PM lancar Hospital Pakar Kanak-kanak Permata – Bernama


PM lancar Hospital Pakar Kanak-kanak Permata

 

NAJIB Razak (tengah) diberikan taklimat mengenai projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata oleh Pengerusi Badan Petugas Penubuhan HPKKP, Professor Datuk Dr A Rahman A Jamal (kanan) pada majlis pelancaran projek itu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini. Hadir sama Rosmah Mansor dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Datuk Prof. Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. – UTUSAN

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata yang pertama di negara ini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras.

Hospital moden dan berteknologi tinggi bernilai RM606 juta yang dijangka siap pada 2017 itu akan secara komprehensif memberi fokus kepada disiplin pediatrik atau kesihatan kanak-kanak.

Najib berkata pelbagai bidang perawatan ditawarkan termasuk surgeri laparoskopik yang minimum invasi, perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraksik, implan koklear, pemindahan sumsum tulang, perkembangan kanak-kanak, genomik pediatrik dan endokrinologi pediatrik.

Katanya pembinaan hospital itu, dan sebuah lagi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang sedang dibina di Hospital Kuala Lumpur, menandakan bahawa bidang kesihatan negara sememangnya berada pada landasan yang betul untuk memasuki liga negara maju.

“Ciri-ciri mesra kanak-kanak dan ibu bapa diberi keutamaan dalam pembinaan Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata ini, memberikan suasana yang dapat mengurangkan tekanan, keresahan dan kesakitan yang dialami kanak-kanak,” katanya ketika berucap melancarkan projek pembinaan hospital itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung Permata Negara. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130823/dn_30/PM-lancar-Hospital-Pakar-Kanak-kanak-Permata#ixzz2cnT09uxy
© Utusan Melayu (M) Bhd

‘Dah ada waris datang ambil Daus’ – Metro


‘Dah ada waris datang ambil Daus’

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: “Sudah ada waris yang mengambil kanak-kanak itu dan dia kini selamat,” kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Noormah Abd Rauf.

Beliau berkata demikian ketika memaklumkan perkembangan terkini kanak-kanak lelaki dikenali Daus yang diselamatkan Zaiton Lebor, 40, pada Ramadan lalu dan ditempatkan di rumahnya sehingga sambutan Aidilfitri, selepas ditemui terbiar dan kelaparan di Stesen Monorel Imbi.
Daus kemudiannya diambil JKM Selasa lalu tertakluk Akta Kanak-Kanak 2001 mengikut laporan dibuat Zaiton, malah dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan dan siasatan lanjut bagi urusan pencarian waris dan perlindungan.

 

Noormah berkata, selepas kisah Daus dilaporkan, bapa saudara kanak-kanak itu yang menetap di kawasan berdekatan ibu negara menghubungi pihaknya untuk mengambil dan membelanya sebagai penjaga sah.
“Mereka dipertemukan di HKL dan selepas mengenal pasti dia adalah bapa saudara yang sah, maka ibu pejabat JKM membenarkan Daus diserahkan kepada ahli keluarganya dan pihak kami menganggap kes membabitkannya sudah selesai,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/16

Kanak-kanak lemas dalam kolam terbiar di Sungai Petani – Bernama


Kanak-kanak lemas dalam kolam terbiar di Sungai Petani

 

 

SUNGAI PETANI 15 Ogos – Kegembiraan untuk mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan maut setelah tergelincir ke dalam kolam terbiar di Kampung Baru Thye Eng, Bedong dekat sini, semalam.

Nur Atika Mahadzir, 12, dikatakan tergelincir ketika cuba mengambil seliparnya yang terjatuh ke dalam kolam itu kira-kira pukul 5 petang.

Rakannya, Nur Najwa Mohd Ahair, 14, berkata dia bersama Nur Atika dan tiga lagi rakan lain iaitu Ainur Atikah Mohd Yazid, 12, Nadia Jamil, 14, dan Saidatul Najwa Shukri, 12, ke kolam berkenaan untuk mengajak sepupunya yang sedang memukat ikan di situ mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri di kawasan berhampiran.

“Kami menaiki dua buah motosikal ke lombong itu. Masa nak balik, Atika tergelincir dan seliparnya jatuh ke dalam lombong, dia cuba ambil dengan berpaut pada kami tetapi kejadian yang tidak diduga berlaku.

“Dalam keadaan kelam kabut, hampir 11 remaja lelaki dan perempuan yang ada di situ, termasuk kami berempat, terjun ke dalam kolam untuk menyelamatkan Atika namun gagal,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan itu Mohd Sofi Md Zain, 36, berkata, beliau tiba di tempat kejadian pada pukul 5.45 petang selepas dimaklumkan bahawa ada kanak-kanak lemas di kolam itu.

