Kanak-kanak lemas di sungai ketika leka bermain di atas sampan – Sinar Harian


Kanak-kanak lemas di sungai ketika leka bermain di atas sampan

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mei 2013
Kanak-kanak lemas di sungai Terjatuh ketika leka bermain di atas sampan
Salleh terkilan tidak dapat menyelamatkan cucunya yang terjatuh ke dalam sungai Cherang Melintang selepas bermain di atas sampan miliknya.

TUMPAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Kampung Cherang Melintang di sini ketika leka bermain di atas sampan milik datuknya petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa Khairul Anwar Sudin dikatakan mengikut datuk tirinya, Salleh Deraman, 83 ke sungai itu, jaraknya 500 meter dari rumah mereka bersama dua sepupu tiri, Haikal Rozi, 10 dan Normalisa Rozi, 5.

Dua sepupu mangsa terselamat kerana ketika kejadian mereka berada di tebing sungai itu, hanya mangsa naik ke sampan yang diikat kemas pada sebatang kayu di tebing sungai terbabit.

Difahamkan mangsa terjatuh ke dalam sungai apabila dia tidak dapat mengimbangi badannya ketika berdiri kerana bot yang diikat di tebing bergerak.

Mangsa anak sulung daripada tiga beradik merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Teluk Jering.
Ketika kejadian ibu bapanya, Sudin Zakaria, 39 dan Norizan Salleh 32, tiada di rumah kerana menziarahi saudaranya di Kedai Buluh, Kota Bharu.

Salleh berkata, dia bersama arwah, Haikal dan Normalisa menunggang basikal  ke sungai tersebut, bagaimana pun  di pertengahan jalan dia singgah  di rumah Penghulu Mukim Cherang Melintang, Ismail Mat Yusof.

“Tiga cucu saya itu meneruskan perjalanan mereka ke sungai terbabit dengan basikal, saya kemudiannya menyusul selepas itu,” katanya.

Katanya, selepas selesai urusannya dengan penghulu itu, dia meneruskan perjalanan ke sungai tetapi berselisih dengan Haikal dan Normalisa yang nampak tergesa-gesa mengayuh basikal untuk pulang ke rumah.

“Saya tidak sempat bertanya apa-apa dengan dua cucu saya itu, lalu meneruskan perjalanan ke sungai tanpa mengesyaki apa-apa. Dari jauh nampak orang ramai berdiri di tebing sungai terbabit tetapi tidak menyangka ada kejadian lemas dan yang lemas itu adalah cucu sendiri.

Mujur ada orang kampung di seberang sungai terbabit ternampak cucu saya terjatuh,” katanya.
Menurutnya, dia terus terjun ke sungai mencari cucunya dan menyelam sebanyak lima kali tetapi gagal sebelum minta bantuan bomba.

Katanya, dia redha dengan pemergian cucunya walau pun beberapa jam sebelum kejadian arwah begitu manja  apabila memeluk dan merayu agar membenarnya mandi sungai Cherang Melintang itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Rosli Muhammad berkata, mayat mangsa ditemui berhampiran di lokasinya jatuh pada jam 7.30 petang.

“Operasi mencari dilakukan selepas pihak bomba terima panggilan jam 6.58 petang. Seramai 8 anggota termasuk tiga Pasukan Penyelamat Unit  di Air bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Kedai Buluh Kota Bharu, pagi semalam.