Kanak-kanak lelaki 10 tahun tidak pernah bersekolah diterima masuk ke sekolah kerajaan – Bernama


Kanak-kanak lelaki 10 tahun tidak pernah bersekolah diterima masuk ke sekolah kerajaan

28 Januari 2013

ALOR SETAR – Masalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang tidak pernah bersekolah berikutan masalah kewarganegaraan berakhir apabila diterima belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Keat Hwa (K), Peremba di sini, hari ini.

Master Phuwis Neng, yang dilahirkan di Thailand tidak dapat belajar di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan disebabkan statusnya yang bukan warganegara. Bapa Master Phuwis merupakan rakyat Malaysia manakala ibunya rakyat Thailand, tetapi masalah pendaftaran perkahwinan ibu bapanya menyebabkan dia menghadapi banyak masalah termasuk untuk belajar di sekolah kerajaan.

Phuwis Neng kelihatan gembira memasuki kelas Tahun Empat bersama pelajar seusia dengannya.

Pegawai Khas Anggota Parlimen Alor Setar Loh Eng Chong berkata, kanak-kanak tersebut dijaga nenek sebelah bapanya, Chan Bee Kooi yang tinggal di Taman Berjaya, Jalan Pegawai di sini setelah diserahkan ibu bapanya.

Berita gembira itu diterima keluarga tersebut setelah menerima surat penerimaan masuk murid bukan warganegara ke sekolah kerajaan oleh Jabatan Pelajaran Kedah semalam setelah pihaknya membuat permohonan Disember tahun lepas, katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, ini hasil usaha pihak MCA negeri untuk memberi peluang kepada kanak-kanak yang tercicir dalam pelajaran mendapat tempat di sekolah dan belajar bersama-sama dengan pelajar seusia denganya.

Loh berkata, Phuwis Neng layak untuk belajar di negara ini memandangkan bapanya rakyat negara ini dan MCA akan membantunya dengan memberi kelas intensif secara percuma supaya dia dapat mengejar semula pelajaran daripada Tahun Satu hingga Tiga.

“Dia pernah belajar membaca dan menulis sejak umur tujuh tahun. Pihak MCA juga akan cuba mendapatkan kerakyatan kepada Phuwis bagi membolehkan dia dapat belajar dan seterusnya mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Difahamkan ibu bapa Phuwis Neng sedang menjalani hukuman penjara berikutan masalah dadah.

Loh berkata, memandangkan nenek Phuwis Neng hidup susah, MCA dan Pejabat Anggota Parlimen ALor Setar turut membantu menguruskan yuran persekolahan kanak-kanak tersebut dan membantu neneknya itu dengan menghulurkan sumbangan kewangan bagi meringankan beban yang dihadapi.

Phuwis Neng yang tidak fasih berbahasa Melayu ketika ditemui berkata dia tidak sabar untuk ke sekolah bertemu dengan rakan-rakan baru.

“Saya seronok nak pergi ke sekolah. Nak belajar,” katanya menerusi jurubahasa. – Bernama