalami masalah mental,” katanya.

Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan.

Ambil peperiksaan dalam lokap – Sinar Harian


Ambil peperiksaan dalam lokap
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Ogos 2012

Azmi (kanan) bersama Norman menunjukkan rangka dan komponen motosikal yang dileraikan.
KUALA PILAH – Seorang pelajar berusia 15 tahun, di sini terpaksa menduduki peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di dalam lokap Ibu Pejabat Polis daerah Kuala Pilah selepas dipercayai mencuri sebuah motosikal di Kampung Sungai Dua Besar, seminggu lalu.

Suspek diberkas berdasarkan laporan dibuat seorang mangsa lelaki, 40-an yang kehilangan motosikal di kawasan rumahnya Kampung Sungai Dua Besar awal pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abd Rahim berkata, suspek ditahan jam 6.30 petang di rumahnya di Kampung Sawah Lebar dan pihak polis turut menjumpai rangka motosikal yang sudah dileraikan di semak berhampiran.

Menurutnya, beberapa komponen motosikal yang dileraikan dijumpai termasuk jenis Honda Wave berwarna biru.

“Selain itu, kita turut menjumpai peralatan yang digunakan untuk meleraikan rangka motosikal di rumahnya.

“Kami percaya suspek bukan melakukan jenayah itu seorang diri dan masih terdapat dalang utama yang turut terlibat. Kegiatan ini aktif sekitar Kuala Pilah dan ia masih dalam siasatan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Asisten Superintendan Normanshah Din.

Azmi berkata, pihaknya juga percaya rangka motosikal berkenaan akan diguna pakai di motosikal ayahnya.

“Suspek yang masih bersekolah itu mempunyai pengalaman mencuri dan meleraikan motosikal berdasarkan kepada kegiatan dilakukannya.

“Suspek amat teliti kerana memiliki peralatan yang lengkap untuk meleraikan motosikal. Tambahan pula, motor jenis Honda Wave amat popular dan sering menjadi tumpuan kaki curi motosikal,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan sekiranya ada suspek lain yang mempunyai rangkaian sindiket curi motosikal di daerah ini.

“Suspek direman bermula 7 hingga 13 Ogos dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.