“Pada mulanya, saya sangka anak saya, tetapi bila tiba di sana, saya lihat anak saya ada di tepi kolam. Saya terjun ke dalam kolam dan kali kedua menyelam baru saya temui kakinya dan terus menariknya ke atas,” katanya.

Mayat Nur Atika dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bedong kira-kira pukul 10 pagi ini.

Difahamkan, anak sulung kepada pasangan Siti Rahmah Husin, 46, dan Mahadzir Sinin, 42, itu merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman, Bedong, dan bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan.

Rakan sekolahnya, Ainur Atikah berkata Nur Atika yang mempunyai seorang adik, Shahbani, 6, merupakan pelajar cemerlang di sekolah dan memperoleh keputusan 4A 1B dalam peperiksaan percubaan UPSR.

“Dia dikategori sebagai 12 pelajar terbaik dan pada ujian percubaan sebelum ini, dia menduduki tempat keempat terbaik,” katanya. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130815/je_09/Kanak-kanak-lemas-dalam-kolam-terbiar-di-Sungai-Petani#ixzz2c14XWNTD
© Utusan Melayu (M) Bhd

‘Puas saya mencari sekitar rumah’ – Metro


‘Puas saya mencari sekitar rumah’

    Google +

Telupid: Nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dipercayai hilang sejak 23 Julai lalu selepas bermain di luar rumahnya di Kampung Meliau, dekat sini, masih belum diketahui.

Kanak-kanak berkenaan, Musteliveh Merajok disedari hilang selepas bapanya Minggu Hendry mencarinya di luar rumah, namun gagal menemui mangsa.
Menurut Minggu, kali terakhir dia melihat mangsa sedang bermain di luar rumah, namun sebaik cuba mencarinya kira-kira jam 8 malam, mangsa sudah tidak kelihatan.

 

“Puas saya mencari di sekitar rumah, tetapi gagal.
“Saya kemudian membuat laporan polis bagi mengesan anak saya yang sehingga kini belum ditemui,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ketua Polis Daerah Beluran Deputi Superintendan V. Shivananthan berkata, bapa mangsa tidak membuat laporan awal kerana berusaha mencari mangsa di sekitar tempat tinggalnya, namun gagal.

 

FotoMUSTELIVEH hilang ketika bermain di hadapan rumahnya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menggunakan nama jiran mereka untuk urusan sijil lahirnya.
“Ada kemungkinan mangsa menjadi rebutan jiran dan bapa angkat mangsa, namun semuanya masih dalam siasatan.

 

“Mangsa adalah anak angkat kepada pengadu yang diambil daripada seorang perempuan tidak dikenali,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 089-511222 sambungan 213 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Jefferey Kadisun di talian 013-7443442.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/15

3 beradik dilapor hilang di Ipoh – Kosmo


3 beradik dilapor hilang di Ipoh
14 Ogos 2013

IPOH – Bapa kepada tiga orang kanak-kanak yang dilaporkan hilang, Rizauddin Md. Zain memberitahu, ketiga-tiga anaknya telah dijumpai di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau baru dimaklumkan oleh pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bahawa anak-anaknya, Sharafuddin Syazwan, 11, Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiyah, 6, ketika ini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

“Saya bersyukur mereka selamat meskipun saya tidak tahu bagaimana mereka boleh sampai ke sana,” katanya kepada KOSMO!

Pilu hati mama – Metro


Pilu hati mama

    Google +

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Lumpur: “Luluh juga hati saya ketika itu, apatah lagi dia memanggil saya dengan panggilan mama dan minta supaya saya menjaganya serta membenarkan dia beraya bersama,” kata Zaiton Lebor, 40 mengenai seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Daus yang ditemuinya di Stesen Monorel Imbi, 20 Ramadan lalu.

Katanya, dia menemui Daus dalam keadaan lesu dan ketakutan sekitar jam 11.30 malam berdekatan stesen itu, ketika mahu pulang ke rumah di Lembah Pantai selepas tamat waktu bekerja di sebuah hotel terkemuka di Bukit Bintang, di sini.

“Ketika saya mahu menaiki monorel, saya ternampak Daus dan dia seperti takut-takut, nampak sungguh lesu mungkin kerana lapar. Kerana kasihan melihatnya selain bimbang dia ditimpa nasib malang, saya bawa dia pulang ke rumah.

“Tiada niat lain ketika itu melainkan mahu dia selamat dan bebas daripada pengaruh orang berniat jahat serta pihak tak bertanggungjawab kerana waktu itu pun sudah hampir larut malam malah dia pun seperti tiada arah tuju.

