‘Mujur kepala tak kena kipas’ – Metro


‘Mujur kepala tak kena kipas’

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bukit Merah: Seorang remaja perempuan yang leka menyiapkan tugasan sekolah di ruang tamu rumah, nyaris maut terkena kipas siling yang sedang berpusing apabila rumahnya ditimpa sebatang pokok durian dalam kejadian ribut di Kampung Tok Khamis, Batu 4, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Norizati Abdul Razi, 14, pelajar lembam di Sekolah Pendidikan Khas Alor Pongsu, sedang menyiapkan kerja sekolah di ruang tamu rumahnya.
Menurutnya ketika kejadian hujan lebat diikuti angin kencang.

 

“Saya berasa takut bukan kerana tinggal bersendirian, tetapi keadaan cuaca yang sebegitu membuatkan hati saya berdebar-debar memikirkan pelbagai perkara yang buruk.
“Namun, saya tetap tidak mengendahkannya dan terus melakukan kerja sekolah sehingga saya terdengar bunyi beberapa batang pokok patah,” katanya.
Norizati berkata, sejurus mendengar bunyi kuat itu, dia terus menutup buku dan duduk mencangkung di ruang tamu akibat ketakutan dan hanya berdiam diri.

 

Menurutnya dalam beberapa minit saja, sebatang pokok besar tumbang menyebabkan dia tidak dapat melarikan diri dan hanya tunduk ketakutan sambil menutup kepala dengan tangannya.
“Sebaik keadaan reda, saya membuka mata dan alangkah terkejutnya apabila mendapati kipas siling yang masih berpusing hanya beberapa inci dari kepala saya. Mujurlah ia tidak menimpa saya.

 

“Saya terus berlari keluar rumah sambil menangis dan alangkah terkejutnya saya apabila melihatkan keadaan rumah yang musnah akibat ditimpa sebatang pokok durian,” katanya.
Menurutnya walaupun keadaan masih hujan lebat dan angin bertiup kencang, dia masih mendiamkan diri menanti ibu bapanya pulang.
“Saya takut masuk ke dalam rumah kerana pokok itu terlalu besar dan rumah saya boleh runtuh bila-bila masa saja kerana angin masih bertiup serta hujan masih mencurah-curah,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Razi Chin, 37, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, dia mula memikirkan nasib anaknya itu.
“Sepanjang perjalanan ke rumah, saya melihat beberapa pokok tumbang dan sekali gus saya terfikir anak di rumah.
“Saya tidak berhenti berdoa kepada Tuhan agar melindungi keselamatannya,” katanya.
Menurut Abdul Razi, sebaik tiba di pekarangan rumahnya, dia terkejut sambil melaungkan kalimah Allah sejurus mendapati rumahditimpa pokok besar.
“Saya hanya memikirkan keadaan anak lalu bergegas mencarinya dan mendapati dia duduk mencangkung akibat kesejukan di sebatang pokok berhampiran rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Nyaris hanyut dibawa arus – Sinar Harian


Nyaris hanyut dibawa arus

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 November 2012
Nyaris hanyut dibawa arus
Penduduk menunjukkan jambatan yang runtuh hampir meragut nyawa penduduk.

BALING – Seorang remaja nyaris dihanyutkan arus sungai setelah dia terjatuh ketika melalui jambatan yang runtuh di Kampung Kuak Hulu dekat sini kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Mohd Nurul Amin Hashim, 15, dari kampung Kuak Hulu tidak mengetahui mengenai jambatan itu baru sahaja runtuh kira-kira jam 9 malam pada hari sama.

Dia yang menunggang motosikal hanya cedera ringan di lutut dan sempat dibantu penduduk yang berada di situ.

Jambatan runtuh itu bukan hanya mengancam keselamatan tetapi, turut mengakibatkan kira-kira 600 penduduk di beberapa kampung terputus hubungan.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Bukit Berangan, Kampung Tok Ketua, Kampung Seberang, dan Kampung Tok Bali.

Keadaan itu mengakibatkan penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif lain yang jauh bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti harian mereka.

Jambatan berusia kira-kira 10 tahun itu mengalami kerosakan teruk akibat hakisan air sungai selama beberapa jam.

Penduduk, Mohd Hashim Ismail, 43, dari Kampung Kuak Hulu berkata, air deras mengakibatkan jambatan itu mengalami hakisan teruk sehingga berlakunya runtuhan.

Katanya, air sungai setinggi empat meter itu bukan sahaja merosakkan jambatan, malah turut menjejaskan tanaman termasuk kolam ikan penduduk setempat.

“Sungai ini tidak pernah mencatat paras air setinggi ini walaupun hujan lebat. Namun, tidak kali ini sehingga menjejaskan kemudahan penduduk di sini,” katanya.

Mohd Hashim turut mendakwa masalah hakisan itu disebabkan penebangan balak di Hutan Simpan Gunung Lang sehingga menjejaskan ekosistem.

