Hari Guru 5 murid 5 cikgu – Metro


Hari Guru 5 murid 5 cikgu

 15  0 Google +1  0  0

Oleh Abu Bakar Al Sidek

Hutan Melintang: “Saya pernah menyambut Hari Guru disertai hampir seribu murid, namun pengalaman kali ini sedikit janggal apabila meraikan hari bermakna ini bersama lima murid dan lima guru,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak (SKTR) Muhaini Ibrahim, 57, semalam.

Muhaini yang baru tujuh bulan berkhidmat di sekolah itu tidak menyangka diberi peluang merasai pengalaman unik sepanjang kariernya bergelar guru apabila dirai cukup istimewa oleh lima muridnya.
Pada sambutan itu, Muhaini bersama lima guru lain termasuk Lee Choong Sing, 47; ldris Baki 47; Khairul Nizan Kamis 32; Muhamad Fauizi Hasim, 24 dan Wan Noraina Ayuni Arfiffin, 25 diberi penghormatan oleh lima murid mereka.

 

Biarpun tidak begitu meriah, namun pelbagai aksi mencuit hati, riuh rendah dan hilai tawa murid dapat didengari apabila program dimulakan jam 8.30 pagi sebelum berakhir tiga jam kemudian.
Program diakhiri dengan lima murid sekolah menyampaikan hadiah kepada guru mereka serta upacara memotong kek ‘Selamat Hari Guru’.
Murid juga diberi peluang menyuap potongan kek kepada guru masing-masing.

 

Muhaini ketika ditemui berkata, sambutan itu dijayakan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan dimulakan dengan bacaan doa selamat diikuti deklamasi sajak oleh murid tahun enam, Mohd Azrol Amri Salim sebelum disusuli nyanyian ‘Guru Malaysia’ oleh guru dan nyanyian lagu ‘Terima Kasih Cikgu’ oleh murid diiringi alat muzik.
Beliau berkata, sambutan di kantin sekolah itu dihadiri ibu bapa murid termasuk Pengerusi PIBG SKTR, Hajar Samad dan Ketua Kampung Tebing Rebak Mat Huri Aki.

 

SKTR adalah antara sekolah kurang murid (SKM) yang masih beroperasi di negara ini membabitkan jumlah murid paling kurang iaitu seorang murid Tahun Satu, seorang murid Tahun Tiga; dua murid Tahun Lima serta seorang murid Tahun Enam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/17

Satu sekolah empat murid – Metro


Satu sekolah empat murid

Oleh Abu Bakar Al Sidek
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HUTAN MELINTANG: Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak (SKTR), di Mukim Teluk Baharu, di sini, masih dibuka meskipun mempunyai empat murid, berbanding lima guru dan seorang guru besar.

Empat murid berkenaan iaitu murid tahun empat, Mohd Azrul Termizi, murid tahun lima, Muhammad Azrol Talib dan dua murid tahun enam iaitu Muhammad Aidil Termizi dan Muhammad Nor Hadi Ahmad Kamal tetap ceria dan bersemangat menerima pelajaran dalam keadaan persekitaran sekolah serba sunyi.
Mereka berempat anak penduduk Kampung Tebing Rebak yang meneruskan persekolahan di SKTR di kawasan pedalaman dan dikelilingi ladang sawit.

 

Sekolah itu yang turut mempunyai dua kakitangan sokongan diketuai Rahmah Che Ros sebagai guru besar, antara 113 sekolah rendah di Hilir Perak yang mempunyai bilangan murid paling sedikit.
Walaupun kurang murid, sekolah itu lengkap kemudahan komputer dan Internet, perpustakaan, program makanan tambahan serta menerima pelbagai bantuan daripada Kementerian Pelajaran.
Masalah kekurangan murid sekolah terbabit bermula 10 tahun lalu yang ketika itu hanya tinggal 12 murid dan semakin susut dari tahun ke tahun.

 

 

Keadaan itu berlaku berikutan kebanyakan daripada 120 penduduk Kampung Tebing Rebak yang mempunyai 40 rumah itu terdiri daripada mereka yang sudah berusia, manakala remaja lepasan sekolah berhijrah ke bandar mencari rezeki kerana tiada punca pendapatan di kampung berkenaan.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKTR, Hajar Abdul Samad, 43, berkata sekolah itu hanya akan mempunyai dua murid apabila dua murid tahun enam yang belajar di sekolah itu kini ke sekolah menengah tahun depan.

 

“Jika masalah ini tidak ditangani segera, saya bimbang SKTR terpaksa ditutup buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau yang akan melepaskan jawatannya apabila anak lelakinya, Muhammad Nur Hadi tamat belajar di sekolah itu berkata, masalah kekurangan murid sekolah itu boleh diatasi jika Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak mengambil pendekatan meminta ibu bapa dari Kampung Sungai Nyamuk dan Kampung Rancangan Luar Bandar menghantar anak mereka belajar di SKTR yang jaraknya dua kilometer dari kedua-dua kampung itu.