FotoZAITON dan Daus (tengah) diiring anggota polis, semalam.

“Apabila sampai di rumah, baru dia beritahu saya yang dia sudah dua hari tak makan dan beg digalasnya pun hanya berisi beberapa helai pakaian termasuk pada badannya iaitu baju T koyak, tanpa sebarang pengenalan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/14

Perlu awasi aktiviti, pergerakan anak – Sinar Harian


Perlu awasi aktiviti, pergerakan anak
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Ogos 2013
  • Perlu awasi aktiviti, pergerakan anakNajmiah
< 1 / 1 >

KUALA TERENGGANU – Ibu bapa dinasihatkan sentiasa memantau dan mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya mereka tidak terjebak dalam aktiviti tidak sihat, sekali gus membahayakan keselamatan.

Najmiah Mohamad, 40, berkata, langkah itu tidak boleh dianggap remeh kerana walaupun berada dalam pemantauan, terdapat juga anak-anak yang terjebak bermain mercun sehingga mendatangkan mudarat kepada diri mereka.

“Kalau diikutkan memanglah sambutan Hari Raya Aidilfitri atau mana-mana perayaan dilihat tidak meriah tanpa mercun atau bunga api, apa yang saya sarankan ialah tidak salah bermain mercun tetapi mestilah mercun dan bunga api yang selamat dan tidak diubahsuai.

“Jika kerajaan telah menggariskan beberapa mercun yang tidak boleh dibeli, mahu tidak mahu kita kena patuhi juga undang-undang demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Najmiah berkata, dia pernah berdepan dengan kejadian letupan mercun dan walaupun tidak berlaku kematian, ia cukup menggerunkan terutama bagi ibu bapa kanak-kanak tersebut.

“Baru-baru ini saya pernah melihat sendiri kejadian letupan mercun, difahamkan ia mercun yang diubahsuai, jadi dalam hal ini, ibu bapa mainkan peranan penting.

“Ibu bapa tidak boleh berdiam diri dan menaruh kepercayaan penuh kepada anak-anak. Walaupun usia mereka makin meningkat, ibu bapa perlu sentiasa memantau supaya mereka tidak terlibat dengan kejadian tidak diingini,” katanya.

Tambahnya lagi, mencegah lebih baik daripada mengubati, penyesalan tidak lagi berguna apabila musibah telah berlaku.

“Sebab itulah salah satu peranan perlu dimainkan oleh ibu bapa untuk mencegah perkara ini ialah sentiasa mengawasi dan memantau anak. Mereka perlu ambil tahu dengan siapa anak berkawan dan kegiatan apa yang dilakukan bersama rakan-rakan.

“Jadikan anak sebagai kawan. Macam tu juga dengan anak-anak akak kerana akak juga sentiasa nasihat dan pantau kegiatan mereka, bukan apa, untuk kebaikan mereka juga,” katanya.

Penganggur lacur kanak-kanak diburu – Bernama


Penganggur lacur kanak-kanak diburu
9 Ogos 2013
MELAKA – Polis sedang memburu seorang penganggur bagi membantu siasatan berhubung kes merogol dan kemudian melacur seorang kanak-kanak berusia 13 tahun di beberapa buah rumah dan hotel di sekitar negeri ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Negeri, Supt P.R. Gunarajan berkata Mohd Khairul Azli Isohod, 26, dikehendaki kerana melacurkan kanak-kanak tersebut kepada sembilan lelaki sejak Jun tahun lepas hingga 19 Julai lepas.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek beralamat terakhir di 2961-1 Jalan Sidang Hassan, Bukit Katil dan dipercayai seorang penagih dadah.
“Dia bertindak melacurkan kanak-kanak itu yang merupakan teman wanitanya bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.
“Dia melacurkan kanak-kanak tersebut dengan mengenakan bayaran RM100 tetapi hanya memberi mangsa RM20 untuk belanja.
“Kes terakhir berlaku bulan lepas apabila mangsa dilacurkan kepada seorang lelaki berusia 37 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Gunarajan berkata suspek pernah merogol mangsa dan ditahan di Ampang, Selangor pada 5 April tahun lepas namun dia tidak hadir pada hari perbicaraan kes itu pada 24 Jun lepas.
Suspek dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di Kuala Lumpur. Kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh di sini dan polis sedang menjalankan siasatan bagi menjejaki suspek.
“Polis percaya kanak-kanak berkenaan masih berhubung dengan lelaki tersebut dan kita sedang mengumpul maklumat untuk mengesan suspek dan lelaki lain yang terbabit dalam kes berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Perdagangan Orang 2007 kerana memperdagangkan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP R.Kumares di talian 019-6215585 atau 06-2842222. – Bernama

2,084 kanak-kanak terima baucar simpanan – Metro


2,084 kanak-kanak terima baucar simpanan

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Seramai 2,084 kanak-kanak di 20 hospital kerajaan di seluruh negara menerima sumbangan sijil simpanan dan hamper daripada Bank Rakyat sempena sambutan Aidilfitri.