“Kami pernah membuat bantahan, tetapi ia tetap diteruskan. Kini, penduduk menerima kesan sampingan dari penebangan ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutan (JKKKP) Mohd Khairul Nizam Saidi, 42, berkata, pihaknya sudah memanjangkan masalah itu kepada Pejabat Daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurutnya, dia juga menyerahkan surat kepada Menteri Besar agar masalah itu mendapat perhatian serius untuk kebaikan semua.

Akademi Golf di Terengganu buka penyertaan kepada pelajar sekolah – Bernama


Akademi Golf di Terengganu buka penyertaan kepada pelajar sekolah

25 September 2012

KUALA TERENGGANU – Persatuan Golf Terengganu (PGT) mempelawa lebih ramai pelajar sekolah untuk menyertai akademinya yang dibuka bulan lepas.

Pesidennya, Ahmad Zubir Azhari berkata akademi tersebut yang terletak di Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR), di Kampung Tok Jembal, Gong Badak dekat sini sudah mempunyai 20 orang pelajar.

“Akademi ini terbuka kepada pelajar-pelajar berumur antara 7 hingga 16 tahun lelaki dan wanita. Ia baru dibuka dan masih tidak ramai yang mengetahui mengenainya.

“Kita harap lebih ramai ibu bapa akan menghantar anak mereka menyertai akademi ini dalam usaha mencari bakat terpendam untuk diketengahkan suatu hari nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata akademi itu dibuka dua kali seminggu iaitu setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Katanya yuran panyertaan ialah RM30 sebulan dengan latihan diuruskan oleh beberapa orang jurulatih golf yang bertauliah serta berpengalaman.

Ahmad Zubir berkata akademi itu mendapat sokongan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA) yang turut menghantar pegawai untuk memantau latihan sebulan sekali.

Beliau berkata akademi yang pertama seumpamanya diwujudkan di Terengganu itu juga bertujuan untuk memperkenal dan mengkomersialkan sukan golf di kalangan pelajar di negeri ini.

“Pelajar akademi ini akan diasuh dari awal mengenai teknik-teknik sukan golf supaya mereka menjadi pemain yang mahir apabila keluar kelak,” katanya.

Latihan adalah seawal pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan ibu bapa yang berminat dialu-alukan untuk menghantar anak mereka ke KTGR. -Bernama

Derita Iman Adam dapat perhatian – Utusan


Derita Iman Adam dapat perhatian

 

Oleh RADHUAN HUSSAIN
pengarang@utusan.com.my

 

AHMAD Said meneliti kaki Iman Adam Raman yang terlantar menderita akibat langgar lari di rumah mangsa di Kebor Besar, semalam.

 

KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Iman Adam Raman, 8, anak bongsu daripada sembilan beradik amat disayangi oleh keluarga dengan keletahnya yang periang dan cerdik.

Dia yang menyerikan suasana kehidupan keluarganya sudah berupaya menghafaz beberapa surah al-Quran selain surah Yasin dengan lancar.

Namun sejak tujuh bulan lalu, kedukaan menyelubungi kehidupan keluarganya apabila anak kecil itu terbaring kaku dalam keadaan koma.

Tarikh 2 Mei tahun lalu menjadi detik hitam keluarganya apabila Iman Adam cedera parah dirempuh oleh sebuah motosikal sewaktu melintas jalan menuju sebuah kedai di Kampung Kubang Jela, Manir dekat sini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi sewaktu mangsa bersama bapanya, Raman Abdullah, 58, singgah sekejap di kedai tersebut untuk membeli peralatan sekolah sebelum meneruskan perjalanan ke sekolahnya di Kampung Tok Jiring.

Ekoran rempuhan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana kecederaan parah di kepala, badan dan patah kaki sehingga dia dirawat dan terlantar koma di hospital itu selama tujuh bulan.

Tersentuh dengan musibah yang menimpa Iman dan keluarganya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menziarahi rumah mereka di Kampung Kebor Besar dekat sini, hari ini.

Kunjungan Ahmad membawa kelegaan kepada keluarga itu apabila kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan RM1,300 sebulan selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said hadir sama.

Iman Adam lumpuh setelah menjadi mangsa langgar lari dalam kejadian di Kampung Kubang Jela, Manir pada 2 Mei lalu.

Ibu mangsa, Nik Aini Mohd., 51, mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Menteri Besar yang membantu meringankan beban keluarganya bagi menyediakan keperluan Iman.

Nik Aini menceritakan, sepanjang dirawat di HSNZ, anaknya itu terpaksa menjalani tujuh pembedahan di kepala selain rawatan lain.

“Saya tetap reda dengan apa yang menimpa Iman, malah bersyukur kerana dia masih hidup sehingga sekarang walaupun lumpuh.

“Semasa dirawat di hospital, doktor bertugas menjangkakan yang Iman hanya boleh hidup tiga hari, tapi Allah maha berkuasa, dia (Iman) masih ada sehingga ke saat ini,” katanya.

Nik Aini memberitahu, anaknya itu berkemungkinan hilang penglihatan dan kini hanya bergantung hidup kepada tiga tiub di dalam badannya yang disambung ke jantung, buah pinggang dan perut.