Ibu bapa, guru berperanan lindungi kanak-kanak – Bernama


Ibu bapa, guru berperanan lindungi kanak-kanak

14 Julai 2013

KUALA LUMPUR – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa anggota masyarakat, terutama ibu bapa dan guru agar turut memainkan peranan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada jenayah, keganasan dan segala bentuk penderaan.

Presidennya Tan Sri Lee Lam Thye berkata melindungi kanak-kanak daripada perbuatan jenayah bukan hanya tugas pihak berkuasa tetapi tanggungjawab seluruh masyarakat.

“Masanya telah tiba untuk kerajaan melancarkan kempen di seluruh negara bagi perlindungan dan keselamatan kanak-kanak melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Sejak beberapa tahun ini, terdapat banyak kes kanak-kanak hilang dan didera dan semua ini menunjukkan kita tidak boleh mengambil mudah mengenai keselamatan golongan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata perlindungan kanak-kanak mesti bermula daripada rumah dengan ibu bapa perlu mengajar mereka bagaimana untuk bertindak balas ketika berhadapan situasi bahaya dan sentiasa memantau di mana anak-anak mereka berada.

Lee turut menyarankan agar pendidikan keselamatan kanak-kanak diberi penekanan di sekolah memandangkan pelajar sekolah adalah golongan paling lemah dan terdedah kepada penjenayah.

Beliau berkata MCPF juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam mewujudkan kelab pencegahan jenayah di sekolah rendah dan menengah bukan hanya untuk menimbulkan kesedaran tetapi juga mengajar pelajar untuk berada dalam keadaan selamat sepanjang masa.

Sehingga kini, 5,778 kelab telah ditubuhkan di sekolah rendah dan menengah melibatkan 614,385 pelajar. – Bernama

Kanak-kanak hilang di kawasan perkelahan ditemui mati lemas – Bernama


Kanak-kanak hilang di kawasan perkelahan ditemui mati lemas

2012/05/05

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan perkelahan Sungai Larah, Bukit Berapit dekat Taiping, petang semalam, ditemui mati lemas malam tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata mayat Alif Aiman Zamzuri ditemui tersangkut dicelah pokok kira-kira 500 meter dari tempat kejadian pada jam 10.45 malam tadi oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, mangsa yang berasal dari Kampung Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah di hantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Dalam kejadian jam 4.15 petang semalam, mangsa dan ibu bapanya yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Baling, Kedah dikatakan berhenti di tepi jalan berhampiran kawasan perkelahan itu untuk berehat dan mandi.

“Semasa mereka mandi di sungai itu tiba-tiba satu kepala air kuat turun dari arah hulu sungai dan menghanyutkan mereka bertiga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusof berkata, pasangan suami isteri itu berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebatang pokok di tepi kawasan perkelahan itu, manakala anak mereka hilang dibawa arus deras. – BERNAMA

Statistik kanak-kanak hilang membimbangkan – Sinar Harian


Statistik kanak-kanak hilang membimbangkan

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 April 2012

PASIR GUDANG – Statistik sehingga 17 April tahun ini menunjukkan seramai 126 kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah dilaporkan hilang di negeri ini dengan 50 daripadanya telah dijumpai.

Isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris bertitah, sepanjang tahun lalu sahaja didapati 579 kanak-kanak yang hilang dan masih belum ditemui di negeri ini.

“Mengikut pecahan umur pula, terdapat ramai gadis yang berumur 13 hingga 17 tahun yang hilang pada tahun 2011 dan tahun ini.

“Kalau kita mendalami angka yang diberikan mengikut daerah di negeri ini, angka yang tertinggi kanak-kanak hilang ialah di Johor Bahru Selatan iaitu 115 orang pada tahun lalu dan 26 orang sehingga April tahun ini,” titah baginda sewaktu menyampaikan ucapan pada Forum Keselamatan Keluarga di Stadium Pasir Gudang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Ma­syarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, On Jabbar@Jaafar.

Forum berkenaan yang dihadiri kira-kira 1,000 penduduk segenap lapisan masyarakat bertujuan mempertingkatkan kesedaran keselamatan keluarga adalah titah Raja Zarith Sofia sendiri lanjutan daripada peristiwa pembunuhan kejam Nurul Nadirah Abdullah, 6 atau Dirang yang menyayat hati bulan lalu di Bandar Seri Alam.

Titah baginda lagi, ibu bapa perlu mengawasi pergaulan anak mereka supaya tidak termakan janji manis atau ‘durian runtuh’ yang datang tiba-tiba kerana kadang-kala tersembunyi niat yang tidak baik.

“Ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa ada peruntukan yang wujud dalam Akta Kanak-kanak 2001 dan bahawa mereka boleh bertanggungjawab jika sesuatu berlaku kepada anak-anak mereka. Dunia sekarang tidak seperti dahulu, dan adalah sesuatu yang kita mesti sedar.

“Janganlah kita menghabiskan masa dengan sia-sia semasa menghadiri forum ini. Saya berharap agensi kerajaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir akan membincangkan bagaimana melindungi anak-anak kita.

“Contohnya, kita boleh beri cadangan kepada sekolah-sekolah untuk mengajar murid-murid apa yang mereka harus lakukan untuk keselamatan diri mereka,” titah baginda.

Sementara itu, ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, yang turut hadir pada forum berkenaan berkata, banyak maklumat yang berguna diperoleh.

“Alhamdulillah, kehidupan kami sekeluarga baik sahaja setelah berpindah ke rumah baru. Saya sendiri tidak tahu hendak cakap apa. Terima kasih kepada yang memberi sokongan untuk keluarga kami,” katanya.