Semalam, bank itu menghulurkan sumbangan berbentuk baucar simpanan sebanyak RM100 dan hamper kepada 450 kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).
Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abdul Razak berkata, program penganjuran tahun kelima itu bertujuan menceriakan pesakit kanak-kanak di hospital menjelang Aidilfitri.

 

“Program ini juga bertujuan meningkatkan imej korporat bank berkenaan sebagai badan korporat yang prihatin dan penyayang.
“Selain itu, program berkenaan juga merapatkan hubungan Bank Rakyat dengan kakitangan hospital yang sebahagian daripada pelanggan kami,” katanya.
Turut hadir adalah Pakar Perunding Kanan PediatriK HKL, Dr Norzila Mohamed Zainuddin.

 

Mustafha berkata, program kali ini berbeza berbanding tahun sebelumnya dengan menyampaikan baucar simpanan kepada kanak-kanak berkenaan supaya mereka boleh membuka akaun simpanan.
“Bank Rakyat berharap kanak-kanak ini belajar menabung dengan menyimpan duit raya yang diterima dalam akaun mereka, katanya.

 

Beliau berkata, program tanggungjawab sosial korporat berkenaan yang bermula di Hospital Umum Sarawak Jumaat lalu membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM257,900.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/02

‘Cikgu, jangan marah saya’ – Sinar Harian


‘Cikgu, jangan marah saya’
NORHASPIDA YATIM
30 Julai 2013
  • 'Cikgu, jangan marah saya'Siti Nooraini
< 1 / 2 >

KUALA TERENGGANU – “Cikgu, jangan marah saya, nama saya Noraini..kaki saya macam ni..” kata Siti Nooraini Abdullah, 5, sambil menunjukkan kedua-dua belah kakinya yang cacat itu apabila dimarahi gurunya jika tidak menyiapkan kerja sekolah.

Menurut gurunya, Haidatul Azila Johar, Siti Nooraini, tidak pernah kering gusi bercerita apabila diajukan soalan, dia antara kanak-kanak yang ceria di dalam kelas dan amat cerdas, walaupun dirinya dilahirkan serba kekurangan.

Kaki kirinya mengerekot, sebelah lagi mereput dan kudung sejak lahir manakala, lima jari tangan kanannya turut kudung sejak kecil.

“Walaupun tidak boleh berjalan, dia tak susahkanguru apabila hendak ke tandas, dia pandai urus diri sendiri, termasuk apabila buang air.

“Alhamdulillah, Nooraini budak pintar dan kita harap dia akan terus membesar dengan baik sehingga mencecah alam remaja dan dewasa nanti,” katanya ketika ditemui di Mydin Mall pada program membawa anak-anak yatim
dan kurang berkemampuan membeli persiapan Hari raya Aidilfitri.

Program itu dianjurkan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

Nooraini juga tidak putus-putus menceritakan mengenai baju rayanya itu dan memilih warna hitam sebagai warna yang diminatinya.

Dia kelihatan cukup teruja apabila dibawa bersama 38 kanak-kanak lain dari Pra Sekolah Pendidikan Khas, Pendidikan Khas dan Sekolah Kebangsaan Sultan Omar membeli belah di Mydin Mall.

“Memandangkan keluarganya juga kurang berkemampuan, kadang-kadang apabila balik sekolah, saya sengaja bawa dia balik ke rumah memandangkan saya juga ada anak sebaya Siti Nooraini, tetapi hari Khamis dan Jumaat
saya biarkan dia pulang ke rumah neneknya,” katanya.

Ditanya mengenai keadaannya yang tidak seperti kanak-kanak lain dan terdapat kanak-kanak nakal sebayanya yang mengganggu dan mengejek dirinya, Nooraini yang kelihatan masih belum mengerti mengenai apa yang
dialaminya itu hanya mengangguk dan mengiakan sahaja.

“Fadhil, Haikal, Muiz..semua kawan baik Nooraini. Ada juga yang ejek, tetapi ramai kawan layan Nooraini dengan baik.

“Nooraini tinggal dengan tok dan Ummi, Ummi baik..,” katanya.