Kanak-kanak mati lemas – Utusan


Kanak-kanak mati lemas

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my

TELUK INTAN 20 April – Penantian mendebarkan selama lebih 40 jam seorang ibu, Ainiza Mohd. Ali, 33, untuk menemui semula anaknya yang hilang selepas keluar memancing kelmarin, berakhir dengan kisah duka apabila mayat anaknya ditemui terapung di Sungai Perak hari ini.

Perasaan Ainiza menjadi lebih tidak keruan apabila nasib suaminya, Ramlan Ahmad, 34, yang memancing dengan menaiki bot bersama anaknya itu, sehingga5 kini masih belum diketahui.

Mayat Mohd. Aizat, pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Haji Hassan Changkat Petai dekat sini, ditemui pukul 9.50 pagi ini di celah-celah rumput berhampiran Jambatan Sultan Yusuf, kira-kira 200 meter dari tempat bot dua beranak itu dipercayai terbalik.

Ainiza berkata, suami dan anaknya keluar rumah kira-kira pukul 7 pagi Rabu lalu untuk keluar memancing dalam keadaan tergesa-gesa, malah tidak sempat bersarapan bersama.